Khalwat - Bukan Islam Terlepas
1 Oktober 2004

Soalan:

Saya mempunyai seorang rakan yang telah ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama. Tetapi rakan saya ini bukan seorang yang beragama Islam. Adakah dia boleh didakwa di Mahkamah Syariah? Saya agak keliru kerana saya difahamkan sebelum ini, bahwa hanya orang yang beragama Islam sahaja yang boleh didakwa dan ditangkap majlis agama.
- Karim Rami, Selangor

Jawapan:

Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan undang-undang tertinggi yang menjadi panduan dan rujukan utama kepada mana-mana undang-undang lain yang telah digubal mahupun yang akan digubal bagi negara Malaysia. Bagi menjawab soalan anda rujukan haruslah dilakukan ke atas Perlembagaan Persekutuan.

Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan secara jelasnya telah menyatakan bahawa apabila berlaku pertindihan di antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah mengenai dengan apa-apa perkara yang telah dinyatakan sebagai bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka undang-undang Syariah akan diiktiraf penggunaannya.

Artikel ini secara jelas menyatakan bahawa undang-undang Syariah akan terguna pakai bagi perkara-perkara yang dinyatakan di dalam Senarai 11 - Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan. Perkara-perkara yang dinyatakan adalah yang berkaitan dengan Agama Islam, undang-undang Keluarga Islam, zakat, fitrah dan Baitulmal. Mahkamah Syariah juga diminta sebagai mempunyai bidang kuasa di atas individu yang menganuti Agama Islam sahaja dan bagi perkara-perkara yang dinyatakan di dalam Senarai 11 ini selagi ianya tidak bertentangan dengan kesalahan yang dinyatakan sebagai bidang kuasa Undang-undang Persekutuan.

Secara jelasnya, Perlembagaan Persekutuan telah memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengadili kes-kes syariah yang melibatkan individu yang menganuti Agama Islam sahaja.

Bagi individu yang bukan beragama Islam, undang-undang syariah adalah tidak terpakai langsung ke atas mereka dan mereka hanya tertakluk kepada undang-undang Persekutuan (Sivil).

Seksyen 1 dalam Akta kesalahan jenayah Syariah telah menegaskan bahawa Akta tersebut hanya terpakai bagi orang yang beragama Islam sahaja.

Seksyen 43 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam negeri Selangor 1989 juga menekankan bahawa Mahkamah Rendah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa untuk mengadili kesalahan jenayah yang telah dilakukan oleh orang yang beragama Islam di bawah enakmen ini.

Berdasarkan autoriti-autoriti tersebut, tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa orang yang bukan beragama Islam tidak boleh diadili di bawah Mahkamah Syariah dan secara tidak langsung mereka tidak boleh disabitkan dengan apa-apa kesalahan yang dinyatakan sebagai kesalahan jenayah termasuk khalwat.

Kesalahan jenayah khalwat di dalam Seksyen 27 Akta Kesalahan Jenayah Syariah telah dinyatakan sebagai mana-mana yang tercatat di bawah ini:
a ) Orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau muhramnya, atau
b ) Orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau muhramnya di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral.

Justeru kesalahan khalwat ini hanya boleh disabitkan ke atas individu yang beragama Islam sahaja. Individu yang beragama Islam yang melakukan jenayah khalwat ini, sekiranya dibuktikan bersalah boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Kesalahan jenayah khalwat ini merupakan kesalahan jenayah yang hanya termaktub di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Kanun Kesiksaan tidak mempunyai apa-apa peruntukan mengenai jenayah khalwat. Justeru itu ianya tidak dinyatakan sebagai jenayah di bawah kanun kesiksaan.

Bagi menjawab soalan anda maka adalah amat jelas bahawa rakan anda tidak sepatutnya boleh ditangkap oleh Jabatan Agama kerana secara dasarnya beliau yang bukan beragama Islam tidak boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah khalwat ini.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my