Mas Kahwin - Wanita Berhak Letak Harga
21 November 2003

Soalan:

SAYA akan berkahwin pada tahun hadapan. Saya agak keliru dengan bayaran mas kahwin dan hantaran yang perlu saya jelaskan. Adakah terdapat perbezaan di antara mas kahwin dan hantaran? Adakah saya mesti memberikan kedua-duanya kepada bakal isteri saya?
- Johari Musa, Kuala Lumpur

Jawapan:

Di dalam surah An-Nisa, ayat 4, Allah telah berfirman bahawa: Carilah isteri dengan hartamu untuk dikahwini bukan untuk berzina. Maka isteri yang kamu nikmati, berikanlah kepada mereka maharnya (dengan sempurna) sebagai suatu kewajipan; dan tiadalah mengapa bagi kamu terhadap sesuatu yang kamu telah saling merelakannya, sesudah menentukan mahar itu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha bijaksana.

Adalah jelas di sini bahawa pemberian mas kahwin (mahar) adalah pembayaran perkahwinan yang wajib dibayar oleh suami kepada isterinya. Pembayaran ini adalah dilakukan semasa akad nikah.

Mas kahwin boleh berbentuk wang atau sesuatu yang boleh dinilai dengan wang. Contohnya, jika seorang wanita tidak mahukan mahar dalam bentuk wang, dia boleh menentukan bahawa barang kemas dianggap sebagai mas kahwinnya.

Ia juga boleh dalam bentuk tunai iaitu dibayar semasa akad nikah. Sekiranya pasangan lelaki tidak mampu untuk membayar mas kahwin secara tunai maka ia boleh dibayar secara hutang iaitu bayaran mas kahwin adalah tertunggak pada waktu yang ditentukan.

Perlu diingatkan bahawa mas kahwin adalah hutang dan oleh itu perlu dibayar oleh suami. Sekiranya terjadi perceraian di antara pasangan dan isteri belum dibayar mas kahwin yang terhutang maka isteri boleh menuntut bayaran tersebut.

Perkara yang sama juga boleh dituntut sekiranya suami meninggal sebelum membayar mas kahwin. Sebelum pembahagian harta pusaka dilakukan, bayaran mas kahwin haruslah diberi kepada isteri.

Hutang ini tidak akan terhapus oleh masa. Ini bermakna walaupun seorang isteri telah berkahwin dalam tempoh yang lama, contohnya 10 tahun, hutang mas kahwin ini tidak akan terhapus. Suami masih bertanggungjawab ke atas pembayaran mas kahwin selagi dia tidak melunaskannya.

Seorang wanita adalah berhak untuk meletakkan jumlah bayaran mas kahwinnya. Pihak kerajaan juga telah menetapkan bayaran minima yang perlu dibayar oleh bakal suami.

Bagaimanapun, jumlah bayaran ini boleh ditambah oleh wanita tetapi tidak boleh dikurangkan. Oleh kerana saudara berada di Wilayah Persekutuan, maka bayaran minima yang telah ditetapkan hanyalah RM30.

Seorang isteri adalah berhak ke atas mas kahwinnya. Ia merupakan hak mutlak dan tidak boleh disentuh oleh suami melainkan jika isteri merelakannya seperti yang tersebut di atas.

Sememangnya terdapat perbezaan di antara mas kahwin dan hantaran. Mas kahwin adalah merupakan pemberian wajib tetapi hantaran lebih merupakan hadiah kepada isteri. Ia adalah tidak wajib.

Menurut akad kita, wang hantaran merupakan bantuan bagi pihak isteri untuk `belanja kahwin'. Ia dapat mengurangkan beban isteri dan keluarga isteri dalam membuat persiapan majlis perkahwinan.

Ia juga boleh dianggap sebagai hadiah kepada isteri yang kini bakal menjadi pasangannya.
Bayaran mas kahwin ditetapkan oleh kerajaan. Bayaran minima tidak boleh dikurangkan tetapi boleh ditambah. Wang hantaran pula ditetapkan oleh pihak-pihak dalam perkahwinan. Bayaran tersebut terpulang kepada mereka.
Adalah disarankan agar saudara berbincang dengan bakal isteri mengenai hadiah yang perlu diberi kepada pihak isteri.

Perkahwinan sesuatu yang berdasarkan komunikasi dan kasih sayang. Ini amat nyata dan terkandung dalam Surah Rum Ayat 21: Dan di antara tanda-tandak kebesaran-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tertarik kepadanya dan jadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Segala kemusykilan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my