Tukar Nama - Pilih Yang Elok Ertinya
9 Julai 2004

Soalan:

Saya merancang untuk berkahwin pada akhir tahun ini. Bakal suami saya akan memeluk agama Islam. Masalah kami kini adalah kami telah diberitahu bahawa dia perlu menukar namanya. Suami saya masih mahu mengekalkan namanya. Kami merasakan bahawa tidak ada salahnya ia mengekalkan nama tersebut kerana nama tersebut telah diberi oleh keluarganya. Ini juga kerana segala dokumen bakal suami saya telah tertulis nama sebenarnya. Adakah penukaran nama ini perlu?
- Nazira Abdul Shukur, Kuala Lumpur

Jawapan:

Penggunaan nama yang baik adalah disunatkan dan adalah digalakkan menamakan seseorang itu dengan nama yang mempunyai erti yang baik.

Ia juga bagi mengelakkan seseorang itu menjadi bahan ejekan. Bagaimanapun ia tidak bermakna bahawa nama yang dipilih tersebut haruslah berunsur Arab.

Nama yang baik atau yang membawa maksud yang baik di dalam apa-apa bahasa juga turut boleh digunakan. Sebagai contoh, rakyat di negeri China yang beragama Islam boleh terus menggunakan nama dalam bahasa Mandarin.

Di negara kita, sememangnya banyak terdapat nama-nama Melayu atau dari bangsa lain yang yang boleh digunakan.
Berhubung dengan masalah saudari, kami telah difahamkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa bukanlah menjadi kuasa JPN untuk memaksa mana-mana individu untuk menukar namanya yang asal kepada nama baru setelah memeluk agama yang baru.

Sebagai contoh, seseorang yang bernama Wong Poh Chun, dia boleh mengekalkan namanya ini untuk tujuan pendaftaran.

Namun, dia perlu membawa satu surat pengesahan yang mengatakan bahawa dia telah memeluk Islam.
Surat pengesahan ini haruslah disertakan bersama satu surat sumpah yang juga mengatakan bahwa dia telah memeluk Islam.

Di dalam fail atau sijil pendaftarannya, fakta mengenai agama baru akan diganti sebagai agama Islam. Ini akan menjadikannya tertakluk kepada undang-undang Islam di negara ini.

Sekiranya seseorang masih mahu menukar nama maka dia haruslah ke Jabatan Pendaftaran Negara. Prosedur untuk menukar nama setelah memeluk Islam adalah seperti berikut.

a) Pemohon hendaklah mendapatkan satu borang yang dikeluarkan oleh Pejabat iaitu Borang Pindaan.
b) Disertakan sekali dengan surat memeluk agama Islam, biasanya surat tersebut dikeluarkan oleh pihak PERKIM.
c) Disertakan juga satu surat yang menyatakan bahawa pemohon telah memeluk Islam dan ditandatangani oleh pemohon dan diakui oleh Pesuruhjaya Sumpah.

Setelah semuanya disertakan barulah pihak JPN dapat memasukkan segala maklumat baru yang menyatakan bahawa pemohon telah menukar agamanya.

Berhubung dengan nama yang baru, pemohon boleh menukar atau mengekalkan nama yang asal. Hanya penggunaan nama keluarga (surname) sahaja dapat digunakan sebagai penambahan kepada nama yang baru. Penggunaan alias atau @ adalah tidak dibenarkan sekarang.

Saudari boleh menghubungi JPN di talian 03 26925044.
Pihak kami juga telah menghubungi Jakim di talian 03 88864000. Menurut pegawai tersebut, adalah menjadi kemestian untuk setiap saudara baru untuk berbinkan Abdullah.

Walaupun nama asalnya boleh dikekalkan akan tetapi pemohon adalah harus berbinkan Abdullah. Sebagai contoh, Woh Poh Chun bin Abdullah.

Ini adalah untuk memudahkan sistem pendaftaran hal-hal berkenaan dengan perkahwinan atau harta pusaka, lebih penting lagi untuk tidak mengelirukan pihak-pihak lain.

Perlu dinyatakan di sini, bahawa keperluan ini bukanlah satu peruntukan di dalam undang-undang.
Seperti yang telah dinyatakan oleh JPN, keperluan untuk menukar nama tidak boleh dipaksa. Oleh itu, bakal suami saudari tidak boleh dipaksa. Apa yang perlu adalah untuk menukar penukaran agama tersebut bagi memastikan agar rekod di JPN adalah benar.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my