Kontrak Perkahwinan: Perlu Persetujuan Kedua Belah Pihak
14 April 2003

Soalan:

Perkahwinan saya telah berlangsung selama 10 tahun dan kami mempunyai dua cahaya mata. Perkahwinan kami yang berjalan dengan lancar tiba-tiba diganggu dengan kehadiran orang ketiga. Saya telah merujuk masalah kepada Ketua Etika di pejabatnya. Pada minggu lepas, selepas bergaduh besar, suami telah berkata 'Kau janji tak akan mengadu. Kalau pergi juga... kita selesai nanti. Nanti talaklah.' Suami sudah lama tidak pulang atau memberi nafkah. Saya tidak bekerja. Saya telah merayu ke pusat pengaduan. Apakah saya kini telah tertalak?
- Aniza Bakar, Cheras, Kuala Lumpur

Jawapan:

Ikatan perkahwinan adalah sejenis kontrak suci di antara seorang suami dan isteri. Ia adalah kontrak yang dipenuhi oleh nilai-nilai keagamaan, moral dan kerohanian.

Walaupun begitu, sama seperti mana-mana kontrak lain, sesuatu kontrak perkahwinan (akad) hanya boleh diadakan melalui rukun-rukun tawaran dan penerimaan oleh kedua-dua belah pihak.

Masyarakat kita juga lebih mengenalinya sebagai ijab kabul. Ini termasuklah syarat-syarat kepada perkahwinan tersebut atau lebih dikenali sebagai taklik.

Syarat kepada perkahwinan atau apa-apa tambahan syarat seharusnya dilakukan dengan persetujuan kedua-dua belah pihak. Ini juga adalah bersamaan dengan undang-undang kontrak yang lain.

Perlu dimaklumkan bahawa tujuan utama syarat perkahwinan adalah untuk kesejahteraan rumah tangga. Ia tidak sepatutnya digunakan sebagai satu cara penganiayaan.

Merujuk kepada Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, telah dinyatakan bahawa apabila selesai diakadnikah, Pendaftar hendaklah mencatatkan butir-butir dan taklik yang ditetapkan atau taklik lain di dalam Daftar Perkahwinan.

Menurut Seksyen 22(2), catatan tersebut hendaklah diakusaksikan oleh pasangan perkahwinan, wali dan dua orang saksi yang hadir semasa perkahwinan itu diakadnikahkan. Ia kemudiannya hendaklah ditandatangani oleh Pendaftar.
Merujuk kepada masalah puan, adalah nyata bahawa suami telah tidak memasukkan taklik yang disebutnya ke dalam Daftar Perkahwinan dengan menurut peruntukan Seksyen 22.

Suami juga telah menambahkan syarat kepada perkahwinan tanpa persetujuan puan. Puan telah tidak diberi peluang untuk berunding dan menyatakan keinginan puan dalam penambahan syarat perkahwinan tersebut. Persetujuan pihak-pihak di dalam penambahan syarat kontrak adalah penting.

Ini tidak bermakna bahawa puan mempertikaikan kemampuan suami untuk talak. Sememangnya talak adalah kemampuan suami.

Kenyataan suami puan juga boleh dianggap sebagai satu penganiayaan kerana beliau cuba menghalang puan daripada memohon bantuan sedangkan dia sendiri telah gagal untuk memberi nafkah atau pulang ke rumah.

Adalah patut bagi seorang isteri untuk memohon bantuan nafkah bagi dirinya dan anak-anak apabila isteri tersebut tidak mampu untuk menyara mereka dan suami tidak menjalankan tanggungjawab dan kewajipannya.

Puan kini perlu pergi merujuk ke mahkamah syariah untuk membuat laporan bagi menjelaskan status puan.
Puan tidak perlu untuk menunggu suami puan melaporkan masalah ini. Mahkamah syariah akan menyaman suami untuk hadir semasa perbicaraan.

Perbicaraan di mahkamah syariah kelak adalah untuk mengesahkan status perkahwinan. Mahkamah akan memastikan sama ada talak telah jatuh ke atas puan. Dari segi undang-undang puan akan dianggap masih berkahwin sehingga mahkamah telah mengesahkan perceraian tersebut.

Semasa perbicaraan puan boleh membentangkan kepada mahkamah mengenai perkara yang telah dirujuk tadi. Mahkamah juga akan menentukan niat sebenar dan kesahihan lafaz suami.

Berdasarkan bukti dan keterangan yang telah dikemukakan, mahkamah kemudian akan membuat keputusan mengenai status perkahwinan tersebut. Setelah perbicaraan pengesahan selesai barulah mahkamah akan menentukan isu-isu berbangkit seperti nafkah idah, nafkah mutaah, hak penjagaan anak dan lain-lain.Adalah diharapkan agar puan segera merujuk ke mahkamah syariah.

- Panel Peguam Sisters In Islam.
Kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my