Pukul Isteri - Jangan Sesuka Hati
9 April 2004

Soalan:

Saya telah berkahwin selama 8 tahun dan telah dikurniakan seramai 2 orang anak. Sejak dari mula berkahwin suami saya memang selalu memukul saya. Paling tidak pun dia akan menampar saya walaupun kesalahan saya adalah kecil. Dia tidak pernah memukul saya di khalayak ramai, hanya apabila tiada sesiapa di keliling kami. Saya tidak pernah menceritakan perkara ini kepada sesiapa kerana saya malu dengan nasib. Suami mengatakan bahawa dia berhak untuk memukul saya dan saya tidak boleh mengadu kepada sesiapa pun. Adakah ini benar dan apa yang boleh saya lakukan kini?
- Saadiah Sameon, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Keganasan rumahtangga adalah suatu perkara yang perlu diberi perhatian oleh anggota masyarakat. Semakin hari semakin banyak laporan mengenai keganasan rumahtangga di media massa. ia merupakan satu perkara yang amat mengaibkan. Apa-apa jenis keganasan adalah tidak direstui oleh ajaran Islam. Kitab suci al-Quran amat menekankan kasih sayang, kehalusan budi dan keadilan di dalam perhubungan antara anggota keluarga dan melarang segala jenis kezaliman.

Rujukan boleh dilakukan ke atas Surah ar-Rum ayat 21: Ia menyatakan bahawa:
``Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuatanNya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.''

Terdapat banyak hadis yang menyatakan betapa keganasan adalah tidak sebahagian dari amalan orang Islam. Aishah ra telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak pernah memukul pesuruh atau isteri Baginda, dan Baginda tidak pernah memukul sesiapa dengan tangan Baginda sendiri.

Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda bahawa, ``Yang paling baik di kalangan kamu adalah mereka yang paling bersopan terhadap isterinya.''

Jelas di sini bahawa keganasan bukanlah sifat yang patut dimiliki oleh seorang suami.

Terdapat ayat al-Quran pada Surah an-Nisa ayat 34 yang antara lainnya menyebut:
``....hendaklah kamu beri nasihat dan kamu tinggalkan sendirian di tempat tidurnya dan kamu pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakiti badannya). Jika perempuan itu telah taat kepadamu, janganlah kamu mencari jalan untuk menganiayanya.''

Ayat ini telah digunakan sebagai alasan yang membolehkan seorang suami untuk memukul isterinya. Jika ayat ini diteliti kita boleh dapati bahawa pukulan yang disebutkan di sini bukanlah sebagai satu dorongan malah berfungsi sebagai jalan terakhir. Di dalam ayat ini ternyata terdapat prosedur-prosedur yang perlu diikuti oleh seorang suami sebelum dia boleh memukul isterinya.

Perundingan atau shura di antara pasangan tersebut haruslah dilakukan terlebih dahulu (Seperti di dalam ayat di atas). Sekiranya perundingan ini gagal maka ahli keluarga dari pihak suami dan isteri perlu diajak untuk melakukan perbincangan.
Rujukan boleh dilakukan kepada Surah an-Nisa ayat 35 yang menyebut:
``Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah orang tengah (untuk mendamaikan mereka) seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua orang tengah itu (dengan ikhlas ) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami steri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuanNya.''

Perbincangan adalah jalan utama bagi membaikkan keadaan dan menyemarakkan kembali kerukunan hidup berumahtangga.

Sekiranya perundingan gagal maka `waktu perpisahan' atau `pengasingan' boleh dilakukan. Ia juga memberi maksud berpisah tempat tidur dari segi waktu dan ruang, sekurang-kurangnya selama satu malam. Perpisahan ini boleh dilakukan sebagai cara untuk meredakan suasana. Ia boleh juga diteruskan untuk suatu jangka waktu yang tidak ditentukan. Dalam konteks perkahwinan, kaedah yang terakhir ini juga bermakna perceraian.

Apabila kedua prosedur gagal maka cara pukulan haruslah seperti yang telah dinyatakan iaitu dengan cara yang tidak menyakiti badannya atau memudaratkan.

Hadis-hadis yang menyebut mengenai `pukul` adalah mengenai pukulan yang tidak menyebabkan rasa sakit (ghayr mubarrih). Para perawi seperti Muslim, Tirmidhi, Abu Daud, Nasai dan Ibn Majah telah menekankan bahawa jika langkah pukul digunakan maka langkah itu adalah semata-mata bersifat simbolis, seperti dengan menggunakan kayu sugi (berus gigi) atau sapu tangan yang terlipat.

Perlu dinyatakan bahawa perbuatan suami yang memukul isteri boleh dianggap sebagai suatu penganiayaan. Perbuatan ini adalah salah di bawah Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Sekiranya suami disabit kesalahan menganiayai isterinya maka beliau boleh dihukum denda sehingga seribu ringgit atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali. Ini adalah terturut di dalam Seksyen 127 Akta.

Perkara ini juga boleh dijadikan sebagai satu alasan untuk memohon perceraian secara takliq atau fasakh.
Adalah disarankan agar puan melaporkan perbuatan suami yang meganiaya puan kepada polis dan melakukan pemeriksaan perubatan. Ini adalah bagi memudahkan proses pembuktian di Mahkamah kelak.

Puan tidak seharusnya berterusan dianiayai oleh suami. Kita boleh merujuk kepada Surah at-Taubah ayat 71 mengenai hubungan lelaki-wanita yang menganggap wanita sebagai teman yang saling melindungi dan saling menjaga antara satu sama lain (`awliyya) dan memberikan penekanan kepada kerjasama di kalangan mereka.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my