Berbincang Selesai Pembahagian Harta
24 Januari 2003

Soalan:

SAYA telah berkahwin selama 25 tahun dan kini sedang menjalani proses perceraian. Suami telah melafazkan talak.
Semasa kami mula berkahwin, suami hanyalah pegawai rendah dan kini seorang ahli perniagaan yang berjaya. Saya telah membiayai lanjutan pelajarannya, memberi wang modal niaga dan membantu perniagaannya tanpa dibayar gaji.
Adakah saya mempunyai hak ke atas perniagaannya kini sebagai harta sepencarian? Apakah bahan bukti yang harus saya kemukakan?
- Najmi Jamil, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Puan, talak akan jatuh jika dilafazkan dan jika suami puan pernah melafazkannya, maka perceraian telah berlaku. Bagaimanapun, lafaz talak tersebut hendaklah mematuhi syarat-syaratnya bergantung kepada jenis atau bahagian iaitu talak sorih atau kinayah. Justeru, kes puan ini bersifat prosedur pengesahan talak.

Isu yang ditimbulkan di sini ialah mengenai hak seorang isteri atau janda terhadap harta sepencarian. Hakikatnya, seorang suami bertanggungjawab ke atas nafkah zahir dan batin isterinya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: Setiap seorang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggung jawab atas orang yang kamu pimpin.

Dalam hal perbelanjaan seorang suami bagi dirinya sendiri maka pastinya itu adalah merupakan tanggungjawab dirinya sendiri. Namun, jika suami menggunakan wang isterinya untuk menyempurnakan tanggungjawabnya terhadap keluarga atau dirinya sendiri, maka itu bermaksud si suami berhutang atau menggunakan hak isteri.
Berbeza dengan kedudukan seorang isteri kerana seorang isteri mempunyai hak dalam sebahagian pendapatan suami yang terdiri daripada bentuk nafkah iaitu perbelanjaan atas keperluan rumahtangga dan dirinya sendiri atas kadar yang sesuai dengan jumlah pendapatan suami dan keperluan asasi kehidupan semasa.

Jika seorang isteri ada mengeluarkan perbelanjaan untuk suaminya, maka perbelanjaan itu hendaklah dilihat kepada tujuan, bentuk dan niat isteri itu sendiri. Ini kerana perbelanjaan ini boleh jadi keluar daripada poket isteri atau pinjaman daripada sesiapa untuk meringankan beban suami atau untuk membiayai keperluan rumahtangga atau bagi mencapai matlamat keselesaan kehidupan dan boleh jadi perbelanjaan kepada perkara yang tidak perlu atau pembaziran.

jika sekiranya perbelanjaan ini keluar daripada duit poketnya untuk meringankan bebanan suami atau membiayai keperluan hidup atau mencapai matlamat keselesaan kehidupan berumahtangga, ianya sudah boleh dikira sebagai satu sumbangan atau pelaburan kepada kejayaan suami sama ada dalam kerjaya atau perniagaan.

Jika sekiranya sekiranya sumber kewangan diperoleh secara pinjaman, ia dikira sebagai satu hutang yang menjadi tanggungjawab suami untuk membayar atau menebusnya bagi pihak isteri.

Ia juga dikira sebagai satu pelaburan isteri terhadap kejayaan suami dalam kerjaya dan perniagaan. Lebih-lebih lagi jika modal perniagaan suami itu disumbangkan oleh isteri. Ini amat jelas satu pelaburan yang mana hasil daripada perniagaan itu memberi dua hak kepada seorang isteri iaitu hak sebagai seorang rakan kongsi dalam perniagaan dan hak isteri atas hasil pendapatan suami sebagai balasan hidup bersama dalam kerukunan rumahtangga.

Dalam kes ini, puan sememangnya mempunyai hak ke atas perniagaan suami dan boleh membuat tuntutan bukan setakat hasil bahkan sejumlah kepentingan dalam saham syarikat suami puan.

Dalam tempoh perkahwinan yang terjalin selama 25 tahun, sudah pasti banyak faktor yang boleh membantu puan untuk membuktikan harta sepencarian terhadap bekas suami puan.

Untuk menyokong tuntutan puan, bukti atau keterangan yang diperlukan antara lain ialah maklumat berkenaan latar belakang puan termasuklah kedudukan kewangan semasa syarikat dikendalikan oleh bekas suami puan dan jenis perniagaannya. Begitu juga sejauh mana penglibatan puan dalam pengurusan perniagaan, kadar modal yang disumbangkan dan jumlah elaun yang diterima.

Selain itu, maklumat mengenai jumlah nafkah bulanan sebagai isteri, jumlah perbelanjaan wajib isi rumah sesuai dengan status kehidupan dari semasa ke semasa juga diperlukan.

Sementara itu, puan juga boleh mengemukakan jumlah aset terkini syarikat perniagaan, jumlah aset atas nama suami puan yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan dan sebarang dokumen yang boleh menyokong keterangan berkaitan.

Puan dinasihatkan berbincang dengan bekas suami mengenai cadangan pembahagian harta sepencarian dan berunding dengan peguam agar penyelesaian yang bakal dicapai dapat memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak.

- Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dari Tetuan W.A. Fauzi & Co.
Sebarang pertanyaan, sila hantarkan ke No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my