Nikah Luar Negara - Izin Bapa Tidak Memadai
14 Mac 2003

Soalan:

Anak perempuan saya telah berkahwin semasa masih belajar di London. Sebelum berkahwin, dia telah memohon kebenaran saya dan saya telah merestuinya.

Anak saya dan suaminya kini telah kembali ke Malaysia dan telah pergi untuk mendaftarkan perkahwinan mereka di Pejabat Agama. Tetapi mereka diberitahu bahawa mereka akan dihadapkan ke mahkamah kerana berkahwin tanpa kebenaran.

Jawapan:

Oleh kerana anak tuan adalah pemastautin di Selangor maka Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor akan dirujuk.

Menurut Seksyen 16 Enakmen tersebut, adalah menjadi satu keperluan bagi pihak-pihak yang ingin berkahwin untuk mendapatkan kebenaran sebelum sesuatu perkahwinan dilangsungkan.

Peruntukan Seksyen 25 pula mewajibkan mereka yang telah berkahwin untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut.
Jelas di sini bahawa anak tuan dan suami telah tidak mematuhi keperluan Enakmen tersebut. Mereka telah gagal mendaftarkan perkahwinan mereka seperti yang diperlukan.

Oleh itu mereka akan dibicarakan di mahkamah. Perlu dinyatakan bahawa perbicaraan ini juga adalah bertujuan bagi memastikan kesahihan perkahwinan mereka sama ada perkahwinan tersebut menepati hukum syarak atau sebaliknya.

Rujukan juga harus dilakukan ke atas Seksyen 108 Enakmen Keluarga Islam Selangor yang memperuntukan seperti berikut; sesuatu perkahwinan orang Islam yang dilakukan di luar Malaysia, lain daripada perkahwinan yang diakadnikahkan di sesuatu kedutaan, Suruhanjaya Tinggi, atau pejabat konsul Malaysia di bawah Seksyen 24 hendaklah diiktiraf sebagai sah bagi segala maksud Enakmen ini jika:
a) Perkahwinan itu dilakukan mengikut cara yang dikehendaki atau dibenarkan oleh undang-undang tempat di mana ia telah dilakukan.
b) tiap-tiap satu pihak itu mempunyai - pada masa perkahwinan itu - keupayaan berkahwin di bawah undang-undang tempat bermastautinya dan;
c) Jika salah satu pihak itu adalah seorang pemastautin di negeri Selangor, kedua-dua pihak mempunyai keupayaan berkahwin mengikut perkahwinan ini.

Semasa proses perbicaraan mahkamah akan memeriksa sama ada anak tuan dan suaminya telah menepati semua peruntukan khasnya di dalam Seksyen 108 (a) dan (b) tersebut.

Sekiranya perkahwinan tersebut telah diselidiki sebagai memenuhi semua kehendak Enakmen dan Hukum Syarak maka barulah kebenaran pendaftaran akan diberikan oleh mahkamah syariah.

Oleh kerana anak tuan telah tidak mematuhi Seksyen 25 yang tersebut di atas maka beliau dan suami boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 125.

Mereka boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Perlu dinyatakan di sini bahawa bagi pelajar yang mahu melangsungkan perkahwinan di luar negara adalah perlu bagi mereka untuk merujuk kepada Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi dan Pejabat Konsulat Malaysia di tempat mereka berada.

Pendaftar di tempat-tempat tersebut boleh mengakadnikahkan pasangan mengikut Hukum Syarak dan mereka telah ditauliahkan.

Perkahwinan ini kemudiannya boleh didaftarkan kerana pendaftar tersebut akan dianggap sebagai seorang pendaftar untuk negeri Selangor.

Ini adalah menurut Seksyen 24 Enakmen tersebut. Perkahwinan secara ini adalah lebih wajar dan tidak akan timbul keraguan mengenai kesahihan perkahwinan.

- Panel Peguam Sisters In Islam
Soalan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam dialamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my