Dihalau - Isteri Mahu Kembali ke Rumah
10 September 2004

Soalan:

Saya telah dihalau oleh suami dari rumah kelamin kami selepas berlaku suatu pergaduhan. Dia telah melontar keluar barang-barang saya dari rumah dan menyuruh saya keluar. Saya keluar dari rumah tersebut dan kini menetap bersama ibu. Rumah tersebut adalah di atas nama saya dan saya yang melakukan pembayaran setiap bulan secara potongan gaji.

Saya telah meminta suami untuk keluar dengan baik melalui pesanan dengan rakan-rakannya. Tapi kata suami dia ada hak ke atas rumah tersebut. Saya mahu kembali ke rumah ini. Jika suami mahu menuntut bukankah sepatutnya dia ke mahkamah? Apa yang boleh saya lakukan agar saya boleh kembali menetap di rumah saya?
- Azlina Kamsah, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Suami mempunyai tanggungjawab untuk memberi nafkah terhadap isterinya. Tanggungjawab ini bukan hanya bermakna nafkah zahir dan batin, malah ia termasuk tempat perlindungan iaitu rumah kelamin.

Rujukan boleh dilakukan terhadap Surah An Nisa pada ayat 34 yang bermaksud:
``Kaum lelaki adalah bertanggungjawab terhadap kaum perempuan dengan kelebihan yang Allah telah beri kepada mereka dan dengan sebahagian harta mereka yang telah membelanjakan (memberi nafkah).'' (4:34).

Seorang suami tidak berhak menidakkan hak ini ke atas isteri yang beliau tidak boleh dengan sewenang-wenangnya menghalau isterinya dari rumah kelamin. Sekiranya pasangan mahukan perceraian maka perceraian tersebut haruslah dilakukan dengan cara yang berhemah. Perlakuan halau-menghalau adalah amat aib sekali dan tidak sepatutnya dilakukan.

Sekiranya seorang wanita yang telah diceraikan pun mempunyai hak untuk mendapat tempat berlindung semasa idahnya menurut hukum syarak dan undang-undang, apatah lagi wanita yang sememangnya masih seorang isteri yang sah.

Di dalam masalah yang dihadapi oleh puan, sememangnya suami puan tidak mempunyai hak untuk menghalau puan dari rumah tersebut apatah lagi rumah itu telah didaftarkan sebagai milikan penuh atas nama puan sendiri.

Sekiranya suami puan merasakan bahawa beliau mempunyai hak untuk terus menetap di rumah tersebut maka dia haruslah memohon kepada Mahkamah. Beliau tidak mempunyai hak untuk sewenang-wenangnya menghalau puan dan merasakan dia mempunyai hak ke atas rumah tersebut. Keputusan ini hanya boleh diambil oleh mahkamah.

Puan boleh mengambil tindakan perundangan. Tindakan yang boleh diambil terhadap suami yang telah menghalau puan keluar dari rumah adalah dengan memfailkan tindakan di bawah mahkamah sivil. Ini adalah kerana mahkamah syariah tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan dengan perkara tersebut. Aturan 89 Kaedah mahkamah tinggi menyatakan bahawa undang-undang boleh berkuatkuasa menghalang sesiapa sahaja (termasuk suami puan) daripada memasuki atau terus berada di rumah tersebut tanpa lesen yang sah atau tanpa kebenaran pemilik rumah itu sendiri.

Oleh kerana itu, puan sebagai pemilik rumah yang sah sebenarnya mempunyai hak untuk menghalang suami puan daripada terus berada di rumah tersebut tanpa kebenaran. Menurut undang-undang, puan mempunyai hak untuk menfailkan saman bagi tujuan mendapatkan hak untuk berada di rumah tersebut. Proses untuk menfailkan saman perlu mengikut prosedur-prosedur tertentu seperti yang dinyatakan di dalam Aturan 89 Kaedah Mahkamah Tinggi.

Untuk menfailkan satu tindakan di bawah Aturan 89 Kaedah-kaedah Mahkamah tinggi bagi mendapatkan milikan terus rumah tersebut, puan perlu menghantar suatu notis untuk menyingkirkan suami puan dari rumah tersebut. Sila nyatakan juga di dalam notis tersebut bahawa puan akan membawa perkara ini ke mahkamah sekiranya suami puan gagal untuk mematuhi notis tersebut.

Sekiranya suami puan masih berdegil dan enggan keluar dari rumah tersebut maka puan bolehlah menfailkan satu sama pemula di mahkamah tinggi untuk mendapatkan perintah supaya rumah tersebut dikembalikan. Format saman pemula tersebut boleh didapati di Borang 8A Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi.

Puan juga perlu menfailkan bersama-sama saman pemula tersebut satu afidavit iaitu satu penyataan yang menyatakan bahawa:-
a) Puan mempunyai kepentingan ke atas rumah tersebut.
b) Bahawa rumah tersebut telah diduduki secara tidak sah dan tanpa kebenaran puan.
c) Puan tidak mengetahui sesiapa lagi yang menghuni rumah tersebut yang namanya tidak dinyatakan di dalam saman pemula tersebut.

Seterusnya mahkamah akan menetapkan satu tarikh untuk suami puan hadir ke mahkamah bagi mendengar perkara tersebut. Perbicaraan akan dimulakan dan mahkamah akan mendengar apa-apa alasan yang akan dikemukakan oleh suami puan.

Puan juga boleh mendapatkan satu perintah injuksi bagi mengarahkan suami puan untuk keluar dari rumah tersebut dan menghalang suami puan dari memasuki atau menghampiri rumah berkenaan.

Untuk tujuan ini, puan perlu menfailkan satu saman pemula bagi mendapatkan perintah tersebut. Dalam masa yang sama, puan boleh menfailkan satu tindakan interlocutory (sementara) yang mana hanya puan sahaja yang perlu hadir ke mahkamah bagi mendapatkan suatu perintah untuk mengarahkan suami puan keluar dari rumah tersebut. Perintah injunksi sementara tersebut hanya bertahan selama 21 hari.

- Nora Murat, Pegawai Undang-Undang Sisters In Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my