Suami Rahsiakan Penyakit - Isteri Boleh Mohon Fasakh
19 Disember 2003

Soalan:

SAYA baru berkahwin pada Ogos 2003. Perkahwinan ini dirancang oleh keluarga dan saya tidak pernah mengenali suami saya sebelum ini. Saya cuma keluar dengannya sekali saja sebelum pernikahan. Selepas berkahwin saya dapati suami sering sakit-sakit. Dia sering mengatakan bahawa ia cuma demam biasa. Akhirnya barulah dia mengaku bahawa dia mengidap leukemia yang dirahsiakannya selama ini. Suami kini telah berhenti kerja dan saya terpaksa menanggung segala perbelanjaan. Sekiranya dia berterus-terang dahulu mungkin saya boleh menerimanya. Kini Saya merasa tertipu dan amat tertekan. Suami tidak berupaya memberi saya nafkah zahir dan batin. Dengan enggan menceraikan saya tetapi saya tidak boleh meneruskan perkahwinan ini. Apa yang boleh saya lakukan.
- Salamiah Shuaib, Wilayah Persekutuan.

Jawapan:

Terima kasih atas soalan puan. Oleh kerana puan menetap di Wilayah Persekutuan maka undang-undang yang terpakai bagi masalah puan adalah Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Perkahwinan merupakan satu ikatan suci di antara suami dan isteri. Ia adalah suatu perkara yang disyorkan oleh agama Islam dan perhubungan di antara suami isteri disebut sebagai salah satu rahmat dan tanda kebesaran Allah kepada manusia. Di mana dalam Surah Rum 30:12 Allah menyebut yang maksudnya: ``Dan di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tertarik kepadanya dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.''

Bagaimanapun, salah satu intipati yang amat penting dalam satu perkahwinan adalah kepercayaan. Untuk ini, setiap pasangan haruslah mempunyai sifat-sifat berterus-terang agar mana-mana pihak tidak rasa dianiaya atau tertipu.
Secara amnya prinsip perceraian di dalam Islam adalah berdasarkan dengan cara yang baik. Ini telah dinyatakan di dalam Surah Al-Baqarah 2:231 yang bermaksud: ``...Bolehlah kamu pegang mereka dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dengan itu janganlah kamu pegang mereka dalam maksud membuat mudarat, kerana kamu hendaklah melakukan kezaliman terhadap mereka dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.''

Adalah nyata di dalam ayat ini bahawa seorang suami tidak boleh terus mahu berkahwin dengan isterinya jika dia bermaksud untuk memudaratkan isteri.

Memang benar tiada siapa pun yang mahu ditimpa kesakitan tetapi suami sepatutnya berterus-terang mengenai keadaannya kepada puan sebelum perkahwinan.

Ini bagi memberi puan peluang untuk berfikir mengenai perkara tersebut dan sama ada puan mampu untuk memikul tanggungjawab ini.

Suami bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada isterinya. Perkara ini juga boleh didapati di dalam Seksyen 59 akta tersebut di mana ia memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan seorang lelaki bagi membayar nafkah isterinya.

Apabila seorang suami tidak boleh memberi nafkah maka isteri boleh menuntut perceraian. ini adalah seperti yang telah diputuskan di dalam kes Abdul Aziz lawan Ceh Pah. Mahkamah telah membenarkan tuntutan isteri untuk menuntut fasakh kerana suaminya telah jatuh papa. Rayuan pihak suami kepada mahkamah rayuan syariah telah ditolak dengan sebulat suara.

Walaupun suami puan enggan menceraikan puan, tetapi puan boleh menuntut perceraian dengan merujuk kepada mahkamah syariah. Puan boleh memohon perceraian melalui fasakh. Secara amnya fasakh adalah merupakan pembubaran atau pembatalan perkahwinan melalui perintah kehakiman di mana pihak isteri membuat permohonan ke mahkamah untuk membubarkan perkahwinan tersebut. Fasakh juga dikenali sebagai tafriq dalam bahawa Arab.
Fasakh boleh dituntut oleh pihak isteri atas salah satu alasan yang diperuntukkan di bawah undang-undang (Seksyen 52 (1)a) hingga (l) Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah PErsekutuan 1984), ia adalah termasuk alasan bahawa suami tidak diketahui berada di mana lebih dari satu tahun.

Selain itu, suami juga tidak memberi nafkah selama tempoh tiga bulan, suami dihukum penjara tiga tahun atau lebih, suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian, atau apa-apa lagi alasan yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau fasakh di bawah hukum syarak.

Justeru, dalam kes ini puan boleh membuat permohonan cerai fasakh berdasarkan kepada alasan di bawah Seksyen 52 (1)(b) di mana suami puan telah cuai dan tidak mengadakan peruntukan bagi nafkah puan selama tempoh tiga bulan.

Di samping itu, puan boleh menuntut perceraian taklik berdasarkan alasan bahawa suami puan tidak mampu untuk memberi nafkah zahir dan batin kepada puan kerana penyakit leukemia yang dihidapinya.

Perceraian taklik ialah perceraian yang boleh dituntut oleh isteri apabila suami telah mengingkari syarat-syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin.

Seksyen 50 Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukan bahawa seorang perempuan yang bersuami berhak mendapat perceraian sekiranya sabit syarat-syarat taklik ke atas beliau.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my