Perkahwinan - Berlainan Agama Tidak Dibolehkan
17 Disember 2004

Soalan:

Saya mempunyai soalan mengenai perkahwinan antara seorang Islam dengan bukan Islam. Ini adalah bagi pihak kawan saya. Soalan ini mungkin pelik tetapi kami ingin mengetahui beberapa perkara. Kawan saya sedang bercinta dengan seorang wanita Norway yang beragama lain. Tiada halangan selama ini mengenai perhubungan mereka tetapi kini mereka ingin mengikat tali perkahwinan. Bolehkah mereka berdua berkahwin tanpa ada sesiapa menukar agama? Terdapat beberapa negara yang tidak memerlukan pertukaran agama, bagaimana ia dilakukan? Bolehkan cara yang sama dilakukan di sini? Diharap pihak puan dapat menjelaskan perkara ini. Kami telah cuba merujuk di tempat lain tetapi soalan kami dianggap sebagai mahu membelakangkan agama. Bukan itu tujuan kami. Banyak pendapat yang ada mengenai isu ini dan kami mahu tahu dari segi perundangan Malaysia. Terima kasih.
- Hamidah Sahidun, Kuala Lumpur

Jawapan:

Perkahwinan dalam Islam merupakan salah satu perjanjian suci dan mengikat pasangan. Rujukan boleh dilakukan kepada Surah An-Nisa pada ayat 21 yang bermaksud: ``Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat.''

Di dalam dunia metropolitan ini, adalah tidak menjadi satu perkara asing bagi seseorang untuk jatuh cinta dengan seorang lain yang berlainan bangsa dan agama. Apa yang perlu diketahui adalah apa yang patut dilakukan sekiranya pasangan ini mahu meneruskan perhubungan dengan tali perkahwinan.

Sememangnya terdapat beberapa pendapat ulama mengenai perkahwinan di antara mereka yang berlainan agama. Pendapat-pendapat ini juga berbeza bagi seorang lelaki dan perempuan muslim. Kita juga harus merujuk kepada sistem perundangan syariah di Malaysia.

Bagi kes rakan saudari, kita dapat merujuk kepada beberapa ayat di dalam al-Quran. Surah Al-Baqrah pada ayat 221 menyatakan bahawa;
``Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Orang kafir itu mengajak ke neraka, sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izin-Nya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) kepada umat manusia supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).''

Di dalam Surah Al-Maidah Ayat 5 juga Allah telah menegaskan ``Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita yang beriman dan wanita yang menjaga kehormatannya daripada kalangan orang yang diberikan kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan simpanan. Dan sesiapa yang ingkar sesudah ia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi.''

Memusnahkan
Persoalan yang terdapat di dalam 2:221 adalah berhubung dengan situasi peperangan yang berlaku pada masa tersebut. peperangan ini bukan sahaja berkenaan mereka yang beragama lain tetapi bagi mereka yang mahu memusnahkan umat dan agama Islam.

Perkahwinan bersama mereka yang mahu memusnahkan umat Islam akan mengakibatkan pelbagai masalah dan komplikasi. malah perkahwinan yang telah wujud juga terpaksa diputuskan. Rujukan kepada Al-Mumtahanah, ayat 10.

Pendapat ulama ada menyatakan bahawa ayat yang tidak membenarkan perkahwinan ini hanya ditujukan kepada mereka yang menyembah berhala sahaja.

Ini bermakna bahawa perkahwinan bersama ahlil kitab (pasangan yang agamanya dari kitab yang terdahulu) adalah dibolehkan. Para ulama dengan merujuk kepada beberapa ayat di dalam al-Quran telah bersependapat bahawa ahlil kitab adalah mereka yang beriman dengan kitab Zabur, Taurat dan Injil.

Ahlil kitab termasuk kaum Saabin, dengan merujuk kepada al-Maidah, Ayat 69 yang menyatakan: ``Sesungguhnya orang yang beriman dan orang Yahudi dan orang Saabiin dan orang Nasrani sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta beramal salih, maka tidaklah ada kebimbangan terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.''

Dalam perundangan syariah di Kuala Lumpur pula, Bahagian II (Perkahwinan) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan 1984 perlu dirujuk. Seksyen 7 menyatakan bahawa setiap perkahwinan di Wilayah persekutuan haruslah mengikut peruntukan di dalam Akta dan diakadnikahkan menurut hukum syarak.

Seksyen ini memberi mahkamah bidang kuasa di dalam mana-mana perkahwinan di Kuala Lumpur.

Rujuk
Bagi kes rakan saudari, Seksyen 10(1) akan dirujuk. Ia menyatakan bahawa tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang `Kitabiyah'.

bagi mentafsirkan `Kitabiyah' Seksyen 2 Akta tersebut menyatakan bahawa `Kitabiyah' adalah:
(a) Seorang perempuan dari keturunan Bani Ya'qub; atau
(b) seorang perempuan nasrani dari keturunan orang-orang nasrani sebelum Nabi Muhammad menjadi Rasul; atau
(c) seorang perempuan Yahudi dari keturunan orang-orang Yahudi sebelum Nabi Isa menjadi Rasul.

Oleh kerana setiap perkahwinan di Kuala Lumpur haruslah menurut peruntukan perundangan syariah maka kedua-dua seksyen ini haruslah dipatuhi. Ini bermakna bahawa rakan saudari perlu menunjukkan bukti bahawa kekasihnya adalah seorang `Kitabiyah' berdasarkan definisi yang telah ditetapkan di dalam Seksyen 2.

Sekiranya ini dapat dilakukan maka perkahwinan tersebut akan dibenarkan.
Seperti yang tersebut di atas, Seksyen 7 menyatakan penggunaan hukum syarak sebagai salah satu syarat dalam mengakadnikahkan pasangan hukum syarak menurut Seksyen 2 bermaksud Undang-Undang Islam dalam mana-mana mazhab yang sah.

Alasan
Sekiranya rakan saudari dapat memberi apa-apa alasan menurut hukum syarak yang membolehkan beliau berkahwin dengan kekasihnya maka alasan ini boleh ditimbangkan oleh mahkamah.

Suatu permohonan boleh dikemukakan di mahkamah syariah.
Sememangnya terdapat negara lain yang membenarkan perkahwinan yang berlainan agama tetapi perkara yang sama tidak dibenarkan di negara kita. Kebanyakan perkahwinan tersebut merupakan perkahwinan sivil. Ini bermakna perkahwinan tersebut akan berada di bawah bidang kuasa dan undang-undang keluarga sivil.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my