Dera - Isteri Boleh Mohon Fasakh
3 September 2004

Soalan:

Saya telah berkahwin selama tiga tahun dan mempunyai seorang anak yang masih kecil lagi. Semasa kami masih berkawan suami saya adalah seorang yang amat penyayang. Dia kini sudah berubah. Saya sering dipukul dan dipaksa untuk bersamanya. Apabila saya menyatakan dengan baik bahawa saya tidak dapat melakukannya, saya akan dimaki hamun dan dipukul. Dia kata dia ada hak dan saya kena turutkan. Saya tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara ini kerana malu. Di khalayak ramai dia menunjukkan peribadi yang amat baik. Tiada sesiapa yang akan mempercayai saya. Tetapi kini saya sudah tak tahan lagi. Apa yang boleh saya lakukan.
- Idawati, Kuala Lumpur

Jawapan:

Islam mengajar kaum lelaki dan wanita agar saling ``menyayangi dan mengasihani'' (30:21), ``lengkap-melengkapi'' (3:195) dan bahawa ``lelaki dan wanita adalah pelindung, antara satu dengan yang lainnya'' (9:71). Perkara ini merupakan salah satu landasan di dalam perhubungan antara lelaki dan wanita.

Keganasan yang berlaku dalam institusi keluarga bukanlah suatu urusan peribadi keluarga tersebut tetapi adalah merupakan suatu jenayah. Ikatan perkahwinan tidak memberi hak kepada seseorang untuk bertindak ganas terhadap pasangan atau ahli keluarganya.

Di dalam Islam, perhubungan suami-isteri adalah harus dimulakan dengan kasih-sayang dan perlu dengan persetujuan isteri. Menurut Imam Ghazali, Rasulullah saw telah bersabda ``Janganlah kamu melontar dirimu kepada isteri seperti binatang. Haruslah ada, sebelum (kamu) bersama, penghantaran pesanan di antara kamu dan dia (isteri)''. Mereka bertanya ``Pesanan apakah itu Rasulullah?''. Jawab Rasulullah ``Cumbuan dan rayuan''.

Di dalam konteks ini kita boleh merumuskan bahawa tidak perlu ada kekasaran yang berlaku di dalam perhubungan suami-isteri. Ia dibina atas perasaan kasih-sayang dan sifat mesra suami-isteri.

Kita juga boleh merujuk kepada Surah An-Nisa pada ayat 19 yang telah mengatakan, ``Hai orang-orang yang beriman, tiada dihalalkan bagimu mempusakai perempuan dengan paksaan dan janganlah bertindak kejam terhadap mereka, .sebaliknya bergaullah dengan mereka secara berbaik-baik lagi adil.''

Apa yang telah berlaku terhadap puan adalah merupakan salah-satu unsur keganasan rumahtangga. Adalah agak keterlaluan bagi seorang suami untuk melakukan keganasan terhadap isteri kerana secara amnya isteri tidak dapat membalas keganasan yang dilakukan ke atas beliau.

Selain dari berlainan kudrat dan tenaga, ramai isteri merasa takut untuk kerana bimbang akan keselamatan diri atau anak-anak. Suami mungkin akan bertindak lebih ganas sekiranya isteri melawan.

Ketidakadilan ini juga bertambah apabila seorang isteri dipaksa untuk melakukan hubungan dengan penuh keganasan.

Dalam keadaan ini, puan dinasihatkan untuk membuat rawatan perubatan serta membuat laporan polis mengenai keganasan yang dilakukan oleh suami.

Perkara ini adalah bagi memudahkan siasatan dilakukan dan untuk tujuan pengumpulan bukti. Puan juga boleh membuat laporan ke Jabatan Agama Islam.

Kita boleh merujuk kepada Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Di dalam Akta ini keganasan rumahtangga telah diertikan sebagai mana-mana perbuatan seperti berikut :-
(a) Secara bersengaja atau dengan disedarinya meletakkan, atau cuba meletakkan, mangsa itu dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal;
(b) Menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa itu dengan sesuatu perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal;
(c) Memaksa mangsa itu dengan paksaan atau ancaman untuk melakukan apa-apa kelakuan atau perbuatan, berbentuk seksual atau pun selainnya, yang mangsa itu berhak tidak melakukan.

Akta ini perlu dibaca bersama Kanun Keseksaan bagi penentuan hukuman. Dalam kes ini, perbuatan suami puan boleh disabitkan di bawah :

(i) Seksyen 319 (Cedera) yang menyatakan: Sesiapa menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada seseorang adalah dikata menyebabkan cedera. Hukuman sekiranya didapati bersalah adalah penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun, atau dengan denda yang boleh sampai dua ribu ringgit, atau dengan kedua-duanya.

Atau
(ii) Seksyen 320 (h) (Cedera Parah) yang menyatakan:
Apa-apa cedera yang membahayakan nyawa atau yang menyebabkan orang yang tercedera itu menderita kesakitan tubuh yang amat sangat, atau tidak boleh menjalankan pekerjaannya yang biasa selama dua puluh hari. Sekiranya disabit kesalahan maka hukuman adalah penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun, dan bolehlah juga dikenakan denda.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 juga ada memperuntukkan satu seksyen untuk tujuan menghukum pengganas rumahtangga tersebut, iaitu di bawah Seksyen 127 bagi kesalahan menganiaya isteri. Sekiranya seorang menganiaya isterinya maka dia boleh dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara.

Sememangnya terdapat perbezaan yang amat ketara dari segi hukuman di antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Juga perlu dinyatakan bahawa apa yang tersebut di atas adalah mengenai penganiayaan atau kecederaan kerana sehingga kini keganasan seksual ke atas isteri masih belum diiktiraf.

Puan juga boleh memohon bantuan dari Pertubuhan Pertolongan Wanita untuk mendapatkan perlindungan, sokongan atau khidmat nasihat. Selain itu, puan juga boleh mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka boleh membantu anda mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara.

Perintah ini merupakan suatu perintah mahkamah yang melarang suami daripada melakukan keganasan terhadap puan dan/atau anak-anak. Ini untuk memastikan keselamatan anda semasa penyiasatan dijalankan oleh polis.

Apabila seorang isteri berasakan tindakan suaminya itu sebagai keterlaluan hingga mengundang kepada unsur kezaliman, maka tuntutan fasakh boleh diminta. Puan boleh memohon cerai fasakh (pembubaran perkahwinan atas arahan mahkamah) di Mahkamah Syariah. Bagi Wilayah Persekutuan, kita harus merujuk kepada Seksyen 52 (h) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang menyatakan bahawa suami telah menganiaya isteri sekiranya suami telah sentiasa lazim menyakiti atau telah menjadikan kehidupan isteri menderita; atau atas apa-apa alasan yang diiktiraf sah bagi membubarkan perkahwinan di bawah Hukum Syarak.

- Nora Murat, Pegawai Undang-Undang Sisters In Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my