Isteri Terhina Suami Layan Endah Tak Endah
10 December 2004

Soalan:

Saya ingin bertanya bagi pihak kawan baik saya. Perkahwinannya baru berusia tiga tahun tetapi kini sudah goyah. Mereka memiliki dua orang anak yang masih kecil. Malang nasib kawan saya kerana dia mempunyai seorang suami yang curang. Kami telah mendapat tahu bahawa suaminya mempunyai perempuan simpanan. Suaminya memang berpendapatan tinggi dan dia juga pandai akalnya. Dia tahu bahawa tembelang sudah pecah tetapi mahu kawan saya setia jadi isteri.

Baru-baru ini suaminya telah mendapat perintah mahkamah supaya kawan saya tidak boleh meninggalkan rumah lebih dari tiga bulan. Masalahnya sekarang suami kawan saya akan pulang selama sebulan dan pergi selama dua bulan dan akan balik semula selama sebulan. Memang suami akan beri duit belanja tapi dia tidak balik rumah langsung dalam masa dua bulan.

Sekiranya ada perkara berbangkit maka kawan saya akan menelefon setiausahanya. Kalau bertanya suami, dia akan dimaki hamun. Anehnya jika dia berada di rumah pada masa sebulan itu, dia akan menjadi suami mithali dan baik perangai. Kawan saya memang terasa dihina. Apa haknya sebagai isteri yang dilayan endah tak endah sebegini rupa?
- Sarimah Mosin, Kuala Lumpur

Jawapan:

Perkahwinan telah dinyatakan di dalam al-Quran sebagai satu perjanjian atau persefahaman yang kuat (Surah an-Nisa, ayat 21) - Ia bukan satu kontrak biasa yang boleh diambil sambil lewa. Akad perkahwinan adalah dipenuhi dengan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh pasangan suami-isteri. Juga terdapat beberapa ayat-ayat lain yang boleh kita rujuk mengenai perkahwinan. Surah ar-Ruum, ayat 21 telah menyatakan bahawa; ``Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dengannya, dan dijadikan di antara kamu perasan kasih sayang. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir.''

Seorang suami mempunyai tanggungjawab ke atas isteri dan anaknya. Jika kita merujuk kepada Seksyen 59 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, ia telah meletakkan menyatakan bahawa suami boleh diperintah agar membayar nafkah. Seksyen 72(1) telah menetapkan kewajipan bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anaknya.

Seksyen 52 pula menyatakan alasan-alasan untuk perceraian fasakh bagi isteri. Antara alasan tersebut adalah: tiada memberi nafkah batin selama satu tahun; berkelakuan aniaya terhadap isteri; suami telah hilang tanpa berita selama lebih setahun; atau suami mempunyai penyakit kelamin.

Jika seorang suami telah mengabaikan mana-mana tanggungjawabnya seperti dinyatakan di atas maka isteri boleh menuntut hak ke atas perkahwinannya.

Selain daripada tanggungjawab yang dinyatakan oleh perundangan ini, kita juga boleh merujuk kepada lafaz taklik yang telah dibaca oleh suami, sama ada taklik yang telah diperuntukkan oleh kerajaan atau taklik tambahan.
Isteri boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk memerintahkan suaminya supaya balik ke rumah dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anak.

Bagaimana-pun di dalam kes ini, suami telah bertindak dengan cara yang tidak adil.
Suami telah dengan sengaja mempermain-mainkan tanggungjawab dengan hanya telah berada di rumah kelamin selama satu bulan.

Suami merasakan bahawa beliau telah tidak melanggar perundangan syariah yang menyatakan bahawa dia perlu memberi nafkah selama tiga bulan. Perkara ini adalah tidak benar. Suami tidak boleh memperolok-olokan tanggungjawab ini.

Berhubung kes rakan saudari, adalah dinasihatkan agar beliau membina kesnya dahulu sebelum beliau membuat permohonan di mahkamah. Beliau boleh memaklumkan kepada keluarga atau rakan mengenai tindakan suaminya.
Rakan puan juga boleh ke Pejabat Agama bagi memohon kaunseling rumah tangga. Ia bertindak secara dua cara. Suami dan isteri akan dipanggil untuk sesi kaunseling.

Sekiranya suami hadir dan dapat dicapai keputusan yang boleh mendamaikan kedua-dua belah pihak, maka permohonan tidak perlu diteruskan.

Berkemungkinan pada masa ini satu talik tambahan boleh dilakukan agar suami menyedari tanggungja-wabnya dan agar nasib isteri dan anak terpelihara.

Sekiranya sesi kaun-seling gagal atau suami tidak hadir maka perkara ini boleh digunakan semasa permohonan di mahkamah kelak.

Sila gunakan surat yang akan dikeluarkan oleh Pejabat Agama dalam apa-apa permohonan kelak. Ia dapat menunjukkan bahawa rakan puan telah berusaha untuk menyelamatkan perkahwinannya dan suami pula telah tidak menunjukkan apa-apa minat dalam perkara ini.

Undang-Undang Keluarga membenarkan isteri sama ada dari segi perkahwinan monogami ataupun perkahwinan poligami membuat permohonan kepada mahkamah syariah untuk memerintahkan suaminya yang telah mengabaikan keluarga untuk menjalankan tanggungja-wabnya yang sebenar sebagai seorang suami dan bapa kepada anak-anak.
Apabila mahkamah membenarkan permohonan isteri yang menuntut hak ke atas perkahwinannya, suami hendaklah pulang ke rumah dan perlu memikul tanggungjawabnya ke atas keluarganya.

Jika suami gagal atau ingkar untuk mematuhi perintah mahkamah, maka dia boleh disabitkan kesalahan. Hukuman yang boleh dikenakan adalah hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM500 atau kedua-duanya sekali. Perkara ini adalah seperti yang telah dimaktubkan di dalam Seksyen 126.

Secara alternatif, isteri boleh menuntut perceraian sama ada secara taklik atau fasakh di mahkamah syariah dengan alasan bahawa suaminya telah mengabaikan tanggungjawab ke atas rumah tangga.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my