Taklik - Pelindung Hak Wanita
31 Januari 2003

Soalan:

SAYA telah bertunang dan akan berkahwin pada bulan Julai 2003. Kami merasakan bahawa kami perlu melangkah ke alam perkahwinan dengan mata yang terbuka dan perlu mengetahui akan tanggungjawab masing-masing.
Pasangan saya bersetuju dengan saranan saya untuk melakukan taklik tambahan sebagai satu cara melindungi saya. Bagaimanapun, kami tidak mengetahui cara dan bagaimana melakukan taklik tersebut.
- Intan, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Perjanjian yang dibuat sebelum perkahwinan adalah dibenarkan dalam Islam. Ianya bertujuan menjamin hak dan kepentingan pihak isteri sekiranya beliau diceraikan. Di dalam Islam, suami hendaklah berbuat baik kepada isteri kerana sebaik-baik di kalangan umat Islam ialah mereka yang berbuat baik kepada isteri.

Perkahwinan adalah satu ikatan suci yang amat diredai Allah dan digalakkan oleh Allah kerana perkahwinan itu memberi banyak hikmah dan ketenangan kepada lelaki dan wanita. Allah menciptakan manusia berpasangan dan suami dan isteri itu boleh hidup dalam keadaan mawaddah dan rahmah sekiranya perkahwinan itu bahagia dan berlandaskan kepada syariat dan tuntutan Islam.

Namun demikian, seorang wanita boleh membuat perjanjian sebelum perkahwinan dengan perkara tertentu demi menjamin hak beliau dengan lebih terperinci. Di dalam terma Islam ianya disebut akad taklik di mana syarat-syarat tertentu diberikan oleh pihak perempuan kepada pihak lelaki sekiranya ingin berkahwin dan ianya akan mengikat kedua belah pihak.

Sekiranya perjanjian atau syarat itu dimungkiri atau dilanggar, maka pihak yang menuntut boleh menuntut di Mahkamah Syariah terhadap pihak yang melanggar terma perjanjian. Dengan erti kata lain, isteri akan berhak mendapat cerai dalam keadaan tertentu sekiranya suami melanggar syarat yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak itu dalam perjanjian perkahwinan. Ianya juga dikenali sebagai Tafwid Al' Talak.

Perjanjian ini boleh dikuatkuasakan di Mahkamah kerana perjanjian itu mengikat di antara pihak-pihak yang bertikai. Perjanjian tersebut juga mestilah disetemkan dan disaksikan oleh saksi-saksi yang adil dan boleh dipercayai.
Suami dan isteri boleh membuat perjanjian berdasarkan firman Allah Taala di dalam Surah al-Nisa ayat yang bermaksud: Dan jika seorang wanita khuatir akan nusus (atau sikap tidak acuh) dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka), walaupun manusia itu menurut tabiatnya kikir. Dan jika kami bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusus), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui yang kamu kerjakan.

Uqbah bin Amir (r.a) meriwayatkan Rasulullah sebagai bersabda: Syarat yang paling patut dipenuhi oleh isterimu ialah menjadikan persetubuhan (dengan isterimu) halal (untukmu) - (Sahih Muslim, Kitab Nikah Hadis 3302 Sunan Abu Dawud, Kitab An-Nikah Hadis 2134)

Ulasan Ahmad Hassan Sunan Abu Dawud ini: Syarat yang dikenakan oleh pihak isteri semasa perkahwinan atau janji seorang lelaki beri sebelum perkahwinan mestilah dipatuhi. Misalnya, seorang perempuan berkahwin dengan syarat bahawa suaminya tidak akan membawanya pergi dari tempat di mana dia hendak tinggal. Suami itu hendaklah mematuhi syarat ini.
Di sisi undang-undang, dia tidak boleh membawa isterinya dari kawasan di mana perempuan itu tinggal. Suami itu hanya boleh berbuat demikian dengan persetujuan isterinya. Harus diingat bahawa syarat yang dikenakan pada masa perkahwinan itu hendaklah sesuatu yang sah seperti mas kahwin, nafkah dan cara hidup yang baik.

Jika terdapat janji dan syarat bahawa pihak isteri mempunyai kuasa untuk menceraikan dirinya sendiri maka isteri dikira mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, sekiranya pihak suami tidak memenuhi janji dan syarat dan janji tersebut mengikat kepada pihak-pihak dalam perkahwinan.

