Hak Penjagaan - Isteri Mahu Buat Rayuan
11 Jun 2004

Soalan:

Suami saya telah mendapat hak penjagaan terhadap anak perempuan saya yang berusia sembilan tahun. Suami telah menggunakan alasan bahawa saya tidak mampu menjadi ibu yang baik. Saya berasakan alasan-alasan yang dikemukakan oleh suami semasa perbicaraan adalah tidak benar dan tidak adil. Saya mahu membuat rayuan ke atas keputusan Mahkamah tersebut. Bolehkah saya berbuat demikian dan bagaimanakah caranya?
- Dalilah Seman, Shah Alam

Jawapan:

Sekiranya puan berpendapat telah berlaku ketidakadilan di dalam keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah dalam menentukan hak penjagaan anak, maka puan berhak mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Untuk makluman, sebarang rayuan terhadap apa-apa keputusan yang telah diberikan oleh Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah dan sekiranya rayuan ingin dilakukan terhadap apa -apa keputusan Mahkamah Tinggi Syariah, maka rayuan hendaklah dibuat kepada Mahkamah Rayuan Syariah.

Prosedur Rayuan adalah menurut prosedur yang telah ditetapkan di bawah Seksyen 227 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah, 1991.

Oleh kerana tuntutan ke atas hak penjagaan anak adalah didengar di Mahkamah Tinggi maka, puan haruslah kini mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Untuk tujuan ini, puan perlulah terlebih dahulu mengemukakan notis rayuan. Puan boleh merayu ke atas seluruh atau mana-mana bahagian tertentu di dalam sesuatu keputusan.

Perkara ini hendaklah dijelaskan di dalam notis rayuan tersebut. Dalam kes puan, oleh kerana puan ingin mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah terhadap hak penjagaan anak, maka ini hendaklah dinyatakan di dalam notis puan itu.
Notis tersebut hendaklah difailkan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh keputusan dibuat.

Mahkamah tinggi (dari mana keputusan itu dirayu) akan menyerahkan kepada puan satu salinan tersebut iaitu alasan-alasan hukuman setelah puan menjelaskan bayaran yang ditetapkan.

Mahkamah akan memaklumkan kepada puan apabila salinan sah hukuman siap disediakan. Terdapat beberapa prosedur dokumentasi yang perlu puan lakukan.

Dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan, pemberitahuan itu, puan hendaklah mendepositkan kepada Mahkamah sejumlah wang yang akan ditetapkan bagi tujuan membiayai kos menyediakan bilangan salinan rekod rayuan.

Rekod ini adalah bagi kegunaan Mahkamah Rayuan dan pihak-pihak kepada rayuan itu.

Selain dari itu, puan juga dikehendaki membayar RM150 sebagai jaminan untuk kos rayuan.

Puan perlu menyerahkan atau menyampaikan notis rayuan tersebut kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dengan rayuan itu, iaitu kepada bekas suami atau kepada Peguam Syarie yang mewakili bekas suami puan.

Lima petisyen rayuan juga perlu diberi kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penerimaan pemberitahuan siapnya salinan sah hukuman.

Selain dari salinan sah hukuman, puan juga boleh memohon nota-nota keterangan yang dicatatkan oleh Hakim semasa perbicaraannya.

Ia mungkin boleh membantu dalam proses rayuan. Sekiranya Puan memohon salinan nota-nota keterangan, maka tarikh akhir bagi penerimaan pemberitahuan siapnya salinan sah hukuman atau daripada tarikh notis siapnya salinan nota-nota keterangan diterima oleh puan, mengikuti mana-mana tempoh yang lebih lewat.

Puan diingatkan bahawa setiap petisyen rayuan hendaklah menyatakan dengan ringkas isi keputusan yang dirayu dan hendaklah mengandungi butiran jelas mengenai undang-undang atau fakta rayuan. Ini adalah kerana puan tidak boleh kemudiannya semasa rayuan didengar merujuk kepada alasan lain, selain dari yang telah dinyatakan di dalam petisyen.

Sekiranya puan mahukan penggantungan perlaksanaan ke atas perintah hak penjagaan, puan perlu memohon perkara ini dari Mahkamah.

Jika tidak suami boleh melaksanakan perintah tersebut iaitu menjaga anak sehingga perintah rayuan dikeluarkan.
Puan harus juga maklum bahawa keputusan Mahkamah Rayuan kelak adalah muktamad.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my