Perkahwinan Perlu Persetujuan Wali
30 Mei 2003

Soalan:

Ibu bapa saya telah lama bercerai. Bapa kini menetap di Johor Bahru dan saya bersama ibu menetap di Kuala Lumpur. Saya sedang merancang untuk melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Oleh kerana hubungan di antara keluarga tidak berapa rapat, saya khuatir bahawa bapa mungkin tidak dapat hadir ke majlis tersebut.

Apakah yang perlu saya lakukan mengenai proses perwalian?

- Shasiah Hussein, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Oleh kerana saudari menetap di Kuala Lumpur maka Enakmen Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 akan dirujuk.

Seksyen 13 Enakmen tersebut telah menetapkan bahawa sesuatu perkahwinan adalah tidak diakui dan tidak boleh didaftarkan di bawah akta tersebut, melainkan kedua-dua belah pihak kepada perkahwinan tersebut bersetuju dan sama ada satu daripada dua perkara di bawah ini iaitu;

Pertama, wali saudari bersetuju terhadap perkahwinan itu mengikut hukum syarak.

Kedua, hakim syariah yang mempunyai bidang kuasa di tempat di mana pihak saudari bermastautin atau seorang yang diberi kuasa secara am atau khas bagi maksud itu oleh hakim syariah telah memberi persetujuan terhadap perkahwinan itu melalui wali raja mengikut hukum syarak, selepas penyiasatan yang wajar dibuat di hadapan semua pihak berkenaan.

Persetujuan tersebut boleh diberi jika saudari tidak mempunyai wali dan nasab mengikut hukum syarak.
Secara amnya apabila melakukan proses dokumentasi pernikahan, saudari hendaklah merujuk kepada Jabatan Agama bagi proses perwalian.

Saudari bolehlah menyatakan kepada pegawai tersebut bahawa wali saudari iaitu bapa kini menetap di Johor Baharu.

Pihak Jabatan Agama di Wilayah Persekutuan akan menghubungi Jabatan Agama di Johor Bahru yang kemudian akan menghubungi bapa saudari.

Bapa akan disoal sama ada beliau bersetuju ke atas pernikahan saudari.

Sekiranya bapa bersetuju, tetapi tidak dapat menghadirkan diri, maka bapa hanya perlu mengisi borang persetujuan menyatakan persetujuannya ke atas pernikahan tersebut.

Pihak Jabatan Agama Johor Bahru akan memberitahu persetujuan tersebut kepada Jabatan Agama Wilayah Persekutuan. Proses pernikahan saudari akan berjalan secara biasa.

Sekiranya bapa saudari enggan memberi kebenaran, maka rujukan akan dilakukan ke atas Seksyen 13 (b) yang telah dinyatakan di atas.

Ia menyatakan bahawa perkahwinan hanya akan diakui dan didaftarkan sekiranya pihak yang mahu berkahwin setuju dan wali juga bersetuju.

Oleh itu, hakim di mahkamah syariah boleh membenarkan perkahwinan secara wali hakim atau wali raja.
Pihak Jabatan Agama Islam akan menyediakan laporan mengenai keengganan bapa. Ia akan dijadikan sebagai rujukan oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosedur penggunaan wali hakim sebagai wali saudari.

Mahkamah akan mengadakan perbicaraan sebelum kebenaran bagi wali hakim diberikan.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my