Harta Sepencarian: Prosedur Tuntutan Perlu Dipatuhi
29 Ogos 2003

Soalan:

Rumah tangga saya telah berakhir dengan perceraian pada tahun 1996. Pada 1999, saya telah mendapat perintah mahkamah ke atas pembayaran mutaah dan harta sepencarian daripada bekas suami saya. Malangnya sehingga kini bekas suami tidak membayar apa-apa kepada saya. Difahamkan bahawa saya boleh memohon untuk satu perintah pelaksanaan bagi membolehkan saya mendapatkan hak saya. Apakah yang perlu saya lakukan.

- Laila Mazni, Seremban, Negeri Sembilan

Jawapan:

Berhubung dengan permasalahan ini, rujukan akan saya buat berdasarkan kepada Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 1983 dan Kaedah-Kaedah Prosedur Mal Negeri Sembilan 1992.

Puan ada menyentuh mengenai isu harta sepencarian tetapi tidak menjelaskan jenis dan sama ada harta tersebut adalah `alih' atau `tak alih'. Contoh harta alih adalah seperti kenderaan, motor dan perkakas rumah. Manakala contoh harta tak alih adalah seperti rumah, tanah, apa-apa hartanah dan seperti dengannya.

Ini adalah kerana ia berkait dengan jenis perlaksanaan perintah yang sesuai diambil terhadap bekas suami puan.

Daripada fakta kes puan, bekas suami puan telah mengabaikan tanggungjawabnya serta gagal mematuhi penghakiman dan perintah telah diputuskan oleh mahkamah sejak 1999 yang lalu.

Oleh itu, puan boleh membuat permohonan ke mahkamah untuk melaksanakan penghakiman atau perintah.

Secara ringkas dan amnya, permohonan tersebut boleh dibuat di mahkamah dengan mengisi borang tertentu dengan disokong oleh afidavit sokongan yang diikrarkan oleh puan sendiri.

Borang tersebut menyatakan latar belakang kes dan fakta permohonan puan, serta jenis-jenis perintah yang puan pohon di mahkamah.

Dalam fakta kes puan, tidak dinyatakan sama ada puan masih lagi menyimpan salinan penghakiman yang telah dimeterai oleh pihak mahkamah atau tidak. Jika puan masih menyimpan salinan penghakiman tersebut, ia dapat membantu puan dalam permohonan puan.

Sebaliknya, jika tidak mempunyai salinan penghakiman tersebut, puan boleh membuat permohonan untuk membuat carian fail di mahkamah di mana kes puan didaftarkan dengan menyatakan nombor pendaftaran kes puan dan membuat salinan yang diakui sah oleh pihak mahkamah.

Salinan penghakiman tersebut amat penting untuk disertakan bersama-sama dengan permohonan dan afidavit sokongan puan kerana ia dapat membantu kes puan di mahkamah dan menerangkan kepada mahkamah butir-butir perintah penghakiman yang gagal dipatuhi oleh bekas suami puan.

Sebenarnya permohonan untuk penguatkuasaan penghakiman/perintah ada diperuntukkan di bawah Aturan 21 dan 22 Kaedah-Kaedah, Prosedur Mal Negeri Sembilan 1992. Di bawah Aturan 21 Kaedah-Kaedah Prosedur Mal Negeri Sembilan 1992 tersebut dinyatakan bahawa tindakan penguatkuasaan penghakiman bagi pembayaran wang boleh dibuat melalui satu atau lebih daripada cara-cara berikut:

1. Perintah penyitaan dan penjualan;
2. Prosiding garnismen;
3. Perintah pengkomitan; dan
4. perintah penahanan pendapatan.

Oleh yang demikian, puan mempunyai beberapa pilihan untuk membuat permohonan yang difikirkan sesuai dan efektif terhadap bekas suami puan. Prosiding-prosiding tersebut di atas boleh membantu puan dan sangat efektif sekiranya puan mengetahui kedudukan harta yang dimiliki oleh bekas suami puan, tempat tinggalnya dan jumlah pendapatan serta majikan bekas suami puan.

Bagaimanapun, prosiding-prosiding di atas bukanlah jalan keluar yang terakhir bagi mengatasi masalah puan. Puan juga boleh memohon untuk menguatkuasakan perintah/penghakiman tersebut di bawah Aturan 22 Kaedah-Kaedah prosedur Mal Negeri Sembilan 1992.

Puan boleh memohon kepada mahkamah untuk menguatkuasakan penghakiman tersebut terhadap keluarga bekas suami puan. Bagaimanapun, aturan tersebut menuntut puan untuk memohon kebenaran pada mahkamah terlebih dahulu.

Aturan 22 3 (1) (d) Kaedah-Kaedah Prosedur Mal Negeri Sembilan 1992, antara lain menyatakan bahawa perintah pelaksanaan tidak boleh dikeluarkan tanpa kebenaran mahkamah jika pemiutang penghakiman ingin menguatkuasakan penghakiman itu terhadap mana-mana orang selain daripada penghutang penghakiman dinamakan di dalam penghakiman itu.

Menurut Aturan 22 3 (2) Kaedah-Kaedah prosedur Mal Negeri Sembilan 1992, permohonan untuk mendapatkan kebenaran pelaksanaan boleh dibuat secara ex-parte tetapi mahkamah boleh memerintahkan penyampaian ke atas mana-mana pihak atau orang berkenaan.

Sebagai kesimpulan, sememangnya puan mempunyai hak untuk memulakan tindakan untuk memohon kepada pihak mahkamah untuk melaksanakan penghakiman sama ada terhadap bekas suami puan atau terhadap ahli keluarga bagi membela hak puan.

- Rumaizi Mohd Tejeri, Tetuan Maishiah, Jalidah & Associates
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my