Hibah - Ingin Tahu Maksud dan Caranya
19 Mac 2004

Soalan:

Saya telah diberitahu bahawa seorang muslim boleh memperuntukkan harta beliau kepada sesiapa yang dia mahu berikan, iaitu secara hibah. Saya mempunyai seorang ibu dan sekiranya apa-apa berlaku kepada saya, saya mahukan harta saya iaitu sebuah rumah diwarisi oleh ibu. Saya dimaklumkan bahawa ia boleh dilakukan secara hibah. Apakah maksud hibah dan tidakkah ia bertentangan dengan hukum faraid?
- Jamiatun Daud, Taman Tun Dr. Ismail.

Jawapan:

Prinsip-prinsip am hukum faraid ada terkandung dalam al-Quran di dalam Surah An-Nisa, Ayat 11, ia menyebut; .... (pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. Ibu-ibu kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (sebab itulah Allah menetapkan bahagian mereka kerana Dia lah jua Yang Mengetahuinya). (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah, sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Secara amnya faraid bukanlah hanya satu cara bagi pembahagian harta si mati. Wasiat juga diterima sebagai salah satu cara untuk membahagikan harta. Perlu dinyatakan bahawa pembahagian secara faraid hanya ter-pakai apabila tuan punya harta tidak membahagikan harta semasa hayatnya.

Faraid tidak akan terpakai sekiranya si mati, sebelum kematiannya, telah memindahkan harta bendanya kepada orang lain.

Rujukan boleh dilakukan seki-ranya si mati, sebelum kematiannya telah memindahkan harta bendanya kepada orang lain.

``Hibah bererti memberi milik sesuatu barang yang mana mengikut kebiasaannya barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang, kepada seseorang oleh ahli tabarru' (orang yang suka membuat kebajikan) dengan tidak ada barang tukaran.''

Dan di dalam, huraian seterusnya didalam kitab ini disebut hibah disyaratkan adanya lafaz ijab daripada pemberi hibah dan qabul daripada penerima hibah.

Hibah disempurnakan semasa tuanpunya harta masih hidup, berbeza dengan wasiat di mana ia sempurna apabila pemberi wasiat meninggal dunia.

Melalui hibah ini, waris-waris puan yang lain tidak akan berhak langsung kepada harta benda puan kelak.
Proses pemindahan harta benda ini boleh dilakukan dalam beberapa cara. Contohnya, jika puan memiliki sebuah rumah, puan boleh memindahkan rumah tersebut kepada nama ibu menerusi prosedur di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

Jika puan mengambil khidmat seorang peguam maka peguam tersebut akan memberi nasihat mengenai selok-belok proses pemindahan ini.

Perlu dijelaskan bahawa hanya bayaran terhadap proses pemindahan atau hibah yang perlu dilakukan dan tiada apa-apa bayaran lain (penyelenggaraan) yang perlu dibayar.

Isu yang paling penting di sini adalah puan mesti memindahkan harta benda yang ingin dipindahkan semasa hayat puan. Sekiranya terdapat syarat bahawa pemindahan harta benda akan berlaku hanya selepas kematian, maka ia tidak sah dari segi syariah dan hukum faraid akan menentukan pembahagian harta.

Hibah itu juga mestilah diterima oleh si penerima. Jika si penerima tidak tahu bahawa ia telah di hibahkan sesuatu benda, maka hibah tersebut mungkin tidak sah dan hukum faraid yang akan menentukan cara pembahagian benda tersebut.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my