Elak Bayar Nafkah: Suami Sorok Alamat Majikan
22 Ogos 2003

Soalan:

Saya telah bercerai secara talak pada Jun 2003. Kami mempunyai 3 orang anak yang masih kecil. Saya akan menjalani perbicaraan mengenai tuntutan nafkah anak-anak terhadap bekas suami saya. Bekas suami kini telah menukar tempat kerjanya.

Apabila saya bertanya dia enggan memberitahu di mana dia bekerja kini. Saya telah diberitahu bahawa saya memerlukan alamat majikan suami sekiranya saya mahukan perintah pembayaran secara potongan gaji.

Bagaimana saya boleh berbuat demikian sedangkan dia sentiasa mengelak?

- Nani Mansur, Shah Alam

Jawapan:

Perkahwinan yang berakhir dengan perceraian akan menimbulkan persoalan mengenai hak dan tanggungjawab bagi kedua pihak selepas perceraian tersebut. Jika pasangan suami isteri yang bercerai mempunyai anak, maka menjadi kewajipan bagi pasangan yang bercerai tersebut menjaga kebajikan anak.

Hak penjagaan anak-anak boleh ditentukan oleh suami isteri atau sekiranya kedua-dua belah pihak mahukan hak penjagaan maka mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan siapa yang layak diberikan hak penjagaan.

Sekiranya ibu telah diberi hak, tanggungjawab bapa adalah tidak terhenti. Beliau masih perlu terus menanggung anaknya.

Adalah menjadi tanggungjawab bapa untuk memberikan nafkah kepada anak-anak tersebut mengikut kadar keperluan anak-anak dan kemampuan bapa tersebut.

Seksyen 72 Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan dengan jelas menyebut bahawa bapa hendaklah menyediakan peruntukan untuk penjagaan anak-anak sama ada anak-anak tersebut berada di bawah jagaannya atau jagaan orang lain.

Kegagalan seorang bapa untuk memperuntukkan nafkah kepada anak-anak membolehkan ibu (isteri) memfailkan permohonan bagi suatu perintah mewajibkan kepada bapa tersebut untuk memberikan nafkah kepada anak-anak.

Puan juga boleh memohon kepada Mahkamah agar pembayaran nafkah dilakukan secara potongan gaji. Ini juga amat disarankan kerana puan tidak perlu menagih nafkah dari suami. Mahkamah boleh mengeluarkan perintah ke atas majikan suami untuk memotong gaji suami.

Setelah potongan dilakukan majikan kemudian akan menyalurkan potongan tersebut ke dalam akaun anak-anak atau akaun puan sebagai pemegang amanah.

Puan telah menyatakan bahawa suami puan kini enggan memberitahu puan butir-butir mengenai tempat kerjanya. Sememangnya maklumat ini adalah perlu kerana perintah mahkamah mengenai potongan gaji adalah ke atas majikan.

Bagaimanapun, mahkamah boleh memerintahkan suami untuk mengisytiharkan nama majikan dan tempat kerjanya. Perkara ini haruslah dipohon oleh pihak isteri. Suami adalah wajib untuk memberitahu butir-butir tersebut setelah diperintahkan oleh mahkamah.

Sekiranya suami enggan untuk memberitahu butir-butir tersebut, maka keengganannya boleh menyebabkan beliau dihukum kerana melakukan penghinaan terhadap mahkamah. Sekiranya dia sabit kesalahan maka dia boleh dikenakan hukuman denda atau penjara.

Perlu dinyatakan bahawa pihak suami juga boleh dengan sukarela melakukan pembayaran nafkah secara potongan gaji.

Ini juga boleh memastikan bahawa pembayaran nafkah anak-anak tidak terputus dan kebajikan mereka sentiasa dijaga. Anak-anak memerlukan nafkah bagi meneruskan kehidupan dan mereka tidak seharusnya diabaikan. Kesejahteraan mereka sepatutnya menjadi perkara utama.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my