Poligami - Suami Abai Tanggungjawab
16 April 2004

Soalan:

Suami saya telah berpoligami ketika usia perkahwinan kami menjangkau 10 tahun. Saya hanya mengetahui perkahwinannya setelah tiga bulan dia bernikah. Tiada apa yang boleh saya lakukan, hanya rasa hampa yang menyelubungi diri.

Saya hanya dapat meminta suami agar berlaku adil di antara saya dan isteri barunya. Pada awal perkahwinan memang tiada perubahan yang ketara terhadap layanan suami ke atas saya. Begitupun, perkara ini mula berubah.
Sejak setahun lalu suami tidak pulang ke rumah saya. Walaupun dia ada menghulur wang belanja, tetapi memang tidak mencukupi. Kalau nafkah batin, janganlah diharap. Sudah lama saya tidak mendapat belaian seorang suami.
Usia saya sudah lanjut, oleh itu saya tidak mahukan perceraian. Apa yang boleh saya lakukan agar suami kembali kepada tanggungjawabnya?
- Zaiton Osman, Kampung Baru

Jawapan:

Suami diberi tanggungjawab untuk menyara isteri dan keluarganya. Kewajipan ini tidak sepatutnya dianggap sebagai perkara yang ringan, malah ia harus dipikul dengan sebaik-baiknya. Kita boleh merujuk kepada Surah An-Nisa' ayat 34 yang bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka...

Dalam perundangan Islam, satu syarat yang perlu dipenuhi oleh seseorang lelaki sebelum berkahwin adalah keupayaan membiayai keperluan hidup yang sempurna dan selesa bagi isteri dan keluarga.
Islam telah mengajar bahawa sesuap makanan yang disuapkan oleh seorang suami ke mulut isterinya dalam saat bahagia atau ketika isteri sedang sibuk sehingga tidak sempat makan merupakan suatu kebaikan yang sentiasa digalakkan.

Pasangan suami isteri perlu diingatkan agar menunjukkan peradaban yang sebaik dari segi fizikal atau akhlak.
Setiap perkahwinan mesti memenuhi hubungan semula jadi di antara lelaki dan wanita dalam segenap segi.
Perkara yang disebut di atas perlu ditekankan terutama sekali dalam perkahwinan poligami. Kita boleh merujuk kepada Surah An-Nisa' yang antara lain menyatakan: ....Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang saja...Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Suami yang telah berpoligami harus menyedari bahawa dia memikul tanggungjawab yang amat besar dan tidak seharusnya berlaku zalim terhadap isteri.

Dalam konteks ini, nafkah yang wajib diberikan oleh suami bukan hanya nafkah zahir, tetapi juga batin.
Puan telah menyatakan bahawa puan tidak mahu memohon perceraian. Ini tidak bermakna bahawa puan tidak boleh memohon apa-apa perintah mahkamah mengenai hak ke atas perkahwinan puan.

Walaupun suami puan sudah berpoligami hak puan sebagai seorang isteri masih boleh dituntut di bawah undang-undang. Oleh kerana puan menetap di Kuala Lumpur maka Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 akan dirujuk.

Puan boleh memohon untuk meminta nafkah yang diperlukan daripada suami. Seksyen 59 (1) memberikan kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan suami memberi bayaran nafkah kepada isteri sedia ada.
Seksyen ini menyatakan bahawa ``Tertakluk kepada hukum syarak mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.''

Puan perlu mengemukakan kepada mahkamah keperluan puan sebagai seorang isteri dan ini termasuk tempat perlindungan dan bayaran bil-bil semasa. Perintah nafkah ini dapat memastikan bahawa suami akan membayar nafkah puan dengan baik.

Disarankan agar puan memohon bayaran nafkah melalui potongan gaji bagi memastikan bahawa suami tidak ingkar perintah mahkamah. Ini juga dapat menyenangkan suami untuk membuat bayaran dan tidak memberi puan beban menuntut nafkah daripada suami pada setiap bulan.

Puan juga menyatakan bahawa suami sudah tidak pulang ke rumah. Menurut Seksyen 120 Akta ``Jika seseorang telah tidak lagi hidup bersama dengan isterinya mengikut cara yang dikehendaki oleh hukum syarak, isteri itu boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah supaya orang itu hidup bersama semula dengan isterinya.''

Perlu diingatkan bahawa sekiranya isteri telah menerima perintah tersebut dan suami masih enggan untuk hidup bersama walaupun telah diperintahkan oleh mahkamah, maka suami boleh apabila disabit kesalahan dihukum denda tidak melebihi RM500 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

Suami puan seharusnya berlaku saksama di antara isterinya seperti giliran tinggal bersama puan dan anak-anak pada setiap minggu, pada hari perayaan, percutian dan sebagainya.

Tumpuan harus diberi kepada puan selaku isteri yang telah ada terlebih dahulu. Sekiranya puan boleh berbincang dengan suami maka satu perkara yang baik yang boleh dilakukan adalah dengan mengadakan perjanjian taklik tambahan.

Di dalam perjanjian ini, syarat-syarat baru perkahwinan boleh dimasukkan. Ini adalah bagi menjamin keharmonian rumah tangga tersebut dan juga menjaga hak-hak puan.

- Nora Murat, Pegawai Undang-Undang Sisters In Islam
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my