Suami Warga Asing: Berhak Warisi Harta
13 Februari 2004

Soalan:

Saya dan suami telah berkongsi wang untuk membeli sebuah rumah di Johor. Rumah tersebut berharga RM120,000 dan diletakkan di atas nama saya. Suami telah membayar RM60,000 ke atas bayaran rumah. Suami adalah warganegara Britain dan saya masih mempunyai kerakyatan Malaysia. Kami telah diberitahu bahawa sekiranya saya meninggal dunia, suami saya tidak akan dapat mewarisi rumah tersebut. Kami berasa amat terkejut mengenai perkara ini kerana suami juga telah membayar separuh daripada harga rumah. Adakah perkara ini benar? Apa yang boleh saya lakukan bagi memastikan suami mendapat haknya ke atas rumah ini?
- Khadijah Jailani, Shah Alam

Jawapan:

TERDAPAT halangan bagi warganegara asing untuk memiliki hartanah di negara kita. Ini khasnya bagi hartanah yang berharga rendah.

Secara dasarnya, warganegara asing hanya boleh membeli dan memiliki hartanah di Malaysia dengan nilai RM250,000 dan ke atas sebagaimana yang telah digariskan oleh Unit Perancang Ekonomi Malaysia dan dituruti oleh Kanun Tanah Negara.

Kemungkinan, ini adalah maklumat yang telah diberikan kepada puan. Oleh kerana hartanah yang dibeli adalah kurang daripada RM250,000 iaitu hanya RM120,000 maka seorang warganegara asing tidak boleh memiliki hartanah tersebut.

Bagaimanapun, aplikasi halangan ini adalah berlainan di dalam kes puan. Maklumat yang puan perlukan adalah mengenai situasi di mana puan telah meninggal dunia dan meninggalkan hartanah sebagai pusaka dan bukanlah isu pembelian hartanah.

Sekiranya puan meninggal dunia terlebih dahulu maka undang-undang yang terpakai adalah undang-undang ke atas pembahagian harta.

Surah an-Nisa pada ayat 12 (4:12) telah menyatakan bahawa; "Dan bagi kamu seperdua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh seperempat daripada harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya.''

Adalah jelas di sini bahawa jika rumah tersebut di atas nama puan, dan meninggalkan suami sebagai waris, maka suami puan mempunyai hak ke atas harta pusaka puan iaitu rumah tersebut.

Sekiranya puan tidak mempunyai anak, bahagian suami adalah sebanyak setengah dan satu perempat sekiranya puan mempunyai anak setelah ditolak dengan wasiat dan hutang puan sekiranya ada.

Selain daripada hak yang telah diperuntukkan ini, suami puan juga boleh membuat tuntutan di bawah harta sepencarian dengan mengemukakan bukti sumbangan atau pembayaran bulanan.

Harta sepencarian adalah harta yang telah dikumpul oleh puan selama wujudnya perkahwinan tersebut.
Kesemua tuntutan ini boleh dipohon di mahkamah syariah. Adalah penting bagi suami puan untuk mendapatkan perintah mahkamah mengenai pembahagian harta terlebih dahulu sebelum pembahagian ke atas rumah tersebut dapat dilaksanakan.

Mahkamah syariah akan mengeluarkan Sijil Faraid yang akan menyatakan tahap pembahagian terhadap setiap waris.
Prosedur seterusnya adalah mendapatkan kuasa untuk mentadbir harta yang boleh dipohon di mahkamah sivil. Hak suami puan dalam pembahagian pusaka dan undang-undang Islam adalah jelas.

Perintah mahkamah perlu diperoleh terlebih dahulu bagi memastikan hak suami puan terjamin dalam segenap segi, baik dari segi perundangan Islam mahupun perundangan sivil di Malaysia.

Dengan adanya perintah mahkamah maka hartanah tersebut boleh diserahkan kepada suami puan walaupun harga rumah tersebut di bawah RM150,000.

Puan juga boleh merujuk kepada pejabat tanah di tempat tanah tersebut berada di Bahagian Kebenaran Pindah Milik bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my