Harta Sepencarian - Isteri Boleh Tuntut Hak
8 Oktober 2004

Soalan:

Suami saya telah meninggal dunia dan ada meninggalkan beberapa bidang tanah dan rumah kelamin kami. Kesemua harta ini adalah di bawah nama arwah suami. Saya diberitahu bahawa kesemuanya akan dibahagikan secara faraid. Saya ada menyumbang sedikit wang semasa pembelian rumah kelamin kami. Tanah-tanah yang dibeli juga kami telah kerjakan bersama-sama. Ia adalah dusun buah-buahan. Tidakkah saya boleh memohon hak saya ke atas harta ini.
- Kak Darisah Jamal, Selangor

Jawapan:

Harta sepencarian adalah apa-apa harta yang telah dikumpul oleh suami dan isteri semasa dalam tempoh perkahwinan. Secara amnya kita selalu beranggapan bahawa harta sepencarian hanya harus dituntut semasa perceraian dan apabila pasangan kita masih hidup. Anggapan ini tidak benar. Harta sepencarian boleh dituntut sebelum harta peninggalan pasangan dibahagikan.

Dari segi perundangan mengenai harta sepencarian, kita harus merujuk kepada Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) yang menyatakan bahawa harta sepencarian adalah harta yang diperoleh secara bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan mengikut syarat-syarat yang ditentukan Hukum Syarak. Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk membahagikan harta sepencarian. Ia adalah termaktub di dalam Seksyen 122 Akta.

Mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (negeri Selangor) 2004 memerintahkan pembahagiaan harta sepencarian mengikut Seksyen 122 yang mengatakan mahkamah mempunyai kuasa memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka di bahagi antara mereka.

Seksyen 122(4) yang menyatakan bahawa pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen (4), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada:-

a) Takat sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperoleh aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumah tangga atau menjaga keluarga.
(b) Keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada, dan, tertakluk kepada pertimbangan itu.

Mahkamah boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah.
Dan tertakluk kepada pertimbangan itu, mahkamah boleh membahagikan aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi walau bagaimanapun pihak yang telah memperoleh aset-aset itu atas usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan dalam kes Anita Abdullah lawan Zainuddin Ariffin (1982 4 JH 73) telah memberi cara bagaimana pembahagiaan ke atas harta sepencarian dijalankan. Antara lainya penghakiman menyatakan bahawa:
1. Jika ada keterangan yang cukup siapa yang mengusahakan harta itu, maka hasil terpulang kepadanya.

2. Jika tidak ada keterangan yang cukup di atas usaha masing-masing, mereka dikehendaki bersumpah dan harta akan dibahagikan sama banyak. Jika semuanya enggan bersumpah ia dibahagikan sama banyak juga. Tetapi, jika salah seorang enggan bersumpah, maka harta itu terpulang semua kepada yang bersumpah. Jika salah seorang atau semuanya telah mati maka hukum bersumpah itu dipertanggungjawabkan ke atas waris si mati sekiranya waris itu menuntut.

Oleh itu jelas di sini bahawa puan perlu memberi bukti kepada mahkamah bahawa puan telah memberi sumbangan ke atas harta arwah suami puan. Puan boleh mengemukakan bukti mengenai sumbangan kewangan yang telah puan beri ke atas pembelian rumah kelamin. Ini termasuklah resit, akuan bank atau saksi yang mengetahui mengenai perkara ini.

Mengenai dusun pula, puan boleh mengemukakan saksi mengenai usaha yang telah puan lakukan ke atas dusun tersebut. Perlu dinyatakan di sini bahwa pembahagian harta sepencarian adalah tidak khusus kepada pemberian wang. Kerja yang telah puan lakukan yang telah memberi hasil kepada dusun tersebut adalah boleh ditimbangkan oleh Mahkamah semasa pembahagian harta sepencarian.

Apa yang penting di sini adalah bukti yang puan perlu beri kepada Mahkamah bagi membolehkan Mahkamah memberi hak puan.

Bagi menuntut hak puan ke atas harta peninggalan suami, puan haruslah memfailkan satu tuntutan di Mahkamah Syariah. Bagi tujuan ini rujukan boleh dilakukan ke atas Pekeliling Ketua Hakim Syarie 1/2003. Ia adalah mengenai Tuntutan Harta Sepencarian Akibat Cerai Mati.

Pekeliling tersebut menyatakan bahawa tuntutan Harta sepencarian Akibat Cerai Mati boleh didengar dan diputuskan berdasarkan seksyen 42 (2) (iV) dan di bawa bersama seksyen 43 Enakmen Pentadbiran perundangan Islam Selangor 1989.

Pekeliling ini membenarkan pendengaran tuntutan harta sepencarian apabila suami atau isteri telah meninggal dunia sebelum harta peninggalan arwah dibahagikan.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my