Nafkah - Keluarga Bekas Suami Boleh Dituntut
14 Febuari 2003

Soalan:

SAYA telah mendapat hak penjagaan kepada anak saya yang berumur empat dan lima tahun.
Mahkamah telah memerintahkan supaya bekas suami saya membayar nafkah anak sebanyak RM200 sebulan.
Bekas suami saya telah menghilangkan diri dan saya telah mencuba mencarinya tetapi gagal. Saya bekerja sebagai pembantu restoran yang bergaji hari dan memerlukan bantuan untuk menyara anak yang semakin meningkat perbelanjaannya.

Saya pernah cuba bertanya kepada keluarga bekas suami saya tetapi telah dihalau oleh mereka.
Bolehkah saya meminta nafkah dari keluarga bekas suami saya?
- Aminah Abdullah, Seremban, Negeri Sembilan.

Jawapan:

Oleh kerana puan menetap di Seremban maka rujukan akan dilakukan ke atas Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 1983.

Adalah menjadi tanggungjawab seorang bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anaknya. Sekiranya gagal maka perlaksanaan ke atas perintah yang diperoleh dari mahkamah boleh dipohon dari mahkamah syariah.

Bagaimanapun, di dalam kes puan, di mana bekas suami puan telah menghilangakan diri maka cara tersebut adalah tidak bermanfaat.

Daripada fakta kes, puan telah menyebut bahawa puan telah cuba merujuk kepada keluarga bekas suami tetapi gagal. Dalam keadaan ini, rujukan boleh dilakukan ke atas Aturan 22 Kaedah-Kaedah Prosedur Mal Negeri Sembilan 1992.

Aturan tersebut membolehkan puan memohon kepada mahkamah untuk menguatkuasakan penghakiman yang telah puan peroleh ke atas keluarga bekas suami.

Bagaimanapun, aturan tersebut menuntut agar kebenaran mahkamah harus diperoleh terlebih dahulu.
Menurut Aturan 22 (3) (1) (d), Kaedah-Kaedah Prosedur Mal Negeri Sembilan 1992, antara lain menyatakan bahawa perintah perlaksanaan tidak boleh dikeluarkan tanpa kebenaran mahkamah jika pemiutang ingin menguatkuasakan penghakiman tersebut terhadap mana-mana pihak selain dari pemiutang yang dinamakan di dalam penghakiman tersebut.

Rujukan juga harus dilakukan kepada Aturan 22 (3) Kaedah-kaedah Prosedur Mal Negeri Sembilan 1992 yang menyatakan bahawa permohonan untuk mendapatkan kebenaran perlaksanaan boleh dilakukan secara ex-parte.
Bagaimanapun, mahkamah boleh memerintahkan penyampaian ke atas mana-mana pihak atau orang yang berkenaan. Proses ex-parte adalah satu proses di mana pendengaran boleh dilakukan dengan kehadiran sebelah pihak sahaja.
Peruntukan di atas sebenarnya, tidak bercanggah dengan Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 1983, malah seiring dengan Seksyen 60.

Antara lain ia menyatakan bahawa mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang tidak bertanggungjawab supaya membayar nafkah kepada orang lain jika ia tidak mampu sepenuhnya atau sebahagiannya.

Sebagai kesimpulan, sememangnya puan, mempunyai hak untuk memulakan tindakan untuk memohon kepada pihak mahkamah melaksanakan penghakiman sama ada terhadap bekas suami puan atau terhadap ahli keluarganya bagi membela hak dan nasib anak puan.

Saya juga ingin menasihatkan puan agar, membuat permohonan di mahkamah dengan segera untuk memastikan kebajikan anak puan terpelihara.

- Panel Peguam Sisters In Islam.
Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my