Cerai-Isteri Sangsi Kata-Kata Suami
9 Januari 2004

Soalan:

Rumah tangga saya sudah lama tidak bahagia. Suami saya seorang yang panas baran dan ringan tangan. Dia sering melemparkan kata-kata kasar kepada saya terutamanya apabila marah. Ini berlaku walaupun anak saya berada di sisi saya. Anak saya juga turut diherdik dan ditengking. Baru-baru ini saya dimarahi suami dan suami berkata `selepas ini haramlah tubuh aku untuk engkau'. Saya tergamam dan bertanya suami maksudnya. Dia mengulangi lagi kata-kata tersebut. Suami saya kini telah keluar rumah dan belum pernah pulang sejak hari itu. Adakah saya telah bercerai?
- Zakiah Zain, Ampang Jaya, Selangor

Jawapan:

Perkahwinan adalah suatu ikatan yang kuat di antara pasangan suami isteri. Secara amnya apabila pihak-pihak mahu melangsungkan perkahwinan maka terdapat prosedur dan peradaban yang akan diikuti. Dari segi prosedur, proses permohonan perkahwinan harus dipatuhi dan dari segi adat biasanya proses peminangan akan dilakukan. Prosedur-prosedur ini dilakukan bagi memastikan bahawa hak-hak suami isteri di dalam suatu perkahwinan dapat dilindungi. Ia juga membolehkan mereka mengetahui status sebenar pasangan mereka.

Keadaan yang sama juga sepatutnya berlaku apabila pasangan suami isteri mahu bercerai. Ketertiban yang diikuti semasa proses perkahwinan haruslah juga dituruti semasa berlakunya perceraian. Rujukan boleh dilakukan ke atas Surah Al-Baqarah pada ayat 229 (2:29). Berbaik lah dengan cara yang maaruf atau bercerai lah dengan cara yang baik. Ayat ini jelas menunjukkan bahawa perceraian haruslah dilakukan dengan cara yang baik.

Setiap pasangan yang ingin bercerai haruslah juga mematuhi beberapa proses perceraian. Tujuan proses ini bukan untuk menyusahkan pasangan tersebut tetapi bagi memastikan hak-hak pasangan dan anak-anak mereka dilindungi.
Lafaz talak oleh suami adalah salah satu cara bagi melakukan perceraian.

Bagaimanapun, prosedur yang betul adalah dengan melafazkan talak di dalam mahkamah. Suami tidak sepatutnya melafazkan talak di luar mahkamah.

Perkara ini telah ditetapkan di dalam Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Seksyen ini antara lainnya menyatakan bahawa pasangan suami isteri yang hendak bercerai secara talak hendaklah menyerahkan suatu permohonan ke Mahkamah Syariah.

Perlu diingatkan bahawa perbuatan melafazkan talak di luar mahkamah adalah bertentangan dengan undang-undang. Seorang suami boleh dihukum denda tidak melebihi seribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekiranya beliau disabitkan kesalahan melafazkan talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah. Ini adalah selaras dengan Seksyen 124 Akta.

Di dalam kes ini, suami puan telah melafazkan kata-kata yang menyebabkan puan berasa sangsi sama ada talak telah jatuh atau tidak.

Perkara utama yang harus ditentukan di sini ialah sama ada talak telah jatuh melalui perkataan yang dilafazkan oleh suami. Suami tidak seharusnya beranggapan bahawa talak telah jatuh dengan perkataan yang telah dilafazkan kepada puan. Rujukan haruslah dilakukan ke Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan sesuatu lafaz cerai. Ini adalah berdasarkan Seksyen 45 Akta. Seksyen tersebut memberi bidang kuasa bagi Mahkamah Syariah untuk mengesahkan dan mendaftarkan perceraian yang berlaku di luar mahkamah.

Sebagai prosedur, sebelum pengesahan sesuatu perceraian, mahkamah akan terlebih dahulu mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada lafaz talak suami adalah sah mengikut hukum syarak. Suami dan saksi-saksi akan dipanggil untuk memberi bukti ke mahkamah. Mahkamah juga akan melihat kepada rukun-rukun perceraian atau talak.

Terdapat lima rukun talak iaitu suami, lafaz yang digunakan, di qasadkan (diniatkan) kepada siapa talak itu, isteri dan talak itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami. Rukun ini telah dinyatakan di dalam Kitab Banatu ak-Talibin.
Sekiranya mahkamah berpuas hati mengenai lafaz cerai tersebut dan didapati rukun perceraian telah dipenuhi, maka barulah mahkamah akan mengesahkan kesahihan lafaz cerai tersebut.

Perlu juga dinyatakan bahawa sehingga mahkamah mengesahkan perceraian tersebut, puan dan suami adalah masih dianggap sebagai pasangan suami isteri. Ini juga bermakna bahawa suami masih harus terus bertanggungjawab ke atas nafkah puan.

Bagi nafkah anak-anak juga ia tidak terganggu kerana bapa harus bertanggungjawab ke atas nafkah anak walaupun perceraian berlaku di antara ibu bapa. Sekiranya suami tidak bertanggungjawab maka tuntutan ke atas tunggakan nafkah dan nafkah boleh diambil. Tuntutan ini boleh dilakukan sebelum perceraian disahkan.

Adalah menjadi kewajipan untuk menghilangkan sebarang perasaan was-was atau ketidakpastian sama ada talak telah jatuh atau tidak. Puan tidak perlu menunggu suami untuk merujuk ke Mahkamah Syariah. Aduan ini boleh dilakukan sendiri oleh puan. Adalah dinasihatkan agar puan segera merujuk ke Mahkamah Syariah.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my