Boleh Dipenjara - Suami Larikan Anak
19 September 2003

Soalan:

Saya telah bercerai dan mempunyai dua anak lelaki berumur 8 dan 6 tahun. Selepas bercerai, bekas suami saya telah mengambil anak dari sekolah tanpa pengetahuan saya. Saya telah memohon dan menerima perintah sementara ke atas hak penjagaan anak (hadanah) dari mahkamah syariah. Perintah itu telah diberikan kepada 4 Jun 2003 yang lalu. Bekas suami juga telah hadir semasa perintah diberikan oleh mahkamah. Malangnya sehingga kini bekas suami masih enggan menghantar anak kepada saya. Saya masih belum dapat berjumpa mereka walaupun telah berkali saya merayu kepada bekas suami. Apa yang boleh saya lakukan untuk kembali bersama dengan mereka? Saya amat rindukan anak-anak saya.
- Melah Kamsah, Kuala Lumpur

Jawapan:

Bekas suami puan telah mengingkari perintah mahkamah syariah yang telah dikeluarkan melalui Perintah Sementara Hak Penjagaan Anak. Mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa dalam menentukan hak penjagaan anak-anak orang yang beragama Islam dan perintah tersebut haruslah dipatuhi.

Untuk menyelesaikan permasalahan puan ini (kami yakin dan percaya bahawa permasalahan ini banyak berlaku di dalam masyarakat hari ini) terlebih dahulu pihak kami mengkategorikan sebagai kes hadanah atau kes penjagaan anak-anak.

Ini kerana kategori kes adalah berkaitan dengan di mana kes tersebut boleh dimulakan. Asas kes yang berkaitan dengan hadanah ini hendaklah diajukan di mahkamah syariah di dalam kawasan puan bermastautin.

Apa yang puan perlu ketahui kes berkaitan hadanah hendaklah dipohon di mahkamah tinggi syariah saja.
Seterusnya, berdasarkan kes puan, dapatlah diketahui bahawa puan telah berjaya memperoleh suatu `perintah sementara' berkaitan dengan hak penjagaan anak-anak puan dan suami puan telah hadir semasa perintah dikeluarkan.

Perkara penting yang perlu puan ketahui iaitu, perintah sementara yang telah puan peroleh tersebut bukanlah bersifat kekal kuat kuasanya.

Ia hanya bersifat sementara iaitu dengan maksud perintah yang puan peroleh tidaklah berkuat kuasa secara kekal.
Ini tidak bermakna bahawa puan tidak boleh mendapatkan suatu perintah yang berbentuk kekal.
Bagi mendapatkan perintah hak penjagaan anak maka puan hendaklah meneruskan dengan satu permohonan induk untuk mendapatkan perintah kekal.

Ini kerana perintah sementara hanya berkuat kuasa sehingga adanya suatu perintah lain yang diputuskan di dalam kes induk (kes utama). Dari sudut prosedur undang-undang perintah sementara ini perlu disokong oleh kes induk.
Justeru, sebagai penyelesaian terhadap permasalahan ini, puan hendaklah mengambil tindakan meneruskan atau memfailkan suatu permohonan induk, iaitu permohonan hak penjagaan anak-anak di mahkamah tinggi syariah di kawasan tempat bermastautin.

Lazimnya, permohonan puan hendaklah dibuat secara notis permohonan dan afidavit berserta dengan bukit-bukit yang berkaitan. Perlu puan fahami bahawa permohonan ini adalah merupakan permohonan kes induk terhadap perintah sementara yang telah puan peroleh.

Dan perintah yang bakal diputuskan di dalam kes induk ini akan secara automatik membatalkan perintah sementara yang telah puan peroleh dan akan berkuat kuasa secara kekal.

Dalam jangka masa yang sama, puan turut mempunyai hak untuk membuat aduan di Bahagian Pendakwaan, Jabatan Agama Islam di bawah terma Ingkar Perintah Mahkamah, untuk membolehkan bahagian tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap keingkaran bekas suami puan tersebut. Beliau boleh dipenjarakan kerana mengingkari perintah mahkamah syariah. - Tetuan Mahyuddin & Co

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my