Taklik Tambahan - Memelihara Hak Suami, Isteri
5 November 2004

Soalan:

Saya pernah berumah tangga tetapi ia runtuh kerana suami mempunyai hubungan dengan wanita lain. Kini sudah tiga tahun saya bercerai dengan bekas suami saya tetapi perhubungan kami masih baik. Ini semua saya lakukan kerana anak-anak. Kami mempunyai tiga orang anak berusia 12, 10 dan 8 tahun. Bekas suami sudah pun mengahwini perempuan itu. Sekarang dia ingin merujuk semula dengan saya.

Saya kini mahu dijadikan isteri kedua pula. Anak-anak semua bersetuju, tetapi saya takut kalau ditipu. Bekas suami berjanji akan berlaku adil dan sama rata, tetapi saya masih belum membuat keputusan lagi.
SIS pernah menulis mengenai taklik tambahan yangboleh dilakukan kalau saya berkahwin semula dengan bekas suami saya apa yang patut saya lakukan?
- Soralah Amer, Kuala Lipis, Pahang

Jawapan:

Poligami adalah satu kategori perkahwinan yang dibenarkan oleh Islam. Ayat pada Surah An-Nisa' 4:2-3 sentiasa dirujuk apabila timbul isu poligami. Kita juga perlu merujuk kepada surah yang sama pada ayat 129. Ayat tersebut menyatakan:
'Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya) oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awang-awang) dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu) dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihi'.

Di Malaysia, perkahwinan poligami adalah dibenarkan oleh perundangan syariah dan disertakan dengan syarat-syarat semasa permohonan poligami di minta. Suami harus mengemukakan bukti bahawa dia mampu memenuhi syarat-syarat tersebut. Puan boleh merujuk Undang-Undang Syariah Pahang bagi syarat tersebut.

Selain daripada syarat yang diperuntukkan dari segi perundangan terdapat syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh suami dari segi syariah. Dia kini menjadi bapa dan suami kepada dua keluarga yang memerlukan bukan sahaja peruntukan kewangan malah kasih sayang.

Poligami merupakan satu tanggungjawab yang berat yang harus dipikul. Suami tidak sepatutnya dengan sewenang-wenang berkahwin lebih dari satu kerana ia bukan satu mainan.

Puan telah menyatakan bahawa suami telah berkahwin lain. Isteri sedia ada perlu diberitahu sekiranya puan mahu meneruskan niat untuk berkahwin. Ia bukanlah menjadi satu keperluan di negara kita bagi isteri sedia ada untuk memberi kebenaran kepada perkahwinan poligami.

Malah kadangkala isteri sedia ada langsung tidak dimaklumkan. Bagaimanapun, adalah adil sekiranya beliau diberitahu. Ia bukan sahaja bertujuan untuk menjauhkan tohmahan tetapi juga bagi menyediakan diri beliau. Suami juga haruslah berterus-terang kerana ketulusan hati suami adalah satu perkara yang perlu bagi suami yang mahu berpoligami.

Bagaimana dia boleh menjadi suami yang adil sekiranya dia enggan memberitahu atau berterus-terang dengan isteri?
Taklik perkahwinan bukanlah satu perkara yang asing di dalam masyarakat kita. Malah jika dilihat proses akad nikah, lafaz taklik akan dibaca oleh suami setelah akad dipersetujui. Taklik yang dibaca ini adalah taklik yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Maka adalah baik sekiranya pasangan melakukan taklik tambahan kerana perkahwinan merupakan satu perkara peribadi dan mengikut keperluan pasangan. Setiap pasangan mempunyai keperluan yang berlainan, maka taklik boleh diolah mengikut kehendak pasangan tersebut.

Perjanjian tambahan ini adalah dibenarkan dalam Islam kerana ia bertujuan untuk menjamin hak dan kepentingan pihak suami dan isteri. Ia bukan hanya untuk menjamin hak isteri, malah suami juga boleh meletakkan syarat.
Dalam kes puan, puan boleh membuat perjanjian perkahwinan dengan perkara tertentu demi menjamin hak puan dengan lebih terperinci. Akad taklik ini merupakan syarat-syarat tertentu yang diberikan oleh puan kepada pihak lelaki dan ia akan mengikat kedua belah pihak.

Sekiranya perjanjian atau syarat itu dimungkiri atau dilanggar, maka puan boleh menuntut di Mahkamah Syariah. Talak tidak akan jatuh secara automatik.

Perjanjian ini juga boleh dikuatkuasakan di mahkamah kerana perjanjian itu mengikat di antara pihak-pihak yang bertikai. Perjanjian tersebut juga mestilah disaksikan oleh saksi-saksi yang adil dan boleh dipercayai.

Seksyen 50 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Pahang) 1987 menyatakan bahawa perempuan yang bersuami berhak mendapat perceraian sekiranya sabit syarat -syarat taklik ke atas beliau.

Enakmen juga ada menyatakan bahawa pendaftar hendaklah mencatatkan taklik yang telah ditetapkan satu butir-butir taklik lain yang dikira sesuai dan munasabah olehnya bagi memelihara hak-hak beliau agar terpelihara dan terjamin dan penganiayaan terhadap mereka dapat dikurangkan dan beliau berhak mendapat cerai taklik jika ia dimungkiri.

Puan boleh menyediakan perjanjian taklik tersebut dengan melihat kepada keperluan puan. Di sini kami senaraikan beberapa syarat yang telah dilakukan oleh wanita dan mungkin boleh menjadi panduan kepada puan.

a) Hak ke atas harta yang dipunyai puan kini - Puan boleh menyediakan senarai harta yang dipunyai oleh puan kini dan harta ini tidak boleh dituntut oleh suami sekiranya berlaku perceraian.

b) Nafkah isteri - puan boleh menentukan nafkah minimum yang harus diberi oleh suami kepada puan pada setiap bulan. Nafkah ini adalah berlainan daripada nafkah ke atas keluarga. Ini adalah amat perlu terutamanya bagi suri rumah sepenuh masa. Nafkah ini boleh dianggap sebagai gaji ke atas kerja yang dilakukan di rumah. Suami sudah tentu boleh memberi nafkah yang lebih daripada jumlah minimum, dan sekiranya dia atas sebab tertentu tidak dapat memberi maka isteri boleh reda dan tidak merujuk ke mahkamah. Nafkah ini adalah bertujuan untuk menyedarkan suami terhadap tanggungjawabnya.

c) Poligami - sekiranya puan berkahwin semula dengan bekas suami maka puan akan berpoligami. Maka keperluan mengenai giliran, cuti, berhari raya dan lain-lain mungkin perlu disenaraikan.

d) Hadanah dan nafkah anak-anak - puan boleh menetapkan hak-hak mengenai penjagaan anak-anak dan jumlah nafkah mereka.

e) Tebus talak atau khuluk - Seksyen 49 memberi peluang kepada isteri untuk menebus talak diri mereka sekiranya suami tidak mentalakkan mereka dengan rela. Oleh yang demikian, isteri boleh meletakkan perkara ini dalam perjanjian sebelum perkahwinan bahawa beliau boleh menebus diri mereka untuk bercerai sekiranya suami enggan menceraikan mereka. Sila nyatakan jumlah yang dipersetujui. Di Wilayah Persekutuan jumlah RM1 adalah dibolehkan.

Puan boleh meletakkan syarat-syarat lain yang puan rasakan perlu. Taklik ini adalah bertujuan untuk menyelamatkan rumah tangga dan agar pasangan menyedari tanggungjawab masing-masing.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my