Fasakh: Mahkamah Berhak Bubar Perkahwinan
18 Julai 2003

Soalan:

Perkahwinan saya telah berusia lima tahun. Begitupun, suami saya tidak mempedulikan saya dan kami amat jarang bertegur-sapa walaupun tinggal serumah. Dia sering mengasingkan diri walaupun memberi saya perbelanjaan yang amat cukup. Saya telah cuba untuk berkomunikasi tetapi tidak dilayan. Saya telah lama menanggung keperitan ini dan tidak sanggup meneruskan perkahwinan yang tidak sepertinya ini.

Saya diberitahu bahawa saya boleh menuntut perceraian fasakh. Saya tidak memahami maksud fasakh. Apakah ertinya fasakh?

- Norlaili Sulaiman, Kuala Lumpur

Jawapan:

Prinsip mengenai perceraian pada amnya adalah berdasarkan dengan cara yang baik. Ini telah dinyatakan di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 229 yang menyebut bahawa bolehlah berpegang dengan cara yang maaruf atau bercerai dengan cara yang baik.

Jelas di sini bahawa sekiranya pasangan di dalam perkahwinan ingin bercerai maka mereka haruslah bercerai dengan cara yang baik.

Fasakh adalah diertikan sebagai pembubaran atau pembatalan perkahwinan melalui perintah kehakiman.
Ia juga dikenali sebagai tafriq dalam bahasa Arab. Ia merupakan satu cara bagi wanita untuk mendapatkan perceraian dari suaminya.

Terdapat perbezaan di antara mazhab-mazhab mengenai fasakh.

Mazhab Hanafi berpendapat pembubaran perkahwinan adalah hak suami sepenuhnya dan mahkamah hanya mempunyai hak sekiranya suami mempunyai kecacatan yang serius.

Pandangan jumhur Shafie pula mengatakan bahawa fasakh dibenarkan atas alasan kecacatan pihak suami (mati pucuk, tidak siuman, kusta) dan sekiranya suami tidak mampu memberi nafkah minimum yang ditetapkan.

Pengikut mazhab Maliki dan Hanbali pula memberi tafsiran yang lebih luas mengenai kuasa mahkamah untuk memerintahkan pembubaran perkahwinan. Mereka berpendapat bahawa isteri boleh memohon fasakh dengan alasan suami telah melakukan kemudaratan ke atasnya yang menjadikannya mustahil untuk meneruskan kehidupan perkahwinan mereka.

Contohnya memukul, menghina atau memaksanya melakukan perkara yang tidak senonoh.

Di Wilayah Persekutuan, kita telah menerima pakai tafsiran mazhab Maliki dan akta telah menyatakan 12 alasan yang membolehkan seorang isteri untuk mendapatkan perintah bagi membubarkan perkahwinan atau fasakh.

Rujukan kini harus dilakukan kepada Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984. Seksyen tersebut telah menggariskan perkara-perkara berikut yang boleh dijadikan alasan oleh seorang isteri;

(a) Dia tidak mengetahui di mana suami berada selama lebih dari satu tahun;

(b) suaminya cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkah selama lebih tiga bulan;

(c) bahawa suaminya telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih; (Hukuman tersebut haruslah telah dikemukakan dan suami telah menjalani hukuman selama satu tahun.)

(d) bahawa suami tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;

(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau menghidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g) bahawa apabila isteri dikahwinkan, dia belum mencapai umur 16 tahun dan dia menolak perkahwinan tersebut sebelum dia berumur 18 tahun dan dia belum disetubuhi oleh suaminya;

(h) bahawa suami telah menganiaya isteri. Ia juga boleh bermaksud bahawa:

- suami telah sentiasa lazim menyakiti atau telah menjadikan kehidupan isteri menderita; atau
- suami telah berkawan dengan wanita yang tidak baik mengikut Hukum Syarak; atau
- suami telah memaksa isteri hidup secara lucah; atau
- suami telah melupuskan harta isteri atau melarang isteri dari menggunakan haknya ke atas harta tersebut; atau
- menghalang isteri dari menjalankan kewajipan atau amalan agama; atau
- jika suami berpoligami, dia telah tidak melayani isteri secara adil menurut Hukum Syarak;

(i) suami telah enggan bersetubuh dengan isteri melebihi tempoh empat bulan;

(j) isteri tidak merestui perkahwinan di antara mereka sama ada kerana isteri telah dipaksa untuk berkahwin, tidak sempurna akal atau perkara lain yang diakui Hukum Syarak;

(k) isteri menghadapi penyakit kurang siuman;

(l) apa-apa alasan yang diiktiraf sah bagi membubarkan perkahwinan di bawah Hukum Syarak.

Bagi penganiayaan fizikal seperti pukul, ia tidak perlu dibuktikan bagi isteri bahawa perbuatan itu selalu dilakukan oleh suami. Memukul walau tidak lazim adalah mencukupi untuk membuktikan penganiayaan.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my