Taklik di Malaysia hanya terhad kepada beberapa syarat dan janji seperti yang terdapat dalam Surat Perakuan Nikah pengantin seperti berikut :
a. Suami tidak memberi nafkah sebanyak 4 bulan berturut-turut atau lebih.
b. Suami meninggalkan isteri
c. Suami mencedera dan menyakiti isteri

Peruntukan dalam Undang-Undang di Malaysia seperti Seksyen 50 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa perempuan yang bersuami berhak mendapat perceraian sekiranya sabit syarat-syarat taklik ke atas beliau.

Begitu juga peruntukan di dalam Seksyen 21 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kelantan 1983. Namun yang demikian, Seksyen 22 Akta Undang-Undang Keluarga Islam WP 1984 menyatakan bahwa Pendaftar hendaklah mencatatkan taklik yang telah ditetapkan atau butir-butir taklik lain yang dikira sesuai dan munasabah olehnya bagi membantu hak-hak beliau terpelihara dan terjamin dan penganiayaan terhadap mereka dapat dikurangkan dan beliau berhak mendapat cerai taklik jika ianya dimungkiri.

Oleh yang demikian, perjanjian yang dibuat oleh seseorang perempuan sebelum berkahwin dibolehkan dalam Islam kerana Islam itu sendiri menjamin hak dan kepentingan wanita Islam daripada dianiaya oleh suami sendiri.

Islam juga tidak mahu seseorang wanita itu tidak terbela nasib diri dan anak-anaknya selepas beliau diceraikan. Di antara butir-butir perjanjian yang boleh dibuat oleh seorang wanita sebelum perkahwinan ialah berkaitan dengan:
a. Hak Harta
i. Berapakah nafkah yang akan diberikan selepas bercerai - Bahagian IV Undang-Undang Keluarga Islam WP 1984 dari Seksyen 59-80 memberi peruntukan-peruntukan mengenai nafkah isteri dengan jelas dan terperinci.
iii. Hak berkenaan dengan harta sepencarian - Seksyen 58 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memberi kuasa kepada Mahkamah untuk membuat perintah berkenaan dengan harta sepencarian yang mana ianya adalah hasil usaha sama di antara piak-pihak yang bertikai supaya ia dapat dibahagikan atau harta itu dijual supaya hasil daripada penjualan dapat dibahagi antara mereka.

b. Mas Kahwin dan Pemberian
Seksyen 21 Akta yang sama memastikan hak wanita terhadap perkahwinan serta pemberian-pemberian di catat dengan lebih teratur agar ianya dapat dipastikan dengan tepat jika ianya dibayar atau dijelaskan. Jika belum maka senanglah untuk dibuat tuntutan jika berlaku kemungkiran atau pertikaian catatan-catatan tersebut.
Seksyen 57 diperuntukan sebagai pengukuhan kepada seksyen 21 terdahulu.

c. Poligami
Seksyen 23 memperuntukan secara jelas dan terperinci bahawa seorang lelaki yang ingin berkahwin dengan perempuan lain harus mendapat persetujuan bertulis daripada Hakim Syarie dan beliau harus memenuhi beberapa syarat untuk mendapatkan kebenaran berpoligami. Antaranya beliau harus menyatakan alasan-alasan beliau untuk berkahwin lagi. Butir-butir komitmen dan kewajipan beliau serta izin atau kebenaran daripada isteri yang terdahulu. Ini kerana Mahkamah akan memanggil pihak isteri untuk menanyakan pandangan dan persetujuan beliau berkenaan dengan perkara ini dan pengakuan isteri mengenai kemampuan suami untuk berlaku adil. Walaupun Islam membenarkan poligami Mahkamah menetapkan undang-undang yang sedemikian bagi menjamin hak isteri daripada diperlakukan oleh suami dengan sewenang-wenangnya.

Oleh itu bakal isteri boleh membuat perjanjian sekiranya selepas perkahwinan suami ingin berkahwin lain, beberapa syarat tentang harta, kewajipan, masa giliran dan lain-lain boleh dimasukkan dalam perjanjian tersebut.

d.Hadanah dan Nafkah Anak-Anak
Para isteri boleh menetapkan dalam perjanjian mereka bahawa sekiranya mereka akan diceraikan secara talak maka hak-hak mengenai penjagaan anak -anak dan nafkah mereka haruslah dinyatakan dan diperincikan terlebih dahulu.

e. Tebus Talak atau Khuluk
Seksyen 49 memberi peluang kepada isteri untuk menebus talak diri mereka sekiranya suami tidak mahu mentalakkan mereka dengan rela. Oleh yang demikian, isteri boleh meletakkan perkara ini di dalam perjanjian sebelum perkahwinan bahawa beliau boleh menebus diri mereka untuk bercerai sekiranya suami enggan menceraikan mereka.

- Tentuan Zulkifli Yong Azmi & Co.
Sisters In Islam, No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my