Nafkah Anak Angkat Tanggungjawab Penjaga
26 Disember 2003

Soalan:

Saya telah memelihara seorang anak lelaki sejak bayi lagi dan kini berumur tiga tahun. Dia adalah anak kepada sepupu saya yang tidak dapat menjaga bayi tersebut kerana masalah tertentu. Anak tersebut telah menjadi sebahagian daripada keluarga saya walaupun saya masih belum mengambilnya sebagai anak angkat yang sah. Soalan saya adalah siapa yang bertanggungjawab ke atas nafkah anak ini?
- Kamil Hassan, Kuala Lumpur

Jawapan:

Kelahiran seorang anak merupakan satu amanah yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada hambanya. Amanah ini tidak sepatutnya diambil ringan atau sambil lewa. Seorang anak itu lahir ke dunia dengan hak dan tanggungjawab. Salah satu daripada hak yang penting yang telah diperuntukkan kepadanya adalah hak untuk menerima nafkah.

Menurut hukum syarak tanggungjawab pemberian nafkah ke atas anak ini adalah terbeban ke atas bapa dan sekiranya ketiadaan bapa maka ia adalah terletak ke atas waris.

Ini juga jelas dinyatakan di dalam Surah Al-Baqarah ayat 223: ``Janganlah menjadikan seorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga) menjadikan seorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan tersebut.''

Perkara yang sama juga telah diperuntukkan di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Pada Seksyen 72 (1) akta telah memperuntukan bahwa seorang bapa adalah berkewajipan untuk menanggung nafkah anaknya.

Seksyen 72(2) juga telah meletakan tanggungjawab mereka yang bertanggungan di bawah hukum syarak untuk menanggung nafkah anak yang telah kematian bapa atau di mana kedudukan bapa tidak diketahui.
Ramai yang beranggapan bahawa peruntukan nafkah yang dinyatakan adalah peruntukan untuk makanan.

Anggapan ini adalah salah kerana nafkah anak lebih daripada hanya peruntukan makanan. Nafkah yang dimaksudkan di sini adalah tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, pelajaran dan perkara-perkara yang munasabah bagi kehidupan anak tersebut.

Begitu pun terdapat beberapa kes di mana beban menanggung nafkah boleh teralih kepada orang lain.
Rujukan boleh dilakukan ke atas Seksyen 78 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1987. Seksyen tersebut menyatakan bahawa ``jika seseorang lelaki telah menerima seseorang kanak-kanak yang bukan anaknya sebagai seorang ahli keluarganya, maka adalah menjadi kewajipannya menanggung nafkah kanak-kanak itu semasa dia masih seorang kanak-kanak, setakat mana bapa dan ibu kanak-kanak itu tidak berbuat demikian.''

Pihak mahkamah syariah juga diberi bidang kuasa untuk memberi apa-apa perintah yang perlu bagi memastikan kebajikan kanak-kanak itu.

Oleh yang demikian, jelas di sini bahawa anda sebagai penjaga dan telah pun menganggap anak tersebut sebagai sebahagian ahli keluarga adalah bertanggungjawab ke atas nafkah anak tersebut.

Bagaimanapun, tanggungjawab memberi nafkah ini akan terhenti sekiranya kanak-kanak itu dibawa pergi oleh bapa atau ibunya. Ini termaktub dalam Seksyen 78(2) akta yang sama. Ia bermakna sekiranya ibu bapa anak tersebut mengambil atau menuntut kembali anaknya maka tanggungjawab memberi nafkah adalah kembali kepada bapa. Anda tidak perlu lagi menanggung nafkah.

Perlu diingatkan bahawa tanggungjawab seorang bapa adalah tidak terhapus hanya kerana terdapat orang lain yang dipertanggungjawabkan ke atas nafkah seorang anak.

Seksyen 78 (3) menyatakan bahawa apa-apa wang yang dibelanjakan oleh seseorang lelaki untuk menanggung nafkah seseorang kanak-kanak boleh dituntut sebagai hutang daripada bapa atau ibu kanak-kanak itu.

Oleh itu, nafkah tersebut boleh dianggap sebagai hutang dan anda boleh menuntut wang yang dibelanjakan untuk anak. Bagi tujuan ini satu permohonan boleh dikemukakan kepada mahkamah syariah kelak.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my