Taklik - Perjanjian Untuk Jamin Hak
26 September 2003

Soalan:

SAYA akan berkahwin dengan teman wanita saya pada akhir tahun ini. Kami mempunyai masalah kini kerana dia meminta saya untuk menandatangani perjanjian taklik.

Saya rasa bahawa ia adalah tidak perlu dan tidak wajar. Kenapa harus kami merancang untuk bercerai sedangkan kami baru sahaja mahu berkahwin? Bukankah sudah terdapat taklik tetap jadi kenapa ia harus ditambah? Saya amat buntu kini. Sesetengah rakan saya juga mengatakan bahawa taklik hanya bertujuan untuk mengongkong suami.
- Mohamed Faizal Ismail, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Allah menciptakan manusia berpasang-pasangan dan meredhai perkahwinan sebagai satu ikatan yang amat suci. Perkahwinan bukan sahaja satu ikatan kasih sayang dan kekeluargaan tetapi ia juga adalah merupakan satu akad atau perjanjian (kontrak).

Oleh kerana itulah kita mengenali majlis perkahwinan sebagai akad nikah iaitu perjanjian perkahwinan - perjanjian di antara seorang lelaki dan wanita untuk menjalani kehidupan sebagai suami isteri.

Oleh itu, seperti juga perjanjian yang lain, ia perlu diiringi dengan syarat-syarat yang perlu dihormati oleh pasangan-pasangan yang berjanji.

Syarat-syarat ini dikenali sebagai taklik di dalam perkahwinan.
Meletakkan syarat di dalam perjanjian perkahwinan adalah dibenarkan dalam Islam. Uqbah bin Amir (r.a) meriwayatkan Rasulullah sebagai bersabda: Syarat yang paling patut dipenuhi oleh isterimu ialah menjadikan persetubuhan (dengan isterimu) halal (untukmu) - (Sahih Muslim, Kitab Nikah Hadis 3302 Sunan Abu Dawud, Kitab An-Nikah Hadis 2134).

Ulasan Ahmad Hassan Sunan Abu Dawud ini: Syarat yang dikenakan oleh pihak isteri semasa perkahwinan atau janji seorang lelaki yang diberi sebelum perkahwinan mestilah dipatuhi. Contohnya, seorang perempuan berkahwin dengan syarat bahawa suaminya tidak akan membawanya pergi dari tempat di mana dia hendak tinggal. Ini berkemungkinan bahawa dia mempunyai ibu yang uzur. Suami hendaklah mematuhi syarat ini.

Jika dilihat amalan negara kita kini, sememangnya telah ada tersedia taklik tetap yang perlu dilafazkan oleh suami setelah akad nikah dilangsungkan. Ini bukanlah satu perkara yang baru. Ia boleh didapati di surat perakuan nikah. Tetapi taklik tetap ini adalah berlainan bagi setiap negeri di Malaysia.

Ia juga mungkin tidak lengkap bagi pasangan kerana setiap perkahwinan adalah di antara mereka yang mempunyai kehendak atau situasi yang berlainan.

Oleh itu adalah perlu bagi taklik sedia ada ini ditambah menurut kehendak pasangan-pasangan yang akan berkahwin.
Taklik bertujuan untuk menjamin hak dan kepentingan pihak isteri di dalam perkahwinan. Di dalam Islam, suami dituntut untuk berbuat baik kepada isteri kerana sebaik-baik di kalangan umat Islam ialah mereka yang berbuat baik kepada isterinya.

Perlu dinyatakan bahawa taklik tambahan bukanlah hanya tertumpu kepada perkara-perkara mengenai perceraian.
Syarat-syarat yang boleh dimasukkan oleh pasangan-pasangan tersebut adalah apa-apa perkara yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Ini juga merupakan perkara terbaik yang boleh dilakukan bagi pasangan yang akan berkahwin. Kedua-dua belah pihak berkomunikasi mengenai alam rumah tangga yang akan dilalui. Masa ini juga boleh digunakan untuk meluahkan kegusaran yang mungkin terdapat di dalam hati pasangan.

Ditegaskan di sini bahawa tujuan bagi penambahan taklik bukanlah dengan niat untuk mengongkong suami. Ia adalah bagi menjamin hak isteri dengan lebih terperinci. Sebagai contohnya, seorang isteri yang sedang menyara keluarganya mungkin mahu terus berbuat demikian setelah berkahwin.

Oleh itu dia boleh meletakkan syarat bahawa suami tidak boleh menghalangnya dari bekerja dan memberi wang bulanan kepada keluarga.

Bagi hal-hal perceraian pula, taklik tidak menafikan hak suami ke atas talak. Malah ia menjaga keharmonian rumah tangga kerana bakal suami setelah berbincang mengenai taklik akan lebih prihatin akan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.

Ia juga menjamin hak isteri seperti apabila isteri meletakkan syarat bahawa apa-apa harta isteri yang dikumpul sebelum perkahwinan adalah haknya yang mutlak. Isteri juga boleh meletakkan syarat bahawa dia tidak mahu dipoligamikan.

Sekiranya suami mahu berpoligami dia haruslah memberi isteri peluang untuk bercerai sekiranya isteri mahukan perceraian dan tidak boleh memaksa isteri terus di dalam bentuk perkahwinan yang tidak diingini isteri.
Apabila berlaku perlanggaran syarat taklik, talak tidak akan jatuh secara automatik. Pihak isteri boleh menuntut di Mahkamah Syariah terhadap pihak yang melanggar terma perjanjian.

Perjanjian ini boleh dikuatkuasakan di mahkamah kerana perjanjian itu mengikat di antara pihak-pihak yang bertikai.
Dari segi peruntukan perundangan, Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 menyatakan bahawa Pendaftar hendaklah mencatatkan taklik yang telah ditetapkan atau butir-butir taklik lain di dalam daftar Perkahwinan.

Oleh yang demikian, perjanjian taklik tambahan yang dibuat oleh seseorang perempuan adalah dibenarkan oleh undang-undang. Ia juga dibenarkan oleh Islam kerana Islam itu sendiri menjamin hak dan kepentingan wanita Islam daripada dianiaya oleh suami sendiri.

Anda tidak perlu rasa gusar mengenai saranan bakal isteri mengenai perjanjian taklik. Ia boleh menyelamatkan rumah tangga. Berkomunikasilah dengan jujur bersama bakal isteri anda.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my