Harta Pusaka: Pembahagian Secara Faraid
15 Ogos 2003

Soalan:

Bapa saya telah meninggal dunia pada bulan April yang lalu. Allahyarham bapa telah meninggalkan waris - isteri, dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Kami telah pergi ke mahkamah syariah dan kami telah diberi Sijil Faraid. Kami kini diberitahu bahawa kami perlu ke mahkamah sivil bagi melaksanakan pentadbiran harta tersebut. Apakah prosedur yang harus kami lakukan?

- Rosnaini Ishak, Taman Connaught, Cheras.

Jawapan:

Pembahagian harta secara faraid adalah salah satu cara pembahagian harta di dalam Islam. Apabila ayat al-Quran mengenai pembahagian harta (di Surah An-Nisa) tersebut diturunkan, ia adalah pada zaman wanita tidak mempunyai hak langsung ke atas hartanya atau harta suami atau bapa yang meninggal dunia.

Malah balu dan anak-anak perempuan juga dianggap sebagai harta pusaka yang boleh diwarisi oleh ahli keluarga si mati.

Ramai wanita yang menjadi mangsa dan, kehilangan hak dan tempat bergantung apabila suami atau bapa mereka meninggal dunia. Mereka telah dianiayai.

Ketidakadilan ini telah dirujuk dan ditangani oleh al-Quran. Allah S.A.W telah memerintahkan agar balu dan anak-anak perempuan diberi hak mereka ke atas harta si mati. Ini merupakan perkara revolusi (baru) pada masa itu. Wanita kini telah diberi hak untuk mewarisi setengah daripada jumlah yang diwarisi oleh saudara lelaki yang mempunyai taraf persaudaraan yang sama.

Pembahagian yang berlainan ini adalah kerana syariah sentiasa memperuntukkan adanya seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan dari segi undang-undang untuk memelihara wanita.

Para lelaki ini adalah terdiri daripada bapa, abang, adik lelaki, suami atau anak lelaki. Pembahagian harta yang lebih kepada lelaki adalah berkait rapat dengan maksud tersebut.

Puan telah menyatakan bahawa puan telah memperoleh Sijil Faraid dari mahkamah syariah. Sijil ini adalah satu penyata mengenai tahap-tahap pembahagian setiap waris si mati.

Bagi prosedur seterusnya, rujukan haruslah dilakukan kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959 (selepas ini dirujuk sebagai APP). Puan perlu memohon Surat Kuasa Mentadbir dari mahkamah sivil sebelum pembahagian harta boleh dilakukan.

Menurut Aturan 30 APP, Surat Kuasa Mentadbir akan diberikan kepada sesiapa yang mempunyai kepentingan terhadap harta pusaka tersebut.

Oleh kerana puan adalah salah seorang waris harta maka puan bolehlah dianggap sebagai mempunyai kepentingan dan bolehlah memohon.

Sekiranya puan mahu pentadbiran dilakukan bersama dengan mana-mana pihak lain yang juga mempunyai kepentingan, maka ia juga boleh dilakukan. Aturan 4(1) APP membenarkan sehingga empat orang pentadbir bagi tujuan ini.

Puan telah tidak menyatakan umur pewaris. Perlu dinyatakan di sini bahawa sekiranya ada di antara pewaris berumur di bawah 18 tahun atau umur minoriti, maka dua pentadbir dan satu perbadanan amanah akan dilantik.

Puan haruslah menyediakan Sijil Kematian (dipohon dari Pendaftar Kelahiran dan Kematian), Sijil Faraid dan sama ada allahyarham bapa ada mempunyai liabiliti lain (hutang). Puan perlu menyiapkan Surat Pentadbiran Akaun Hutang.

Selanjutnya puan perlu memohon Surat Kuasa Mentadbir secara Petisyen melalui Borang 168. Contoh borang ini boleh dirujuk di dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi. Puan harus menyertakan afidavit (kenyataan bersumpah) oleh puan atau pemohon-pemohon dan dokumen-dokumen yang telah dinyatakan. Sekiranya terdapat pewaris minoriti maka Borang 170 perlu digunakan.

Puan akan dipanggil untuk perbicaraan. Ia akan dikendalikan oleh Pendaftar. Sila pastikan bahawa puan telah membayar Duti Harta Pusaka dan membawa bersama sijil tersebut.

Sekiranya segala dokumen telah lengkap maka Pendaftar akan mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir. Dengan adanya surat ini, ia membolehkan Pentadbir Harta menguruskan hutang atau liabiliti yang terbabit dan seterusnya membahagikan baki harta menurut Sijil Faraid dan Surat Kuasa Mentadbir tersebut.

Pentadbir juga perlu mengiklankan pelawaan untuk menuntut harta ke atas harta pusaka. Adalah perlu bagi Pentadbir untuk memberi tempoh masa selama dua bulan bagi tuntutan. Setelah tamat tempoh tersebut pembahagian boleh dijalankan.

Perlu dinyatakan di sini bahawa sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mahu memberi bahagiannya kepada orang lain atau tidak mahu menuntut haknya maka ia dibolehkan.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my