Penjamin - Bekas Isteri Mahu Tamat Perjanjian
16 Julai 2004

Soalan:

SAYA telah berpisah dengan suami saya kira-kira empat tahun yang lalu. Semasa tempoh perkahwinan tersebut saya telah menjadi penjamin kepada suami saya ke atas pinjaman banknya. Beliau masih lagi perlu membuat pembayaran selama 10 tahun lagi. Oleh kerana kami telah berpisah kini, saya mahu menamatkan penjaminan saya. Apakah yang patut saya lakukan bagi menamatkan perjanjian tersebut?

Saya juga kini sedang menuntut rumah yang kami tinggal sebagai sebahagian daripada harta sepencarian. Malangnya kes ini telah banyak kali ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi. Apa yang boleh saya lakukan bagi membolehkan saya mempercepatkan kes saya?
- BADARIAH AMIR, Selangor.

Jawapan:

Terima kasih kerana menulis kepada kami. Di dalam sesuatu perjanjian kewangan, pihak pemiutang sering diminta untuk menyediakan penjamin bagi menjamin pemiutang. Penjamin adalah mereka yang bersetuju untuk dipertanggungjawabkan ke atas hutang pemiutang sekiranya pemiutang gagal membayar balik kepada institusi kewangan atau bank.

Sememangnya semasa di dalam perkahwinan pasangan suami isteri akan sedia bertolak ansur dan bersetuju untuk menjadi penjamin ke atas pinjaman pasangannya. Walaupun begitu secara amnya suami atau isteri yang menjadi penjamin tidak memahami tanggungjawab sebagai seorang penjamin.

Di dalam kes puan ia bermakna bahawa sekiranya bekas suami puan gagal membuat bayaran maka puan yang telah bersetuju untuk menjadi penjamin, boleh dituntut untuk melangsaikan hutang tersebut. Proses ini akan dilakukann melalui Mahkamah Sivil. Status puan kini sebagai seorang bekas isteri tidak memberi apa-apa kesan terhadap perjanjian penjamin yang telah puan tandatangani dahulu.

Ini adalah kerana perjanjian tersebut tidak ada kena mengena dengan status perkahwinan. Ia adalah perjanjian yang telah puan tandatangani dengan pihak bank yang menyatakan kesediaan puan untuk dipertanggungjawabkan.
Kami menasihatkan puan untuk merujuk kepada perjanjian yang telah puan tandatangani sama ada tertera syarat-syarat perjanjian yang telah membolehkan puan menarik diri sebagai seorang penjamin.

Walaubagaimanapun bagi makluman puan, pihak mahkamah di England dalam satu kes sivil pernah memberi penghakiman memihak kepada si isteri di mana isteri tersebut telah menjadi penjamin kepada suaminya. Mahkamah dalam kes ini telah menyatakan bahawa pihak bank sepatutnya meminta isteri tersebut mendapatkan nasihat undang-undang persendirian sebelum diminta menandatangani jaminan supaya dia benar-benar faham kandungan perjanjian jaminan. Oleh kerana pihak bank gagal berbuat demikian, maka mahkamah telah melepaskan si isteri daripada jaminan tersebut.

Di dalam kes puan, puan bolehlah merujuk kepada seorang peguam untuk mendapatkan nasihat sama ada puan boleh memberi alasan yang serupa untuk menarik diri daripada jaminan tersebut.

Puan boleh juga berbincang dengan pihak bank bagi menggunakan budi bicara mereka untuk membolehkan puan menarik diri.

Secara amnya memang sukar bagi pihak bank untuk `melepaskan' seorang penjamin. Ini adalah kerana pihak bank perlu untuk mendapatkan semula wang yang telah dipinjamkan sekiranya pemiutang gagal membuat bayaran. Kami amat prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh wanita terutamanya isteri atau bekas isteri yang terpaksa memikul beban apabila suami telah tidak menjelaskan hutang.

Oleh itu, kami menasihatkan wanita supaya berfikir dengan lebih mendalam sebelum menjadi penjamin kerana implikasinya adalah amat berat apabila pemiutang melarikan diri dari membayar hutang.

Bagi soalan kedua puan, sememangnya kes-kes tertangguh memanglah menjadi beban kepada pihak-pihak yang terlibat. Apalagi kes puan yang telah lama bercerai. Puan tidak menyatakan bila permohonan untuk mendapatkan harta sepencarian tersebut mula dilakukan. Oleh kerana kes tuntutan puan adalah kes syariah, puan bolehlah membuat aduan kepada:

Lembaga Naziran
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia
Aras 3, Blok D7, Parcel, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62677 Putrajaya
Tel-03-88864800 dan Faks-03-88891627

Lembaga Naziran boleh menyiasat sebab-sebab berlakunya penangguhan. Sila kemukakan aduan puan berserta salinan-salinan dokumen tuntutan bagi membolehkan siasatan dilakukan dengan lancar.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my