Kos Peguam Tinggi Boleh Wakil Diri Sendiri
20 Jun 2003

Soalan:

Suami saya telah melafazkan talak kepada saya di hadapan ibu bapa saya. Saya sudah memfailkan kes pengesahan perceraian di mahkamah syariah. Saya telah diberitahu bahawa saya memerlukan perkhidmatan peguam bagi kes ini. Saya bekerja sebagai kerani dan bergaji kecil. Keluarga saya tidak berada dan saya juga tidak mempunyai banyak simpanan. Saya menanggung ibu bapa yang telah uzur dan anak yang berumur tujuh bulan. Perbelanjaan bulanan hanya cukup-cukup makan.

Saya tidak mampu untuk menggunakan perkhidmatan peguam kerana beberapa peguam yang telah saya tanya menyatakan harga perkhidmatan agak tinggi. Harap pihak puan dapat membantu.
- Ba'ayah Sidin, Shah Alam.

Jawapan:

Proses di mahkamah bukan mudah. Selain dokumen-dokumen yang perlu disiapkan, proses perbicaraan juga menjadi sesuatu yang rumit. Cara mengemukakan bukti dan mengendalikan perbicaraan memerlukan kemahiran dan keyakinan. Kebanyakan orang awam yang tidak biasa dengan proses mahkamah mungkin akan rasa janggal apabila berada di mahkamah, apalagi apabila mereka mengendalikan kes dengan sendiri.

Puan telah melakukan perkara yang wajar dengan bertanyakan kos perkhidmatan sebelum melantik peguam bagi memastikan bahawa puan mampu membayar perkhidmatan mereka.

Perlu dinyatakan bahawa tiada sebarang garis panduan bagi kos perkhidmatan peguam bagi perbicaraan. Oleh itu harga perkhidmatan mungkin berbeza di antara setiap peguam. Adalah perlu bagi mana-mana pihak di dalam perbicaraan melakukan kajian harga.

Selain itu, kos perkhidmatan yang dinyatakan selalunya tidak termasuk bayaran memfail, perjalanan dan sebagainya. Oleh itu, setiap anak guam perlu bertanya bagi mengetahui kedudukan sebenar kos yang akan dibilkan kepadanya. Peguam juga wajar memberi penjelasan setiap perkara yang dituntut bayaran. Anak guam tidak harus takut untuk bertanya.

Mewakilkan peguam bukan satu-satunya cara bagi mengendalikan perbicaraan di mahkamah, sebaliknya puan boleh mewakili diri sendiri. Ini bermakna, puan tidak perlu menggunakan khidmat peguam. Pihak mahkamah prihatin terhadap mereka yang tidak mempunyai wang mencukupi.

Puan menetap di Shah Alam, maka Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah (Selangor) 1991 akan dirujuk.
Merujuk kepada Seksyen 114 (1) enakmen tersebut, ia menyatakan bahawa mana-mana pihak boleh hadir bersendirian atau melalui peguam syarienya. Jelas sekali puan dibenarkan mewakili diri sendiri di mahkamah.

Bagi proses penyediaan dokumen, enakmen tersebut menyatakan melalui Seksyen 252, mahkamah atau Pendaftar Mahkamah boleh mengarahkan seorang pegawai mahkamah membantu mana-mana pihak yang tidak ada peguam untuk menyediakan apa-apa dokumen yang hendak difailkan di atau digunakan berkaitan dengan apa-apa prosiding.

Puan boleh memohon dari mahkamah atau pendaftar untuk menggunakan budi bicara mereka bagi maksud membantu puan dalam penyediaan dokumen-dokumen yang diperlukan.

Seksyen 252 juga menyatakan bahawa tiada `fi' , upah atau ganjaran apa-apa boleh diambil atas bantuan ini. Oleh itu, puan tidak perlu khuatir mengenai bayaran yang perlu dibayar kerana perkhidmatan ini tidak dikenakan apa-apa bayaran.

Proses pengesahan perceraian adalah bagi memastikan bahawa sama ada talak telah jatuh melalui perkataan yang dilafazkan oleh suami. Oleh kerana suami telah melafazkan talak di hadapan ibu bapa puan, maka puan boleh membawa mereka sebagai saksi.

Selain daripada merujuk kepada persatuan wanita untuk bantuan, puan boleh juga memohon pertolongan pihak Majlis Peguam melalui Pusat Bantuan Guaman atau Biro Bantuan Guaman di Shah Alam. Mereka boleh memberikan perkhidmatan peguam secara percuma sekiranya puan menepati tahap kelayakan kewangan mereka.

- Panel peguam Sisters In Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my