Hak Penjagaan - Isteri Ingin Menentang Permohonan Suami
18 Jun 2004

Soalan:

Saya telah menjalani proses perceraian dan ia telah disahkan oleh Mahkamah Syariah. Saya mempunyai anak perempuan yang berumur lima tahun. Bapanya kini mahu menuntut hak penjagaan ke atas anak kami. Saya tidak bekerja kini dan sedang meneruskan pelajaran saya bagi membolehkan saya mencapai tahap kehidupan yang lebih baik. Ini semua saya lakukan bagi kehidupan anak saya. Walaupun begitu saya masih mahu menjaga anak saya dan saya mampu melakukannya kerana saya juga kini menetap bersama keluarga. Mengenai soal nafkah, keluarga saya telah bersetuju untuk menanggung. Bolehkah saya menentang permohonan hak penjagaan oleh bekas suami saya?
- Adeebah Majid, Kuala Lumpur

Jawapan:

Apabila pasangan yang telah berkahwin bercerai, maka isu hak penjagaan anak akan timbul. Walaupun begitu, harus diingatkan bahawa soal hak penjagaan anak dan soal memberi nafkah terhadap anak adalah dua isu yang berlainan.
Mengenai isu pemberian nafkah, ia adalah terletak di atas bahu bapa. Perkara ini bukan sahaja jelas dalam Hukum Syarak tetapi juga di dalam undang-undang. Jika dilihat di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, ternyata Seksyen 72 memberikan kewajipan menanggung nafkah anak kepada bapa.

Nafkah ini bukan hanya bagi makanan tetapi dalam hal-hal tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, pelajaran dan apa-apa keperluan anak tersebut. Ini bermaksud bahawa walaupun anak puan menetap di rumah neneknya, bapa seharusnya turut membantu dalam memberi wang terhadap sewa rumah, bil air dan elektrik. Walaupun bukan secara keseluruhan tetapi sebahagian dari perbelanjaan terhadap keperluan rumah tersebut.

Sememangnya ramai bapa menganggap bahawa nafkah anak adalah hanya wang terhadap makanan. Anggapan ini adalah tidak benar.

Bagi membantu Mahkamah untuk memberi nafkah yang sewajarnya, tuntutan puan haruslah berdasarkan kiraan yang munasbah. Kiraan ini juga dibantu dengan bil-bil yang nyata bagi membuktikan perbelanjaan anak tersebut.

Anak puan kini berumur lima tahun dan belum memasuki alam persekolahan. Oleh itu sekiranya terdapat perintah Mahkamah mengenai nafkah, perlu diingatkan bahawa perintah ini boleh diubah di atas permohonan puan. Sekali lagi puan perlu menujukkan bukti terhadap perubahan nafkah anak, iaitu apabila anak bersekolah.

Oleh itu, alasan bahawa puan sedang belajar dan tidak boleh menanggung anak tidak boleh digunakan sebagai alasan oleh bapa untuk mendapatkan hak penjagaan anak. Ini kerana tanggungjawab menyara adalah di atas bahu bapa tanpa mengira sama ada anak tersebut di bawah jagaannya atau tidak.

Soal ibu bapa puan yang telah sanggup untuk membantu menyara anak puan juga tidak sepatutnya timbul kerana semenangnya bukan menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga seorang cucu. Sudah tentu mereka boleh membantu tetapi perkara ini tidak boleh dianggap oleh bapa sebagai satu jalan mudah untuk melepaskan tanggungjawab.

Mengenai isu hak penjagaan anak, puan telah menyatakan bahawa puan kini menetap bersama keluarga. Kita boleh merujuk kepada Seksyen 81(1) yang menyatakan bahawa puan adalah yang paling berhak untuk menjaga anak kecil puan. Walaupun begitu sekiranya suami mempunyai alasan lain yang boleh menunjukkan puan tidak layak untuk mendapatkan hak penjagaan maka kita boleh merujuk kepada seksyen 81(2) yang menggariskan pihak-pihak yang diberi keutamaan untuk mendapatkan hak penjagaan.

Mereka adalah:
a) Nenek sebelah ibu hingga peringkat ke atasnya.
b ) bapa
c) Nenek sebelah bapa hingga peringkat ke atasnya.
d) Kakak atau adik perempuan seibu sebapa,
e) Kakak atau adik perempuan seibu
f) Kakak atau adik perempuan sebapa
g) Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa
h) Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa
i) Anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa
j) Emak saudara sebelah ibu
k) Emak saudara sebelah bapa
l) Waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai `asabah' atau residuari.'

Kelihatan di sini bahwa ibu puan mempunyai hak lebih tinggi daripada bapa anak tersebut dalam tuntutan untuk mendapatkan hak penjagaan.

Kelayakan yang perlu bagi ibu adalah terturut dalam Seksyen 82. Ia menyatakan bahawa ibu haruslah seorang yang beragama Islam, sempurna akal, boleh memberikan jagaan dan kasih sayang yang diperlukan anak tersebut, berkelakuan baik dan mempunyai tempat tinggal yang selamat bagi anak tersebut.

Oleh itu puan juga boleh menuntut hak penjagaan tersebut. Puan bolehlah berbincang dengan ibu mengenai perkara ini.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my