Kaveat Harta - Lindungi Hak Isteri
24 Oktober 2003

Soalan:

Saya sedang menjalani proses tuntutan harta sepencarian dan sekarang sedang menunggu perbicaraan di mahkamah. Salah satu hartanah yang kami pertikaikan adalah sebidang tanah di Shah Alam. Harta tersebut telah kami beli bersama-sama tetapi ia adalah atas nama suami. Saya telah mendaftarkan kaveat bagi melindungi hak saya. Tetapi baru-baru ini saya telah menerima surat dari Pejabat Tanah yang menyatakan bahawa kaveat saya akan diluputkan. Apa yang boleh saya lakukan kini?
- Kamariah Bairul, Shah Alam, Selangor

Jawapan:

Kaveat persendirian adalah salah satu cara yang telah diperuntukkan bagi melindungi hak individu yang boleh didaftar di atas sesuatu hartanah. Ia berperanan sebagai memberi amaran kepada sesiapa yang mahu memiliki hartanah tersebut, bahawa terdapat hak yang perlu diambil kira.

Kebolehan memasukkan kaveat diperuntukkan di bawah Seksyen 322 Kanan Tanah Negara. Seksyen tersebut menyatakan bahawa sesiapa yang mempunyai kepentingan yang boleh didaftarkan, bolehlah memasuki suatu kaveat persendirian untuk melindungi kepentingan mereka.

Kaveat merupakan satu pendaftaran hak di mana hak tersebut akan tertera di atas geran tanah. Apabila satu kaveat telah didaftarkan, pemilik berdaftar hartanah tidak boleh membuat sebarang bentuk jual beli atau mencagar hartanah berkenaan kepada sesiap sehingga kaveat tersebut dikeluarkan.

Lazimnya, dalam sesuatu perjanjian jual beli hartanah, satu carian akan dilakukan oleh pembeli ke atas geran hartanah bagi memastikan kesahihan pemilikan hartanah tersebut.

Carian ini akan dilakukan id Pejabat Tanah di mana hartanah tersebut telah didaftarkan. Oleh itu, pembeli hartanah akan maklum mengenai hak puan ke atas tanah tersebut dan bahawa suami puan adalah terhalang daripada membuat sebarang jual beli tanpa penyelesaian dari mahkamah.

Sesuatu jual beli tidak boleh diteruskan sekiranya terdapat halangan menjual hartanah tersebut. Oleh itu, hak puan adalah terpelihara.

Terdapat beberapa ciri penting mengenai sesuatu kaveat persendirian yang puan perlu maklum.
Pertama, satu kaveat persendirian hanya mempunyai jangka masa `hidup' enam tahun. Oleh itu, selepas tempoh enam tahun sekiranya kaveat tersebut tidak dilanjutkan, maka kaveat tersebut akan luput secara automatik.
Selain itu, permohonan untuk memasukkan satu kaveat persendirian juga mesti disokong dengan alasan yang kukuh di mana puan mesti membuktikan bahawa puan mempunyai kepentingan untuk memasukkan kaveat (caveatable interest).

Bagi menunjukkan kewujudan kepentingan kaveat, terdapat dua keadaan;
Pertama, sekiranya proses perceraian masih berjalan dan mahkamah syariah belum lagi mengemukakan satu perintah mengenai kedudukan hartanah yang dituntut itu, maka puan boleh memasukkan kaveat dengan alasan hartanah tersebut dituntut melalui kes perceraian dan sebelum mahkamah mengemukakan perintah, hartanah tersebut hendaklah dikaveatkan agar pihak suami dihalang daripada menjual atau mencagar hartanah tersebut.

Sebaliknya, sekiranya proses perceraian telah selesai dan mahkamah memerintahkan bahawa hartanah tersebut hendaklah dipindah milik kepada puan, maka puan boleh memasukkan kaveat berdasarkan perintah mahkamah dan satu salinan perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah harus dilampirkan. Proses memasukkan kaveat pada peringkat ini hanya untuk sementara waktu, sementara menunggu pindah milik hartanah tersebut kepada puan.
Justeru, kemungkinan besar pihak Pejabat Tanah memaklumkan bahawa kaveat puan telah luput dan bukan kerana puan tidak berhak memasukkan kaveat.

Bagi mendapatkan kepastian puan dinasihati agar menghubungi Pejabat Tanah berkaitan. Setelah puan mendapat tahu sebab kaveat tersebut dilupuskan, maka puan dapat mengambil langkah selanjutnya untuk menjaga kepentingan puan di dalam perkara ini.

Perlu juga dimaklumkan kepada puan bahawa bagi kaveat persendirian, sekiranya ia tidak luput kerana jangka masa, ia hanya boleh dikeluarkan dengan perintah mahkamah sahaja.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my