Bercerai - Isteri Dihalau Dari Rumah
6 Ogos 2004

Soalan:

Saya telah berkahwin selama 25 tahun dan mempunyai dua orang anak. Perkahwinan ini berlangsung dengan baik dan kami tidak mempunyai sebarang masalah. Baru-baru ini saya mendapat tahu bahawa suami telah mempunyai perhubungan dengan seorang wanita yang jauh lebih muda. Apabila saya bersemuka dengan suami, dia terus menghalau saya dari rumah. Dia turut melafazkan cerai. Dia berkata bahawa rumah itu adalah miliknya dan dia tidak mahu saya menjejakkan kaki ke rumah itu lagi. Rumah itu adalah rumah yang kami diami sejak kami berkahwin tetapi memang di geran hanya ada nama suami. Saya tidak pernah merasakan bahawa saya perlu meminta rumah sendiri. Saya tidak pernah teringat bahawa saya akan kehilangan tempat tinggal. Sekarang saya menumpang di rumah rakan saya. Bolehkah suami menghalau saya dari rumah?
- Hamisah Husayn, Selangor

Jawapan:

Firman Allah s.w.t dalam Surah At-Talaq ayat 6 bermaksud:
``Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu.''
Ayat ini dengan jelas memberi perlindungan tempat tinggal pada isteri yang telah diceraikan.

Perkataan isteri-isteri yang bercerai dalam ayat tersebut adalah umum untuk semua isteri yang diceraikan. Ia bukanlah bermaksud hanya bagi jenis penceraian dan isteri yang tertentu.

Tempat tinggal atau rumah adalah menjadi hak kepada semua jenis isteri yang dicerai, sama ada idah yang disebabkan kematian suami, talak rajie, talak bain atau fasakh.

Hak ini haruslah dituntut kerana terdapat pendapat yang mengatakan bahawa sekiranya bekas isteri tidak berbuat demikian, hak itu akan gugur dan tidak menjadi hutang kepada bekas suami.

Seorang suami tidak berhak menidakkan hak ini ke atas isteri yang telah diceraikan. Beliau tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menghalau isterinya dari rumah. Apalagi telah dituntut bagi perceraian untuk dilakukan dengan cara yang berhemah. Perlakuan seorang suami menghalau isteri adalah amat mengaibkan.

Sememangnya terdapat beberapa tujuan mengapa hak tempat tinggal ini diberikan. Ia bertujuan untuk:
(1) Meringankan beban yang ditanggung oleh bekas isteri akibat diceraikan oleh bekas suami. Perceraian adalah suatu yang berkemungkinan berat bagi isteri. Dengan memberi beliau tempoh untuk menetap di rumah tersebut maka ia mungkin boleh meringankan beban ini.
(2) Bekas isteri mempunyai kediaman buat sementara waktu sebelum berpindah ke tempat lain. Beliau juga dapat membuat persiapan awal untuk menghadapi kehidupan baru tanpa bantuan suami lagi.
(3) Anak-anak hasil perkahwinan mereka masih mempunyai tempat tinggal yang biasa didiami meskipun ibu bapa mereka telah berpisah.

Pada amnya isteri memang berhak tinggal di rumah kelamin yang biasa didiami ketika perceraian berlaku walaupun rumah itu di atas nama suami dan bukan miliknya. Maka sekiranya suami tidak mempunyai rumah, isteri boleh menuntut di Mahkamah syariah agar suami menyewakan sebuah rumah atas nama suami untuk didiami oleh isteri dalam tempoh idah.

Jika isteri merasakan tempat itu tidak sesuai, dia boleh meminta kepada suaminya untuk berpindah ke tempat lain. Penyediaan rumah itu juga bergantung kepada kemampuan suami. Pada lazimnya ia akan juga menurut keadaan kehidupan yang biasa dialami sepanjang tempoh perkahwinan. Sebagai contoh jika isteri telah biasa di rumah banglo adalah tidak adil sekiranya suami memberinya rumah setinggan atau kos murah. Rumah yang didiami oleh isteri hendaklah ia sesuai dengan isteri itu.

Dalam keadaan suami tidak mempunyai rumah sesuai untuk ditempatkan isteri yang beridah dan isteri meminta supaya ia dihantar ke rumah ibu bapanya lalu suami bersetuju, maka bapa atau ibu isteri itu berhak mengenakan sewa rumah ke atas suami selagi isteri belum habis idahnya.

Bagaimanapun jika tidak sesuai dia boleh memilih untuk terus menetap di rumah itu atau memohon dipindahkan ke rumah lain yang layak dengannya.

Kita juga boleh merujuk kepada Seksyen 71, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 yang telah memperuntukan bahawa:

(1) Seseorang perempuan yang diceraikan berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami tidak mendapatkan tempat tinggal lain yang sesuai untuk isteri.
(2) Hak tempat tinggal yang diperuntukkan dalam Seksyen Kecil (1) akan terhenti:-
(a) jika tempoh idah telah tamat atau
(b) jika tempoh penjagaan anak telah tamat atau
(c) jika perempuan itu telah berkahwin semula,
(d) jika perempuan itu telah melakukan perbuatan keji yang nyata, dan sesudah itu suami boleh memohon kepada mahkamah supaya dikembalikan rumah itu kepadanya.

Seksyen 71 menjelaskan bahawa pihak suami masih lagi bertanggungjawab untuk menyediakan tempat tinggal yang sesuai untuk isterinya dalam tempoh idah. Walau bagaimanapun,hak tempat tinggal ini terhenti apabila pihak isteri atau bekas isteri memenuhi salah satu daripada kriteria (a),(b),(c) atau (d). Selepas itu, pihak suami boleh menuntut kembali rumah tersebut.

Walaupun begitu, perlu juga diingatkan bahawa isteri boleh menuntut rumah tersebut sebagai sebahagian daripada harta sepencarian, terutama sekali apabila rumah itu dibeli dalam tempoh perkahwinan. Ini adalah tanpa mengira bahawa rumah ini adalah hanya di bawah nama suami dan isteri tidak memberi sumbangan kewangan di atas pembelian rumah. Penat lelah isteri sebagai seorang isteri dan ibu yang menjaga keluarga boleh diertikan sebagai sumbangannya.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my