Penjagaan Anak - Bapa Boleh Tuntut Hak Sementara
12 November 2004

Soalan:

Saya mempunyai kemusykilan berkaitan dengan hak penjagaan anak sebelum proses perceraian selesai. Saya sedang menjalani perbicaraan perceraian dan mempunyai seorang anak yang berumur tujuh tahun.

Anak saya kini tinggal bersama neneknya di kampung kerana isteri saya enggan membenarkan saya menjaga anak tersebut. Perjalanan ke kampung bukanlah dekat, ibu mertua saya menetap di Kulim sedangkan saya di Kuala Lumpur.
Saya amat rindukan anak saya. Bolehkah saya memohon untuk hak penjagaan anak saya? Adakah kerana saya bapa hak saya berkurangan? Saya juga ingin tahu bahawa jika isteri saya diberi hak penjagaan maka apakah keadaan-keadaan di mana isteri boleh hilang hak penjagaan anak? Dan di mana saya boleh membaca atau merujuk Rang Undang-Undang Keluarga Islam di internet (homepage mana-mana organisasi). Bantuan dan sokongan SIS amat dihargai. Terima kasih.
- Sopian, Shah Alam

Jawapan:

Apabila suami isteri bercerai, hak penjagaan anak atau hadanah sentiasa menjadi tumpuan dan isu. Apalagi apabila timbul perbalahan di antara siapa yang lebih berhak untuk menjaga anak tersebut. Perlu ditekankan di sini bahawa hubungan di antara anak dengan ibu dan bapanya tidak terputus seperti tali perkahwinan ibu bapa. Hubungan ini kekal dan tanggungjawab ibu bapa ke atas anak tersebut juga kekal.

Kita boleh merujuk kepada Surah Al-Baqarah pada ayat 233. Ayat tersebut menyatakan bahawa ..dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya....

Penentuan
Kita juga boleh merujuk kepada ayat 31:14, 46:15 dan 17:23-24 mengenai pertalian antara anak dan ibu bapanya. Sekiranya ibu bapa tidak dapat mencapai persetujuan ke atas siapa yang boleh mendapat hak penjagaan anak tersebut maka hak penentuan adalah ke atas mahkamah syariah.

Mahkamah syariah akan menentukan siapa yang lebih berkelayakan untuk diberi hak penjagaan anak tersebut.
Isu hak penjagaan ini tidak hanya timbul apabila perceraian telah dibenarkan oleh mahkamah. Malah tuntutan ke atas hak ini boleh dilakukan pada bila-bila masa. Oleh itu anda boleh menuntut hak penjagaan sebelum selesai perbicaraan perceraian yang sedang dilalui.

Anda juga boleh memfailkan tuntutan hak penjagaan sementara yang membenarkan hak penjagaan anak diberi kepada anda sebelum perbicaraan hak penjagaan penuh diputuskan oleh mahkamah. Sila rujuk laman web SIS bagi proses permohonan hak penjagaan sementara.

Hak penjagaan bukanlah suatu perkara yang patut diambil ringan atau dianggap sebagai satu cara untuk menghukum pasangan yang tiada hak penjagaan. Hak anak ke atas ibu bapanya patut diberi keutamaan. Anak berhak ke atas nafkah dirinya dan kasih sayang dari ke dua ibu bapanya.

Ini bersamaan dengan pandangan Ibu Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqh As-Sunnah Juz 8 halaman 219 yang menyatakan bahawa: Sesungguhnya setiap penjaga dan anak jagaan masing-masing mempunyai hak. Oleh itu, perintah mahkamah syariah yang memberi hak penjagaan haruslah diterima dengan sebaik-baiknya dan ia tidak harus dianggap sebagai satu kemenangan bagi pihak yang diberi hak penjagaan.

Menurut Seksyen 82 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (negeri Selangor) 2003, ibu adalah yang paling berhak berbanding segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

Adalah jelas di sini bahawa undang-undang meletakkan ibu sebagai orang yang paling layak bagi mendapat hak penjagaan.
Walaupun ibu telah dianggap sebagai yang paling berkelayakan, Seksyen 83 Enakmen tersebut juga telah menggariskan beberapa syarat yang perlu dipenuhi. Seorang ibu tersebut haruslah:
(a) Seorang Islam;
(b) Sempurna akal;
(c) Dia berkelayakan untuk memberi kanak-kanak tersebut kasih sayang yang diperlukan oleh kanak-kanak tersebut.
(d) Berkelakuan baik dan;
(e) Mempunyai kediaman yang tidak akan membahayakan kanak-kanak tersebut.

Kebajikan
Sekiranya ibu gagal memenuhi syarat tersebut maka hak penjagaan berkemungkinan beralih kepada orang lain.
Seksyen 84 Akta pula telah menggariskan situasi di mana hak seorang ibu terhadap hak penjagaan anaknya boleh hilang. Menurut seksyen tersebut, hak seseorang perempuan terhadap hadanah hilang sekiranya:

(a) Jika ibu itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu. Jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
(b) Jika ibu itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
(c) Jika ibu itu menukar pemastautinnya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu daripada menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
(d) Jika ibu murtad;
(e) Jika ibu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Perlu dinyatakan bahawa walaupun (a) berlaku, situasi di mana ibu telah berkahwin lain tidak boleh dijadikan alasan semata-mata. Ia haruslah dibuktikan bahwa perkahwinan tersebut akan mengganggu anak tersebut.

Sekiranya anda ingin menggunakan mana-mana alasan yang telah dinyatakan, anda perlu mempunyai bukti yang kukuh untuk dibawa ke mahkamah.

Dalam menentukan hak penjagaan dan kehilangan hak yang telah diberikan, mahkamah akan mengutamakan kesejahteraan anak tersebut. Ini adalah alasan utama di dalam penghakiman yang menyatakan bahawa keutamaan akan diberikan kepada kesejahteraan anak tersebut.

Sekiranya anda mahu menuntut hak penjagaan anak tersebut, adalah disarankan bahawa anda menunjukkan tanggungjawab anda dengan terus memberi nafkah walaupun anak mungkin agak jauh. Nafkah anak tidak sepatutnya dihentikan hanya kerana anda mungkin tidak berjumpa dengan anak anda.

Anda boleh mendapatkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di mana-mana kedai buku utama. Anda juga boleh merujuk kepada buku Perkahwinan dan Perceraian di bawah Undang-Undang Islam tulisan Nik Noraini Nik Badlishah bagi bacaan selanjutnya.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my