Cerai Fasakh - Isteri Boleh Tuntut di Mahkamah
19 November 2004

Soalan:

Selepas dua kali sesi kaunseling suami setuju menceraikan saya. Laporan kaunseling dibuat berdasarkan persetujuan bersama yang dipersetujui oleh suami. Pada panggilan pertama mahkamah, suami enggan menceraikan saya kerana alasannya anak mesti bersama dia. Anak lelaki saya berusia dua setengah tahun. Saya seorang surirumah. Sehingga kini suami enggan membenarkan saya bekerja dan masih menanggung saya dan anak seperti biasa walaupun sudah empat bulan kami berpisah bumbung.

Saya lihat suami cuba merumitkan keadaan untuk tidak menceraikan saya seperti yang dipersetujui semasa sesi kaunseling dan meletakkan isu anak sebagai senjata melemahkan saya.

Kesimpulannya saya tidak diceraikan dan mahkamah minta dibawa pendamai.
Saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan untuk dia menceraikan saya pada tarikh tersebut. Bolehkah isu anak itu dijadikan sebab untuk tidak bercerai olehnya?

Sekiranya dia enggan menceraikan saya haruskah saya minta fasakh selepas ini. Suami seorang panas baran, ringan tangan. Suami juga mempunyai hubungan luar dengan seorang perempuan gro dan pernah berzina. Saya tidak tahan dengan sikap suami. Bantulah saya.
- Noramah Kadir, Kuala Lumpur

Jawapan:

Pada amnya, prinsip perceraian adalah bercerai berdasarkan dengan cara yang baik. Ini telah dinyatakan di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 229 yang antara lain telah menyebut bahawa bolehlah berpegang dengan cara yang maaruf atau bercerai dengan cara yang baik. Sekiranya pasangan di dalam perkahwinan ingin bercerai maka adalah wajar perceraian itu dilakukan dengan cara yang berhemah.

Suami puan sepatutnya menurut apa yang telah dinyatakan oleh dirinya sendiri dalam proses kaunseling. Adalah tidak elok dengan sengaja melengah-lengahkan proses perbicaraan. Sekiranya beliau tidak mahu melafazkan perceraian maka perkara ini sepatutnya dimaklumkan kepada puan.

Oleh kerana suami enggan melafazkan cerai di dalam mahkamah, tidak bermakna bahawa puan yang masih mahu bercerai, akan dipaksa untuk terus di dalam perkahwinan tersebut. Ada beberapa cara bagi puan untuk memohon perceraian. Secara ringkas proses perceraian tersebut adalah:

Perceraian taklik. Puan boleh menuntut perceraian atas dasar taklik di bawah Seksyen 50 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan).

Perceraian taklik ialah perceraian yang boleh dituntut oleh pihak isteri apabila suami telah mengingkari syarat-syarat taklik yang dilafaz selepas akad nikah. Di negara kita, syarat-syarat tertentu pada amnya dimasukan dalam surat perakuan taklik dalam borang yang ditetapkan bersama dengan surat perakuan nikah.

Syarat taklik adalah berbeza dari tempat ke tempat dan berubah mengikut masa. Syarat yang biasa adalah suami tidak boleh membiarkan isteri tanpa nafkah zahir dan batin selama lebih empat bulan atau menganiaya isteri.

Oleh itu, puan haruslah merujuk kepada surat perakuan taklik yang tertera pada surat nikah bagi memastikan syarat-syarat taklik puan. Sekiranya terdapat pelanggaran mana-mana taklik, maka puan boleh merujuk kepada mahkamah syariah untuk membuat permohonan perceraian taklik.

Jika puan tidak mempunyai surat taklik sedemikian atau tidak dapat membuat tuntutan perceraian taklik kerana tidak berlaku pelanggaran taklik, puan boleh memohon perceraian melalui fasakh.

Perceraian fasakh (pembubaran perkahwinan atas arahan mahkamah) ialah perceraian yang boleh dipohon oleh isteri atas salah satu alasan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan). Dalam keadaan puan, jika puan boleh mengemukakan salah satu daripada keadaan-keadaan berikut, puan layak memohon cerai fasakh di mahkamah syariah di negeri masing-masing:

- Suami melayan dengan zalim (contoh: memukul secara berterusan, menjadikan hidup puan tidak tentu arah, memarahi puan dan mengeluarkan kata-kata kesat di hadapan orang lain, tidak adil dalam perkongsian harta, menghalang puan daripada menunaikan kewajipan agama, tidak berlaku adil terhadap isteri-isteri (jika suami beristeri lebih daripada satu).
- Suami tidak memberi nafkah sekurang-kurangnya selama tiga bulan.
- Suami telah berkawan dengan wanita yang perhubungan tersebut dilarang oleh hukum syarak.

Puan harus memberi bukti atau saksi apabila menggunakan mana-mana alasan tersebut.

Hak ke atas penjagaan anak-anak adalah suatu perkara yang akan ditentukan oleh mahkamah syariah sekiranya suami tidak dapat mencapai persetujuan ke atas siapa yang akan mendapat hak tersebut.

Ia bukanlah suatu perkara yang boleh ditentukan oleh suami puan atau digunakan sebagai senjata untuk menghalang puan daripada bercerai dengannya.

Adalah sesuatu perkara yang zalim apabila menggunakan anak untuk memaksa seorang ibu melakukan sesuatu perkara.

Puan telah menyatakan bahawa suami telah berkelakuan tidak sepatutnya sebagai seorang suami dan bapa. Sila bawa bukti tersebut ke mahkamah dan memohon hak penjagaan anak tersebut. Mahkamah akan menentukan siapa yang berhak dan akan membuat keputusan tersebut di atas bukti-bukti yang disediakan oleh kedua belah pihak.

Fakta bahawa puan tidak bekerja tidak akan menghalang hak penjagaan daripada diberi kepada puan kerana bapa akan bertanggungjawab ke atas nafkah anak tersebut.

Suami tidak boleh menggunakan fakta ini bagi menghalang hak penjagaan daripada diberikan kepada puan.
Ibu adalah yang paling berhak berbanding segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

Walaupun begitu, hak ini haruslah dituntut dari mahkamah. Puan tidak boleh hanya menunggu keputusan daripada suami sekiranya puan mahukan hak penjagaan.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my