Rujuk - Persetujuan Kedua Belah Pihak
4 Jun 2004

Soalan:

Suami saya telah melafazkan cerai kepada saya di luar mahkamah. Kami kini sedang dalam proses pengesahan perceraian. Semasa dalam perbicaraan suami telah mengeluarkan surat rujuk yang ditandatangani oleh suami dan peguamnya. Saya terkejut dengan surat rujuk tersebut. Saya tidak pernah bersetuju untuk rujuk kembali dengan bekas suami. Bolehkah saya membantah rujuk ini dan apakah proses rujuk yang sebenarnya?
- Salamah Dawud, Negeri Sembilan

Jawapan:

Rujuk adalah satu proses di mana suami dan isteri berbaik semula setelah berlakunya perceraian. Suami hanya boleh merujuk kembali bekas isterinya sekiranya isteri dicerai dengan talak satu atau talak dua atau talak rajie.

Rujukan boleh dilakukan ke atas Surah al-Baqarah ayat 229 yang telah menyatakan: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, sesudah itu bolehlah ia rujuk memegang terus (isterinya) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskannya dengan cara yang baik.

Sekiranya suami menceraikan isteri dengan talak tiga maka mereka hendaklah dinikahkan semula dengan syarat bekas isterinya telah berkahwin dengan lelaki lain, bercerai dan habis tempoh idahnya.

Setelah itu barulah suami boleh kembali kepada bekas isterinya. Isteri haruslah di dalam tempoh perkahwinannya yang baru menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan perceraian yang berlaku haruslah bukan dengan paksaan.

Perkahwinan ini seharusnya bukanlah sesuatu yang dirancang bagi memperolok-olokan peraturan rujukan.
Bagaimanapun, perlu dinyatakan di sini bahawa rujuk hanya boleh berlaku di dalam tempoh idah rajie dan bukan di luar tempoh idah. Tempoh idah bagi seorang wanita adalah selama tiga kali suci daripada haid.

Apabila pasangan yang telah bercerai mahu merujuk kembali , maka pihak isteri haruslah bersetuju terhadap rujuk tersebut.

Seorang suami tidak boleh menganggap bahawa oleh kerana suami mahu rujuk maka rujuk akan terjadi secara automatik. Isteri haruslah bersetuju ke atas rujuk tersebut. Sekiranya isteri tidak bersetuju maka tiada rujuk bagi pasangan tersebut.

Bagaimanapun, jika pihak isteri tidak bersetuju untuk dirujuk semula maka mahkamah syariah boleh melantik Jawatankuasa Pendamai untuk mencuba mencari jalan perdamaian. Perkara ini haruslah dimohon oleh suami di mahkamah syariah.

Ini juga adalah bertepatan dengan Seksyen 51(8) Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 1984. Seksyen tersebut menyatakan:
- Jika selepas talak rajie suami melafazkan rujuk tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap rujuk itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh hukum syarak, dia tidak boleh diperintah oleh mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi mahkamah hendaklah melantik satu jawatankuasa pendamai.

Jawatankuasa pendamai adalah terdiri daripada seorang pegawai agama, seorang sebagai wakil isteri dan juga wakil suami.

Puan boleh melantik sesiapa untuk mewakili puan tetapi keutamaan akan diberikan kepada saudara karib dan pihak yang mengetahui hal keadaan kes puan.

Sekiranya jawatan kuasa tidak dapat mencapai perdamaian dan tidak dapat memujuk suami isteri untuk berbaik semula maka mereka akan mengeluarkan satu perakuan mengenai hal tersebut.

Mereka juga seharusnya melampirkan syor-syor mengenai nafkah, hak penjagaan anak dan pembahagian harta sepencarian. Jawatan kuasa juga boleh mengeluarkan syor-syor lain mengenai hal-hal yang berhubungan dengan perkahwinan tersebut.

Perkara yang tersebut di atas berlaku apabila suami memohon dari mahkamah bagi penubuhan jawatan kuasa pendamai iaitu apabila isteri enggan dirujuk.

Ia tidak boleh dianggap sebagai kebolehan suami untuk memaksa rujuk kerana sekiranya perdamaian tidak dicapai maka rujuk tidak akan terjadi tanpa persetujuan isteri.

Puan telah menyatakan mengenai surat rujuk yang ditandatangani oleh suami dan peguamnya, sekiranya ia adalah benar surat rujuk maka ia tidak boleh digunakan sama sekali, kerana surat rujuk yang terpakai adalah surat rujuk yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam, bahagian Pendaftaran Perkahwinan dan Perceraian.

Jabatan Agama Islam hanya akan mengeluarkan surat rujuk ini setelah memanggil kedua-dua suami isteri dan kedua-duanya telah bersetuju untuk rujuk. Persetujuan isteri adalah penting dalam perkara ini. Ini adalah surat rujuk yang sah.

Adalah dinasihatkan agar puan memastikan dengan jelas tujuan surat yang telah diberikan kepada mahkamah oleh suami. Perlu dinyatakan di sini bahawa puan sememangnya berhak untuk mendapatkan salinan tersebut kerana puan adalah pihak di dalam perbicaraan.

- Nora Murat, Pegawai Undang-Undang Sisters In Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my