Tunggakan Nafkah: Anak Boleh Tuntut di Mahkamah
18 April 2003

Soalan:

Ibu saya telah diberikan hak penjagaan anak semasa dia bercerai dengan bapa. Mahkamah telah memberi perintah bahawa bapa perlu memberi nafkah kepada saya. Bagaimanapun, bapa saya tidak pernah memberi nafkah kepada saya. Ibu terpaksa menyara saya dengan susah payah.

Saya baru saja menyambut ulang tahun ke 18. Bolehkah saya kini menuntut tunggakan nafkah yang terhutang oleh bapa terhadap saya?

- Salmah Adam, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Mengikut hukum syarak, seorang anak berhak mendapat kehidupan dan hak ini tidak boleh diganggu dan disekat. Seorang bapa berkewajipan memelihara dan memberi ilmu kepada anaknya sehingga anaknya boleh berdikari.

Perkara ini juga telah dimaktubkan dalam Seksyen 72 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Ia menyatakan bahawa seorang bapa mempunyai kewajipan untuk menanggung nafkah anaknya sama ada anak itu berada di bawah jagaannya atau jagaan orang lain.

Nafkah ini telah ditafsirkan sebagai tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran.

Saudari telah menyambut ulang tahun yang ke 18. Menurut Seksyen 2 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah 1991 saudari tidak tergolong dalam definisi golongan kurang berupaya. Dengan ini saudari boleh memulakan tindakan terhadap bapa saudari secara sendiri bagi menuntut nafkah yang tertunggak.

Di dalam kes ini, ibu telah menerima perintah dari mahkamah bagi hak penjagaan dan nafkah anak. Oleh kerana bapa tidak menjalankan kewajipannya dan mengingkari perintah mahkamah, maka tuntutan ke atas tunggakan nafkah boleh dilakukan.

Tuntutan tunggakan nafkah anak tersebut boleh dituntut bermula dari tarikh kegagalan bapa memberi nafkah sama ada selepas cerai mahupun sebelum dari itu lagi.

Tuntutan tunggakan itu hendaklah mengikut umur/perbelanjaan saudari dari bulan ke bulan atau tahun ke tahun. Sebagai contoh tuntutan seorang anak ketika umurnya 3 tahun ialah RM200 sebulan tetapi ketika umurnya 13 tahun mungkin ialah RM400 sebulan kerana perbelanjaannya sudah meningkat. Saudari juga boleh memohon agar jumlah tunggakan nafkah itu dibayar secara sekali gus atau berperingkat atau ansuran bulanan.

Ibu saudari sudah mendapat perintah mahkamah syariah untuk penjagaan anak dan nafkah. Manakala, bapa pula telah dan masih gagal mematuhi perintah nafkah anak tersebut, maka puan boleh membuat permohonan penguatkuasaan dan perlaksanaan ke atas kegagalan bapa mematuhi perintah.

Permohonan seperti ini hanya boleh dipohon selepas terdapat perintah sebelumnya dan pihak yang terlibat telah gagal mematuhi perintah tersebut, serta dipohon di mahkamah yang sama yang mengeluarkan perintah sebelumnya.

Permohonan saudari adalah berkisar mengenai perintah yang telah diperoleh dan pembuktian terhadap kegagalan bapa puan mematuhi perintah tersebut iaitu membayar nafkah anak. Di samping itu saudari boleh memohon perintah perlaksanaan, iaitu tindakan yang boleh dibuat ke atas tunggakan nafkah anak.

Jika bapa masih bekerja boleh memohon perintah tahanan pendapatan tenaga, di mana mahkamah akan mengeluarkan perintah kepada majikan bapa agar memotong gajinya setiap bulan dan diberikan terus kepada saudari.

Selain itu, saudari juga boleh memohon perintah penyitaan dan penjualan, iaitu mahkamah syariah memerintahkan harta-harta milik bapa disita dan dijual secara lelong. Hasil wang jualan lelong tersebut setelah ditolak kosnya akan diberikan kepada saudari untuk membayar tunggakan nafkah anak.
- Tentuan Zulkifli Yong Azmi & Co.

Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat JKR. No. 851, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, atau hubungi talian 03-21426121 atau emelkan ke bantuanguaman@sistersinislam.org.my