Nikah Sepupu - Tiada Halangan Dari Sudut Undang-undang
21 Mei 2004

Soalan:

Saya ingin mengetahui sama ada saya boleh berkahwin dengan sepupu. Bapa saya dan bapa teman lelaki saya adalah adik beradik. Keluarga kami masih tidak mengetahui hubungan ini dan kami telah lama merahsiakannya. Kami khuatir keluarga tidak akan merestuinya kerana hubungan keluarga yang agak rapat. Kami telah lama menjalinkan hubungan dan kini mahu melangsungkan perkahwinan. Terdapat pelbagai pandangan yang telah diberi pada kami. Ada yang menyatakan bahawa kami tidak boleh berkahwin dan ada yang menyatakan boleh. Sebelum kami memberitahu keluarga, kami ingin tahu apakah kami boleh meneruskan niat kami?
- Zainab Baru, Selayang

Jawapan:

Perkahwinan adalah satu ikatan yang suci di antara pasangan yang telah bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan isteri. Ia merupakan satu perjanjian atau persefahaman yang kuat (Ayat 4:21). Ikatan ini adalah dituntut oleh agama bagi mereka yang telah sedia mampu dan bersedia.

Perkahwinan merupakan satu keistimewaan dari sudut keagamaan, iaitu ia memenuhi naluri manusia ciptaan Tuhan yang unggul, yang timbul dalam bentuk hubungan fizikal, psikologi dan undang-undang.

Islam memberi penekanan kepada perhubungan di antara suami dan isteri sebagai sumber kebahagiaan yang terbentuk berasaskan perasaan cinta mencintai, kebaikan hati, kesaksamaan dan keadilan.

Perkara ini boleh dilihat dengan jelas melalui Ayat 30:12 yang telah dinyatakan: ``Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan kamu pasangan mu dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan: sesungguhnya yang sedemikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berfikir.''
Jelas di sini bahawa Allah S.A.W telah menjadikan perasaan kasih sayang di antara kita sebagai salah satu tanda-tanda kekuasaan-Nya.

Saudara kini ingin melanjutkan hubungan yang telah terjalin di antara anda dan kekasih ke jinjang perkahwinan. Tujuan saudari untuk menguatkan perhubungan ini dengan akad nikah adalah amat baik sekali terutamanya apabila kedua-dua belah pihak telah bersedia untuk memikul satu tanggungjawab yang berat.

Perlu dimaklumkan bahawa sememangnya terdapat perhubungan di mana pasangan dilarang untuk berkahwin. Perkara ini ada juga diperuntukkan di dalam undang-undang.

Oleh kerana saudari bermastautin di Wilayah Persekutuan maka saudari adalah tertakluk di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Rujukan boleh dilakukan kepada Seksyen 9 Akta mengenai pertalian yang melarang perkahwinan. Seksyen ini menyenaraikan perhubungan-perhubungan di mana perkahwinan tidak boleh dilangsungkan.

Seksyen 9 (1) menyatakan bahawa mana-mana lelaki atau perempuan tidak boleh berkahwin sekiranya mereka mempunyai pertalian darah dengan yang berikut;
a) ibu atau bapanya;
b) neneknya sama ada dari sebelah bapa atau ibu;
c) anak perempuannya atau anak lelakinya, dan cucu perempuannya atau cucu lelakinya dan turutan berikutnya;
d) saudara perempuan atau saudara lelaki seibu sebapa (adik-beradik), saudara perempuan atau saudara lelaki sebapa atau seibu (adik-beradik tiri);
e) anak perempuan atau anak lelaki kepada saudara lelaki atau saudara perempuan dan turutan berikutnya (anak saudara);
f) emak saudara atau bapa saudara sebelah bapa dan turutan berikutnya;
g) emak saudara atau bapa saudara sebelah ibu dan turutan berikutnya.

Seksyen 9(2) juga melarang perkahwinan sekiranya terdapat hubungan susuan di antara pasangan tersebut.
Bagi seorang lelaki, dia adalah dilarang mempunyai dua isteri pada masa yang sama sekiranya isteri-isteri tersebut mempunyai pertalian melalui nasab (pertalian darah), pertalian kahwin dan susuan. Ini adalah menurut Seksyen 9(4).

Kesalahan
Berhubung kes saudari, perhubungan di antara sepupu adalah tidak termasuk sebagai perhubungan di mana perkahwinan tidak boleh dilangsungkan. Menurut undang-undang adalah tidak menjadi satu kesalahan bagi saudari untuk berkahwin dengan kekasih.

Kami berharap saudara boleh berbincang dengan keluarga mengenai perkara ini. Mungkin apa yang merunsingkan adalah hubungan keluarga yang agak dekat kerana anggapan masyarakat kita. Dari segi perundangan ia tidaklah menjadi satu sekatan.

Kami juga amat menggalakkan agar saudara dan kekasih dapat berbincang mengenai alam perkahwinan yang akan ditempuhi kelak terutama sekali apabila dijangka akan mendapat tentangan daripada keluarga.

Adalah elok jika pasangan dapat bersetuju mengenai taklik perkahwinan tambahan kerana ini akan melindungi hak saudari sebagai seorang isteri. Taklik perkahwinan ini tidak melanggar apa-apa undang-undang perkahwinan atau syariah.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my