Perkosa Anak - Bapa Tidak Layak Jadi Wali
21 Febuari 2003

Soalan:

Saya mempunyai kemusykilan mengenai soal wali. Adakah seorang bapa yang pernah merogol anaknya masih boleh mewalikan anak yang telah dirosakkannya? Pihak bakal suami saya tidak mengetahui perkara ini dan saya tidak mampu untuk berterus terang kerana ia melibatkan maruah saya.

Sekiranya bapa tidak layak menjadi wali perlukah dia menghadiri perkahwinan saya kerana saya tidak mahu berjumpa dengannya memandangkan apa yang telah dilakukan ke atas saya.
- Musykil, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Wali merupakan satu keperluan semasa pernikahan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama berkenaan mereka yang berhak menjadi wali nikah dan susunan keutamaan, tetapi terdapat persetujuan pendapat bahawa seorang wali haruslah sempurna akal, dewasa dan beragama Islam.

Rujukan juga boleh dilakukan kepada perenggan 2(c) Jadual Keempat Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kelantan) 1983 yang menyatakan syarat-syarat perlu bagi seorang wali, beliau hendaklah seorang yang beragama Islam, lelaki, bertindak bukan kerana paksaan, tidak dalam ihram haji atau umrah, sempurna akal dan tidak fasiq, iaitu tidak melakukan apa-apa dosa besar dan tidak selalu melakukan dosa-dosa kecil.

Merujuk kepada pertanyaan saudari sama ada seorang bapa yang telah merogol anaknya layak menjadi wali, adalah jelas di sini bahawa beliau tidak layak untuk menjadi wali kerana dia adalah seorang yang fasiq.

Bapa tersebut telah melakukan dosa yang amat besar dan tidak bertanggungjawab dalam peradabannya sebagai seorang bapa.

Mengenai prosedur perkahwinan yang harus saudari lalui, oleh kerana saudari menetap di Kuala Lumpur maka Enakmen Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 akan di rujuk.

Seksyen 13 enakmen tersebut menyatakan bahawa sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah akta tersebut melainkan kedua-dua pihak kepada perkahwinan tersebut bersetuju dan sama ada:
a) Wali perempuan bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut hukum syarak atau
b) Hakim syariah yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak perempuan itu bermastautin atau seorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh hakim syariah bersetuju perkahwinan menggunakan wali Raja mengikut hukum syarak.

Persetujuan diberi selepas penyiasatan yang wajar di hadapan semua pihak berkenaan.
Persetujuan juga boleh diberi jika pihak perempuan tidak mempunyai wali dari nasab mengikut hukum syarak.
Seksyen tersebut antara lainnya menyatakan keperluan wali atau penggunaan wali hakim bagi memastikan sesuatu perkahwinan tersebut diiktiraf dan membolehkan ia didaftarkan.

Saudari perlu merujuk kepada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosedur penggunaan wali hakim sebagai wali saudari.

Mahkamah akan mengadakan perbicaraan sebelum kebenaran bagi wali hakim diberikan. Saudari perlu mengemukakan dua saksi. Sila bawa salinan kad pengenalan mereka bagi proses permohonan, sekiranya bapa telah disabitkan di bawah akta jenayah maka perkara tersebut boleh dirujuk kepada mahkamah.

Mahkamah akan menetapkan tarikh bicara dan saudari akan diminta hadir bagi tujuan perbicaraan.
Saudari boleh meminta budi bicara mahkamah untuk mengadakan proses perbicaraan di dalam kamar dan bukan di mahkamah terbuka, memandangkan perkara yang dihadapi oleh saudari adalah sensitif dan amat berat.
Bagi perkara ini, saudari perlu berhubung dengan pendaftar mahkamah.

Perlu juga dinyatakan di sini bahawa kehadiran bakal suami saudari atau keluarganya tidak perlu bagi proses ini. Oleh itu saudari tidak perlu khuatir kerana perkara ini masih boleh dirahsiakan daripada mereka.

Merujuk kepada soalan saudari sama ada bapa tersebut perlu menghadirkan diri ke majlis perkahwinan tersebut, tidak ada apa-apa keperluan di dalam mana-mana undang-undang mengenai kehadirannya. Ia terpulang kepada budi bicara saudari sendiri.

- Panel peguam Sisters In Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my