Nafkah Anak - Usia Lebih 18 Tahun Masih Boleh Tuntut
7 Mei 2004

Soalan:

Saya sudah lama bercerai dan mendapat hak penjagaan ke atas anak saya yang berumur 17 tahun. Dia telah mencapai keputusan yang baik dalam setiap peperiksaan dan mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tinggi.
Bekas suami saya membayar hanya RM350 sebulan sebagai wang nafkah anak. Jumlah ini adalah tidak mencukupi bagi membiayai pengajiannya. Saya terbaca baru-baru ini bahawa mahkamah persekutuan telah menyatakan perintah nafkah ke atas anak hanyalah sehingga anak mencapai usia 18 tahun.

Saya agak khuatir kerana bapa kepada anak saya juga menyatakan bahawa dia hanya perlu membayar nafkah sehingga anak saya berumur 18 tahun. Selepas itu dia tidak perlu membayar lagi. Adakah ini benar dan apakah yang boleh saya lakukan kini? Saya memang tidak mampu untuk menyara pengajiannya dengan gaji yang kecil.
- Rohani Musa, Cheras, Kuala Lumpur

Jawapan:

Mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa di atas perkara-perkara yang melibatkan keluarga orang Islam dan ini telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan mengenai tuntutan anak yang melebihi umur 18 tahun tidak akan meliputi hal-hal keluarga orang Islam.

Ini bermakna anak-anak yang berumur lebih 18 tahun masih boleh menuntut nafkah daripada bapanya dan menjadi tanggungjawab bapa untuk menyara anak-anaknya apabila diperintahkan oleh mahkamah syariah.

Secara khususnya bagi puan, oleh kerana ini melibatkan masalah mengenai nafkah anak maka rujukan boleh dilakukan juga ke atas Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang menyatakan bahawa Akta ini adalah terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal di Wilayah Persekutuan dan bagi semua yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan.

Rujukan juga boleh dilakukan ke atas Bahagian VI yang menyatakan bahawa perkara-perkara mengenai nafkah anak adalah salah satu perkara di bahawa bidang kuasa mahkamah syariah.

Setiap anak yang dilahirkan mempunyai hak untuk disara oleh bapa atau warisnya. Justeru, menjadi kewajipan mereka untuk memelihara menjaga dan membekalkan ilmu kepada anak tersebut sehinggalah anak tersebut boleh berdikari dengan sendiri.

Pada masa ini seorang anak yang berusia 18 tahun mungkin belum habis tempoh pengajiannya dan masih belum boleh berdikari.

Adalah tidak adil sekiranya anak tersebut dihukum dengan menidakkan hak ke atas nafkah hanya kerana ibu bapanya telah bercerai.

Ini kerana, sekiranya suami isteri masih bersama, bapa akan terus menanggung pengajian anak tersebut. Oleh itu, mengapa harus ada perbezaan di antara tanggungjawab bapa hanya kerana beliau telah bercerai. Perceraian adalah antara beliau dengan isteri bukan antara beliau dan anak-anak.

Di dalam sebuah hadis yang diterangkan oleh Aisyah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: Hindun pernah bertanya, Ya Rasulullah sesungguhnya Abu Sufian (suami Hindun) seorang yang bakhil tidak pernah memberi belanja kepada aku yang mencukupi diri dan anakku, maka apa yang aku ambil dari hartanya itu dan dia tidak mengetahuinya', Jawab Rasulullah s.a.w ``Ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa bapa adalah paling bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anaknya.

Kita juga boleh merujuk kepada Seksyen 72 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (wilayah Persekutuan) 1984 yang menyatakan bahawa adalah menjadi kewajipan bapa untuk menanggung nafkah anaknya. Tanggungjawab ini adalah sama ada anak tersebut berada dalam jagaannya atau di bawah jagaan orang lain.

Nafkah yang dimaksudkan adalah tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, pelajaran dan sebagainya bagi anak tersebut.

Puan telah menyatakan bahawa bapa atau bekas suami telah diperintahkan oleh mahkamah untuk memberi nafkah ke atas anak. Persoalannya adakah terdapat jangka masa bagi pemberian nafkah tersebut.

Bagi tujuan ini kita boleh merujuk kepada Seksyen 79 Akta yang menyatakan bahawa perintah nafkah boleh dilanjutkan oleh mahkamah syariah di atas permohonan anak tersebut atau orang lain agar ia melihat apa-apa tempoh tambahan yang difikirkan munasabah bagi membolehkan anak mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi.

Ternyata daripada peruntukan ini bahawa seorang bapa boleh diperintahkan untuk membayar terus nafkah anaknya yang berumur lebih 18 tahun lebih-lebih lagi apabila anak tersebut mahu melanjutkan pelajarannya. Permohonan boleh dilakukan oleh anak puan atau puan sendiri.

Puan telah menyatakan bahawa perintah mahkamah adalah tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan anak puan di pusat pengajian tinggi. Pada masa ini, wang RM350 memang boleh dikatakan tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaan seorang remaja di pengajian tinggi.

Puan boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk menaikan jumlah nafkah yang harus ditanggung oleh bapa.
Menurut Seksyen 75 Akta, mahkamah berkebolehan pada bila-bila masa untuk mengubah perintah mengenai nafkah seseorang anak jika mahkamah berpuas hati bahawa sesuatu perubahan fakta telah berlaku.

Bagi tujuan ini puan bolehlah memperuntukkan kepada mahkamah kos yang kini harus dibiayai bagi pengajian anak puan. Ini juga adalah termasuk kos pembelajaran anak puan seperti yuran, bayaran ke pusat pengajian, tempat tinggal dan lain-lain.

Oleh itu alasan bapa bahawa dia tidak perlu lagi membayar nafkah anaknya yang berumur 18 tahun adalah tidak benar. Beliau masih perlu bertanggungjawab ke atas anak tersebut.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my