Harta Pusaka - Waris Boleh Mohon Perintah Pembahagian
28 Mac 2003

Soalan:

Ayah dan ibu telah meninggal dunia berasingan dan meninggalkan dua ekar tanah pusaka. Mereka mempunyai empat orang anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Semasa tempoh perkahwinan inilah mereka membeli tanah tersebut. Apabila ibu pulang ke rahmatullah, ayah berkahwin lain dan mendapat enam anak iaitu dua lelaki empat perempuan. Baru-baru ini ayah meninggal dunia. Bagaimana tanah dua ekar ini akan dibahagikan.
- Mat Nor Apah, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Saudara tidak menyatakan sama ada tanah yang diwarisi oleh saudara dari ibu adalah telah didaftarkan di bawah nama ibu atau bapa. Sekiranya saudara tidak mempunyai salinan asal geran tersebut, saudara boleh ke pejabat tanah untuk meminta salinan geran.

Salinan geran tersebut akan menyatakan empunya tanah. Oleh itu jawapan kami di sini akan merangkumi dua situasi yang berbeza.

Situasi pertama adalah sekiranya tanah di atas didaftarkan di atas nama bapa, satu perlapan dari jumlah tanah dua ekar akan dibahagikan kepada balu iaitu isteri bapa, baki dari harta tersebut akan dibahagikan kepada kesemua sepuluh anak.

Anak-anak lelaki akan mendapat dua bahagian dan anak-anak perempuan pula akan mendapat satu bahagian.
Ibu saudara yang telah meninggal dunia juga mempunyai hak ke atas tanah tersebut iaitu harta sepencarian.
Bagaimanapun, ini mungkin agak sukar untuk dibuktikan kerana tiada apa-apa tindakan yang telah diambil mengenainya semasa isteri pertama meninggal dunia dan semasa bapa tuan masih hidup.

Situasi kedua adalah sekiranya tanah tersebut telah didaftarkan di atas nama ibu dan bapa. Dalam situasi ini, setengah daripada tanah tersebut adalah merupakan pusaka ibu dan bakinya yang setengah lagi adalah harta pusaka bapa.

Harta pusaka ibu akan dibahagikan sebanyak satu perempat bahagian kepada bapa (suami). Baki dari jumlah tersebut akan dibahagikan kepada empat orang anak, anak-anak lelaki akan mendapat dua bahagian dan anak-anak perempuan akan mendapat satu bahagian.

Bagi harta pusaka bapa pula bersamaan dengan apa yang telah dinyatakan di atas.
Saudara harus maklum bahawa sekiranya harta pusaka tersebut tidak berharga lebih daripada RM600,000, maka saudara boleh mengunakan khidmat harta pusaka kecil yang terletak di pejabat tanah.

Saudara harus pergi ke pejabat tanah yang berkaitan. Untuk tujuan umum, saudara perlu merujuk kepada geran tanah itu. Ia akan menyatakan daerah di mana pejabat tanah yang harus dirujuk.

Saudara perlu membuat bayaran RM10.00 untuk membuka fail. Tanah itu seterusnya akan diagih-agihkan oleh pendaftar pejabat tanah kepada waris yang berhak.

Sekiranya tiada apa-apa bantahan dari pewaris, maka pendaftar tanah akan mengeluarkan perintah pembahagian.

- Panel peguam Sisters In Islam
Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Sisters In Islam No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my