Peluk Islam - Suami Enggan Mengikut
15 Oktober 2004

Soalan:

Perkahwinan saya telah berlangsung selama tiga tahun. Kami tidak dikurniakan anak. Perkahwinan di antara saya dan suami bukan di bawah agama Islam tetapi di bawah adat istiadat agama lain. Perkahwinan ini juga telah didaftar di Pendaftar Perkahwinan Sivil di Kuala Lumpur. Saya kini ingin memeluk agama Islam. Bolehkah saya berbuat demikian? Saya telah memberitahu suami mengenai niat saya. Suami saya telah menyatakan bahawa dia tidak mahu mengikut saya memeluk Islam. Adakah kami perlu bercerai?
- Samantha Jim, Kuala Lumpur

Jawapan:

Tali perkahwinan di antara suami isteri di dalam apa juga agama sama ada Islam, Kristian, Hindu atau Buddha merupakan satu perkara yang amat dititikberatkan. Ia bukan sahaja ikatan antara dua insan tetapi ikatan yang disertai dengan tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh setiap pasangan.

Di negara kita undang-undang perkahwinan adalah berlainan mengikut agama yang dianuti. Bagi orang Islam, Undang-Undang Keluarga Islam di setiap negeri masing-masing perlu dirujuk dan bagi mereka yang mempunyai kepercayaan lain ia adalah Undang-Undang Pembubaran (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Oleh kerana terdapat 14 negeri di Malaysia maka terdapat 14 undang-undang syariah.

Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara kita. Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai kebebasan untuk beragama. Ia bermak-na bahawa setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menentukan agama dan mempraktikkan agama pilihannya.

Bagi menjawab soalan puan mengenai status perkahwinan, rujukan boleh dilakukan ke atas Seksyen 51 Undang-Undang Pembubaran (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang menyatakan bahawa apabila satu pihak di dalam perkahwinan telah memeluk Islam maka pasangannya yang tidak memeluk Islam boleh memohon untuk bercerai dengan mengeluarkan satu petisyen dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh memeluk Islam.

Ini bermakna bahawa puan sebagai seorang yang akan memeluk Islam sesudah menukar agama tidak mempunyai hak untuk memohon bercerai di bawah Seksyen 51 tersebut. Hanya suami puan yang tidak memilih untuk menyertai puan dalam menukar agama boleh memohon untuk bercerai di bawah Seksyen 51. Ini juga adalah kerana di bawah Seksyen 3(3) akta tersebut menyatakan bahawa akta ini hanyalah bagi mereka yang bukan Islam sahaja.

Oleh itu, suami puan mempunyai tempoh masa selama tiga bulan dari tarikh penukaran agama puan untuk menentukan keputusannya, sama ada dia mahu mengikut puan dalam menukar agama dan meneruskan perkahwinan mengikut undang-undang syariah atau memohon untuk membubarkan perkahwinan.

Perlu dinyatakan di sini bahawa penukaran agama tidak dengan secara sendirinya atau automatik membubarkan sesuatu perkahwinan. Sesuatu pembubaran haruslah dipohon di Mahkamah Sivil.

Jika dilihat Seksyen 51, ia juga hanyalah bagi situasi di mana salah seorang di dalam perkahwinan telah memeluk agama Islam. Di dalam kes di ma-na sebagai contohnya terdapat perkahwinan secara agama Hindu dan kemudiannya suami atau isteri memeluk agama Buddha, Seksyen 51 tidak boleh digunakan sebagai alasan pembubaran. Di dalam kes puan, suami boleh menggunakan Seksyen 51 sekiranya puan memeluk agama Islam.

Apabila mahkamah sivil telah membubarkan sesuatu perkahwinan tersebut, maka mahkamah boleh membuat peruntukan terhadap suami atau isteri dan juga hak-hak yang berkaitan dengan anak-anak. Ini termasuklah nafkah dan hak jagaan.

Mahkamah juga boleh meletakkan syarat-syarat ke atas hak yang diberi. Ini boleh dilihat dalam kes Shamala a/p Sathiyaseelan vs Dr. Jeyaganesh al/l C. Mogarajah (2004 2 CLJ 416) baru-baru ini.

Seperti yang dinyatakan, setelah puan memeluk Islam maka puan adalah tertakluk di bawah perundangan syariah. Rujukan boleh dilakukan ke atas Seksyen 46(2) Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Ia menyatakan bahawa jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Is-lam memeluk agama Islam, maka perbuatan yang sedemikian tidak boleh dengan sendirinya berkuat kuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan sedemikian oleh mahkamah.

Bagaimanapun, kita juga harus merujuk kepada Seksyen 4 Akta yang sama. Ia menyatakan bahawa undang-undang ini tidak meliputi atau akan memberi apa-apa kesan ke atas mereka yang menganuti kepercayaan lain.
Kami menasihatkan puan agar merujuk ke mahkamah sivil. Ini adalah kerana perkahwinan puan adalah di bawah undang-undang sivil. Adalah wajar agar penyelesaian dirujuk di mahkamah sivil agar tidak timbul pertelingkahan atau pertindihan bidang kuasa di antara mahkamah.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my