Ingin Tahu: Cara Pembahagian Hartanah
6 Februari 2004

Soalan:

Saya mempunyai beberapa hartanah dan saya bercadang untuk memberi tanah tersebut kepada adik perempuan dan orang-orang tertentu. Kedua-dua orang tua saya telah lama meninggal dunia dan adik beradik saya yang lain telah mempunyai keluarga sendiri. Saya pula tidak mempunyai tanggungan lain. Hartanah tersebut terletak di Selangor dan Johor. Saya telah difahamkan bahawa terdapat beberapa cara bagi membahagikan harta. Saya kurang arif mengenai perkara ini dan saya harap SIS dapat membantu.
- Karim Sahlan, Taman Melati, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Perundangan Islam adalah amat kaya dengan cara-cara bagaimana seseorang boleh membahagikan hartanya. Harta yang dimiliki itu boleh dibahagikan kepada seseorang lain dengan cara dan syarat yang tertentu. Pembahagian harta bergantung kepada tatacara pembahagiaannya dan berlandaskan Hukum Syara' dan undang-undang. Antara cara yang boleh dilakukan adalah hibah, sedekah, hadiah atau wasiat.

1) HIBAH:
Di dalam kitab I'annatul Taalbin, juzuk ketiga pada muka surat 168 telah diberi pengertian hibah seperti berikut:
``Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual, atau diberi hutang kepada seseorang oleh ahli tabarru' (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran.''

Bagi melaksanakan hibah terdapat rukun yang harus dipenuhi. Rukun-rukun ini adalah lafaz ijab daripada pemberi hibah dan qabul daripada penerima hibah. Perlu juga ada ketentuan mengenai harta yang mahu dihibahkan.

As-Syeikh Muhammad Khatib As-Syarbini ulama kurun ke-10 hijrah di dalam kitabnya Mughnil Muhtaj cetakan Darul Fikri, juzuk kedua, di halaman 397 juga ada menyatakan mengenai hibah. Bahawa hibah adalah berbeza dari wasiat menurut definisinya kerana hibah menggunakan perkataan yang bermakna `memberi milik'.

Hibah perlu disempurnakan semasa hidup pemberi hibah manakala wasiat kesempurnaannya apakala matinya pemberi wasiat.

2) SEDEKAH:
Harta juga boleh dibahagikan secara sedekah. Pengertian sedekah ada disebutkan di dalam kitab I'aannatul Taalibin juzuk yang ketiga pada halaman 171 seperti berikut:
``Sedekah bererti sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada seseorang lain yang memerlukannya dengan tidak mengharapkan balasan pahala atau mengharapkan balasan pahala di akhirat sekiranya pemberian itu kepada orang kaya.''

Di sebut juga di dalam kitab berkenaan pada halaman yang sama bahawa sedekah ini tidak disyarat lafaz ijab dan qabul.

3) HADIAH:
Hartanah tersebut boleh juga diberi secara hadiah. Pengertian hadiah di dalam kitab `Iaanatul Taalibin pada halaman 172 disebut:
``Pemberian sesuatu kepada seseorang kerana memuliakan orang itu.
Di dalam kitab ini pada halaman 171 dan 172 ada dinyatakan bahawa hadiah tidak disyaratkan juga adanya lafaz ijab dan qabul.

4) WASIAT:
Di dalam kitab Mughnil Muhtaj oleh Muhammad Al-Khatib Al-Syarbini jilid ketiga muka 139 telah tersebut definisi wasiat sebagai:
``Wasiat dari segi syarak bererti pemberian disandarkan atau dikaitkan sesudah mati iaitu pemberian tersebut diserahkan setelah pemberinya sudah mati.''

Kemudian disebut lagi:
``Dan rukun wasiat itu ada empat iaitu: al musi (orang yang berwasiat), al-muso lahu (orang yang diwasiatkan), al-muso bihi (barang yang diwasiatkan) dan sighah iaitu ijab dan qabul.''

Zainuddin Al-Malibariy dalam kitab I'aanah al-Taalibin , yang dikarang keseluruhannya pada 23 Syawal 1300, juzuk ketiga, cetakan pertama terbitan Darul Fikri, Beirut Lebanon tahun 1997M/1418H di muka 241 ada menerangkan contoh-contoh lafaz wasiat antaranya:
``Sesungguhnya wasiat itu sah dengan pemberi wasiat melafazkan, `Berikanlah barang ini kepadanya setelah aku mati, `' walau pun lafaz itu tidak menyebut perkataan ``dari hartaku.''

Wasiat juga menjadi sah jika pemberi wasiat melafazkan, ``Saya jadikannya untuk dia setelah saya mati,'' atau dengan lafaz, ``Barang itu untuk dia setelah saya mati.''

Lafaz-lafaz seperti itu menjadi lafaz wasiat kerana ada dikaitkan dengan setelah matinya pembuat wasiat, maka kesemuanya adalah wasiat.

Kebanyakan pendapat sekolah perundangan Islam bersetuju bahawa sebanyak 1/3 harta boleh diwasiatkan. Perbezaan pendapat adalah mengenai sama ada penerima harta di bawah hukum faraid boleh menerima bahagian yang lebih melalui wasiat. Pandangan dari sekolah Hanafi dan Hambali adalah ia boleh diterima sekiranya waris-waris yang lain bersetuju mengenai pembahagiaan tersebut. Pandangan sekolah Shafie dan Maliki pula adalah ia tidak dibolehkan.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my