Nikah Luar Daerah - Pasangan Perlu Daftar Perkahwinan
28 Febuari 2003

Soalan:

Saya telah berkahwin pada 1998 dan mempunyai anak. Suami masih belum membuat pendaftaran perkahwinan walaupun telah saya minta. Perkahwinan ini tidak diketahui oleh isteri pertama dan kerana itulah suami enggan mendaftar. Kami bagaikan pasangan sorok-sorok.

Masalah saya kini adalah suami telah lama tidak memberikan nafkah kepada saya sekeluarga. Apakah saya perlu untuk melakukan pendaftaran perkahwinan?
- Masnah Kassim, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Puan menetap di Kuala Lumpur, maka rujukan akan dilakukan ke atas Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Akta tersebut menyatakan bahawa apabila pihak-pihak yang bermastautin di Wilayah Persekutuan berkahwin maka adalah menjadi kewajipan mereka untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut.

Ini seperti yang termaktub di Seksyen 25 akta tersebut. Hanya dengan pendaftaran barulah sijil perakuan nikah akan dikeluarkan oleh pendaftar.

Seksyen 31 pula memberikan mereka yang telah berkahwin di luar negeri tempoh enam bulan untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut.

Sekiranya pendaftaran dilakukan selepas tempoh tersebut, maka jika sabit kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya boleh dikenakan.

Puan tidak menyatakan tempat puan melangsungkan perkahwinan tersebut. Bagaimana pun perlu diingatkan bahawa undang-undang syariah adalah undang-undang setempat, ini bermakna puan yang bermastautin di Wilayah Persekutuan adalah tertakluk di bawah Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Undang-undang ini adalah berkuat kuasa di mana-mana negeri di dalam Malaysia.

Ia bermaksud sekiranya perkahwinan puan dilangsungkan di Johor tanpa kebenaran pihak berkuasa di Wilayah Persekutuan maka puan telah melanggar undang-undang negeri Wilayah dan boleh disabitkan kesalahan.
Hanya selepas pendaftaran dilakukan barulah sijil perakuan nikah akan dikeluarkan oleh pendaftar.

Tujuan utama pendaftaran adalah untuk memastikan agar pernikahan puan tersebut adalah sah di sisi syarak. Sesuatu pernikahan hanya akan dianggap sah apabila sempurna kelima-lima rukun nikah.

Pada masa ini seperti yang puan maklum, perkahwinan secara sindiket amat berleluasa. Perkahwinan secara ini adalah tidak sah di sisi hukum syarak.

Antara penyebab ialah penggunaan wali yang melakukan akad nikah yang tidak mempunyai kuasa atau tauliah.
Oleh itu adalah amat penting bagi puan untuk mendaftarkan perkahwinan bagi memastikan sama ada perkahwinan puan adalah sah dari hukum syarak.

Pendaftaran juga akan memastikan hak-hak puan sebagai seorang isteri terjamin. Puan telah menyatakan bahawa suami puan telah tidak memberi nafkah kepada puan atau keluarga. Mahkamah syariah hanya akan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar apa-apa tuntutan setelah perkahwinan puan didaftarkan.

Oleh, itu puan perlu memahami bahawa dalam keadaan seorang selagi puan tidak melakukan pendaftaran perkahwinan.

Mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar atau memberi apa-apa keputusan ke atas apa-apa tuntutan yang akan puan ketengahkan kepada mahkamah syariah.

Setelah pendaftaran, puan boleh menuntut nafkah dari suami. Ini adalah selaras dengan seksyen 59 (1) yang menyatakan bahawa mahkamah boleh memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah kepada isterinya.
Rujukan juga boleh dilakukan ke atas seksyen 72 yang menyatakan antara lainnya adalah kewajipan seorang lelaki menanggung nafkah anaknya sama ada anak itu berada di dalam jagaannya atau orang lain sama ada dengan mengadakan tempat tinggal, pakaian makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah.

Jelas di sini bahawa suami puan tidak boleh melarikan diri dari tanggungjawabnya sebagai seorang suami untuk memperuntukkan nafkah bagi keluarganya.

Jika dia gagal, maka perintah mahkamah boleh dituntut dan apa-apa tunggakan akan dianggap sebagai hutang suami.
Puan tidak perlu untuk menunggu suami bagi melakukan proses pendaftaran. Proses ini boleh dikendalikan oleh puan sendiri.

Adalah diharapkan agar puan tidak tertangguh untuk melakukan proses ini bagi memastikan hak puan tidak terabai dan sentiasa dijaga oleh hukum syarak dan undang-undang.

- Panel Peguam Sisters In Islam.
- Untuk sebarang pertanyaan, sila kemukakan soalan anda ke No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my