Hak Penjagaan: Anak Diambil Suami Semasa Ketiadaan Isteri
5 Mac 2004

Soalan:

Saya telah berkahwin di Cheras pada 1999 dan kini mempunyai seorang anak perempuan. Suami telah pun melafazkan talak satu dan perceraian ini telah disahkan oleh mahkamah. Saya sedang memohon untuk hak penjagaan anak sepenuhnya dan kini sedang menunggu tarikh perbicaraan. Saya telah pun menerima perintah untuk hak penjagaan anak sementara. Pada minggu yang lalu bekas suami saya telah mengambil anak saya semasa saya tiada di rumah. Beliau telah meninggalkan perintah hak penjagaan anak kepada ibu saya dan mengatakan bahawa beliau berhak ke atas penjagaan. Perintah tersebut keluar dari mahkamah di tempat suami tinggal. Apa yang perlu saya lakukan sekarang?
- Dahlia Musa, Cheras

Jawapan:

Puan telah pun menerima perintah yang memberi puan hak sementara ke atas penjagaan anak puan. Oleh itu puan adalah penjaganya yang sah sehingga hak penjagaan penuh diberi kepada mana-mana pihak selepas perbicaraan mengenai hak penjagaan anak.

Rujukan boleh dilakukan kepada Seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Ia menyatakan bahawa ibu adalah yang paling berhak berbanding segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

Juga terdapat hadis-hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasai dan Tirmizi yang memberatkan ibu sebagai penerima hak penjagaan.

Perintah sementara yang diterima oleh puan hanya berkuat kuasa sehingga adanya suatu perintah lain yang diputuskan di dalam kes induk (kes utama). Dari sudut prosedur undang-undang perintah sementara itu perlu disokong oleh kes induk.

Puan hendaklah mengambil tindakan meneruskan atau memfailkan suatu permohonan induk, iaitu permohonan hak penjagaan anak-anak di mahkamah tinggi syariah di kawasan tempat bermastautin.

Lazimnya, permohonan puan hendaklah dibuat secara notis permohonan dan afidavit beserta dengan bukti-bukti yang berkaitan. Perlu puan fahami bahawa permohonan ini adalah merupakan permohonan kes induk terhadap perintah sementara yang telah pun peroleh.

Mahkamah syariah sememangnya mempunyai bidang kuasa dalam menentukan hak penjagaan anak-anak orang yang beragama Islam dan perintah tersebut haruslah dipatuhi. Bekas suami puan telah mengingkari perintah mahkamah syariah yang telah dikeluarkan melalui Perintah Sementara Hak Penjagaan Anak.

Apa yang berlaku kini adalah berkemungkinan terdapat pertindihan perintah yang diberikan oleh dua Mahkamah Syariah di negeri yang berlainan. Puan tidak memberitahu sama ada keputusan mahkamah yang diperoleh oleh suami adalah perintah sementara atau kekal. Perintah sementara boleh diperoleh dengan scar ex-parte iaitu permohonan dari satu pihak sahaja. Berkemungkinan juga puan telah tidak mengetahui bahawa suami telah mengadakan permohonan hak penjagaan anak.

Secara amnya apabila terdapat satu perintah yang sedang berkuat kuasa, maka perintah tersebut haruslah dimaklumkan kepada mahkamah syariah di mana terdapat permohonan yang baru dipohon.

Perkara bahawa puan telah diberi hak penjagaan sementara mungkin telah dimaklumkan oleh suami kepada mahkamah semasa melakukan permohonan.

Berlainan dengan mahkamah sivil yang berada di bawah bidang kuasa persekutuan, mahkamah syariah masih di bawah kuasa negeri. Rujukan boleh dilakukan ke atas jadual Kesembilan Senarai II Perlembagaan Persekutuan.

Puan dinasihatkan agar merujuk kepada Naziran, iaitu suatu badan yang boleh menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya terutama sekali apabila ia mengenai pertindihan perintah di antara mahkamah syariah . Ia adalah di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Alamat Naziran adalah seperti berikut:

Naziran
Ketua Pengarah
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia
Aras 3, BlokD7, Parcel D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62677 Putrajaya. No: 8886 4800 atau faks: 88891627

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my