Ingin Kahwin Sepupu: Pasangan Dilarang Keluarga
25 Julai 2003

Soalan:

Saya mempunyai masalah yang agak rumit. Perhubungan saya dengan kekasih tidak direstui oleh keluarga. Kami telah berkawan selama lebih 3 tahun dan berhajat untuk mendirikan rumah tangga. Malangnya keluarga mahu kami memutuskan hubungan. Alasan keluarga adalah kerana saya dan kekasih adalah sepupu. Ayah saya adalah abang kepada ibu kekasih saya. Keluarga menyatakan bahawa hubungan ini adalah terlarang. Saya tidak tahu apa yang patut saya lakukan sekarang. Adakah hubungan saya dan kekasih boleh diteruskan?

- Juliana Johari, Keramat, Kuala Lumpur

Jawapan:

Al-Quran memberi penekanan kepada perhubungan di antara suami dan isteri sebagai sumber kebahagiaan yang terbentuk berasaskan perasaan cinta mencintai, kebaikan hati dan keadilan. Di dalam Ayat 30:12 telah dinyatakan:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan kamu pasangan mu dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan: sesungguhnya yang sedemikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir.

Jelas di sini bahawa Allah s.a.w. telah menjadikan perasaan kasih sayang di antara kita sebagai salah satu tanda-tanda kekuasaan-Nya. Sesungguhnya ikatan perkahwinan adalah dituntut oleh agama bagi mereka yang mampu dan bersedia. Perkahwinan merupakan satu keistimewaan dari sudut keagamaan, iaitu ia memenuhi naluri manusia ciptaan Tuhan yang unggul. Ia timbul dalam bentuk hubungan fizikal, psikologi dan undang-undang. Malah di dalam al-Quran ia dinyatakan sebagai satu perjanjian atau persefahaman yang kuat (4:21).

Saudari kini ingin melanjutkan hubungan yang telah terjalin di antara anda dan kekasih ke jinjang perkahwinan.

Tujuan saudari untuk menguatkan perhubungan ini dengan akad nikah adalah amat baik sekali, terutama apabila kedua-dua belah pihak telah bersedia untuk memikul satu tanggungjawab yang berat.

Kadangkala memang terdapat perhubungan yang dilarang bagi pihak-pihak tersebut untuk berkahwin. Ia juga diperuntukkan di dalam undang-undang.

Saudari kini menetap di Keramat, Kuala Lumpur. Oleh itu, saudari adalah tertakluk di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Rujukan boleh dilakukan kepada Seksyen 9 Akta yang mengenai pertalian yang melarang perkahwinan. Seksyen ini menyenaraikan perhubungan-perhubungan yang tidak membolehkan perkahwinan dilangsungkan.

Seksyen 9(1) menyatakan bahawa mana-mana lelaki atau perempuan tidak boleh berkahwin sekiranya mereka mempunyai pertalian darah dengan yang berikut:

(a) ibu atau bapanya;
(b) neneknya sama ada dari sebelah bapa atau ibu;
(c) anak perempuannya atau anak lelakinya, dan cucu perempuannya atau cucu lelakinya dan turutan berikutnya;
(d) saudara perempuan atau saudara lelaki seibu sebapa (adik-beradik), saudara perempuan atau saudara lelaki sebapa atau seibu (adik-beradik tiri);
(e) anak perempuan atau anak lelaki kepada saudara lelaki atau saudara perempuan dan turutan berikutnya (anak saudara);
(f) emak saudara atau bapa saudara sebelah bapa dan turutan berikutnya;
(g) emak saudara atau bapa saudara sebelah ibu dan turutan berikutnya.
Seksyen 9 (2) pula menyatakan larangan berkahwin atas sebab-sebab adanya pertalian perkahwinan di antara seorang perempuan atau lelaki, dengan
(a) ibu mertuanya atau bapa mertuanya dan turutannya;
(b) emak tiri atau bapa tirinya;
(c) nenek atau datuk tirinya;
(d) menantunya;
(e) anak perempuan atau anak lelaki tirinya.

Seksyen 9(3) juga melarang perkahwinan sekiranya terdapat hubungan susuan di antara pasangan tersebut.

Bagi seorang lelaki, dia adalah dilarang mempunyai dua isteri pada masa yang sama sekiranya isteri-isteri tersebut mempunyai pertalian melalui nasab (pertalian darah), pertalian kahwin atau susuan. Ini adalah menurut Seksyen 9(4).

Adalah jelas di sini bahawa perhubungan di antara sepupu adalah tidak termasuk sebagai perhubungan di mana perkahwinan tidak boleh dilangsungkan.

Menurut undang-undang adalah tidak menjadi satu kesalahan bagi saudari untuk berkahwin.
Kami berharap saudari boleh berbincang dengan keluarga mengenai perkara ini. Mungkin apa yang dirunsingkan adalah hubungan keluarga yang agak dekat kerana anggapan masyarakat kita. Dari segi perundangan ia tidaklah menjadi satu sekatan.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my