Mutaah - Pampasan Perlu dibayar Kepada Isteri
17 September 2004

Soalan:

Saya telah selesai perbicaraan perceraian dan akan selesai tempoh idah pada minggu hadapan. Saya mahu menuntut mutaah daripada bekas suami saya. Saya merupakan pegawai yang berjawatan agak tinggi sebelum kami berkahwin. Apabila kami mendapat anak, suami meminta agar saya menjadi suri rumah sepenuh masa. Ini juga kerana pendapatannya kini sudah agak lumayan.

Kini selepas bercerai dan berkahwin selama 15 tahun, saya tidak mempunyai apa-apa simpanan. Wang KWSP juga agak sedikit. Saya juga agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana sudah lama tidak bekerja dan usia juga sudah lewat. Bolehkah saya kini mendapatkan mutaah? Suami telah menyatakan bahawa dia hanya mampu memberi RM5,000. Saya tidak bersetuju kerana ia amat sedikit berbanding dengan apa yang telah saya korbankan.
- JARAH ALI, Kuala Lumpur

Jawapan:

Bagi menjawab soalan puan rujukan boleh dilakukan ke atas ayat 236, surah al-Baqarah yang bermaksud:
``Hendaklah kamu memberikan mutaah kepada mereka yang diceraikan itu, iaitu suami yang senang hendaklah memberikannya menurut kemampuan mereka dan bagi suami yang susah menurut kemampuannya sebagai pemberian saguhati menurut apa yang patut dan menjadi satu kewajipan ke atas orang yang mahu berbuat demikian.''

Menurut sekolah perundangan Imam Syafie pula, mutaah adalah wajib diberikan kepada isteri sama ada dia diceraikan sebelum disetubuhi atau sesudah disetubuhi atau sama ada sudah ditentukan maharnya atau belum.

Ia perlu dibayar dalam semua bentuk penceraian bagi isteri yang diceraikan kecuali dalam kes isteri yang diceraikan setelah maharnya ditentukan dan perceraian itu berlaku sebelum persetubuhan. Ia boleh diberikan dalam bentuk wang, pakaian dan lain-lain barang.

Ternyata di sini bahawa mutaah adalah termasuk suatu pampasan yang perlu dibayar kepada isteri. Pemberian mutaah ini mempunyai beberapa hikmat.

Mutaah bertujuan untuk meringankan sedikit beban yang ditangguh oleh seorang bekas isteri akibat diceraikan oleh bekas suaminya.

Dengan memberikan mutaah ini, bekas isteri akan dapat memulakan penghidupan yang baru, secara persendirian atau sebelum dia dapat berkahwin dengan lelaki lain atau sebelum dia kembali semula kepada suaminya yang asal. Oleh kerana puan menetap di Kuala Lumpur, maka peruntukan Akta Keluarga Islam Wilayah Persekutuan adalah digunapakai atau dirujuk.

Seksyen 56, menerangkan mengenai mutaah. Ia adalah suatu pembayaran pampasan yang diberikan oleh bekas suami kepada bekas isterinya selepas mereka bercerai sama ada berupa wang ataupun barangan. Bayaran atau pampasan ini adalah dikira bayaran wajib yang perlu dibayar oleh bekas suami apabila perceraian itu berlaku bukan disebabkan kesalahan oleh pihak isteri.

Kadar mutaah itu akan ditentukan oleh Hakim Mahkamah Syarie dan tiada panduan tetap untuk menentukan kadar dalam pemberian mutaah daripada seorang bekas suami kepada isteri yang diceraikan itu. Walaupun begitu secara amnya mahkamah akan melihat status atau kemampuan suami puan dalam perintahnya untuk pemberian mutaah. Mahkamah juga akan mengambil kira ``pengorbanan'' yang telah diberi oleh pihak puan.

Di dalam kes puan, puan telah menyatakan bahawa puan telah meninggalkan jawatan yang agak tinggi. Puan juga sekarang tidak mempunyai wang simpanan atau harta kerana tidak mempunyai pekerjaan dan hanya menjadi suri rumah. Perkara ini haruslah dinyatakan kepada mahkamah.

Fakta bahawa puan sebagai suri rumah dan menjaga keluarga dengan baik sehingga membolehkan suami mencapai kedudukan yang tinggi kini boleh dinyatakan juga.

Mahkamah juga akan mengambil kira jangka masa perkahwinan puan.
Berpandukan kepada kes-kes yang telah diputuskan, amalan dalam menentukan pemberian mutaah kepada isteri yang diceraikan oleh bekas suami mereka adalah seperti berikut:

i) Perceraian itu bukan kerana nusyuz yang telah disabitkan oleh mahkamah - perlu dinyatakan di sini bahawa perintah nusyuz hanya boleh diberi oleh mahkamah dan bukan oleh suami. Suami tidak boleh memberi alasan isteri nusyuz di dalam perbicaraan tuntutan. Nusyuz adalah tindakan yang harus diambil berasingan.
ii) Pihak isteri tidak bersedia atau bersetuju untuk menggugurkan tuntutan mutaah,
iii) Kadar mutaah bergantung kepada keadaan dan kemampuan suami. Sekiranya kedua-dua pihak tidak bersetuju, kadar ini akan ditentukan oleh mahkamah.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my