Cerai Talak: Perlu Mengisi Borang
23 Januari 2004

Soalan:

Saya dan suami telah sepakat untuk bercerai secara baik. Perkahwinan kami hanya bertahan selama tiga tahun. Kami telah berpisah tempat tinggal dan kini mahu meneruskan hidup masing-masing. Kami tidak mempunyai anak. Suami saya mahu melafazkan talak. Apakah yang perlu kami lakukan bagi meneruskan niat kami ini?
- Dara Sulaiman, Cheras.

Jawapan:

Perceraian adalah dibenarkan dalam undang-undang syariah dan melafazkan talak adalah salah satu cara yang dibenarkan bagi meleraikan ikatan perkahwinan. Rujukan haruslah diberi kepada surah Al-Baqarah ayat 229. Ia menyatakan bahawa: ``Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali, sesudah itu bolehlah ia rujuk memegang terus (isterinya) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskannya dengan cara yang baik.''

Jelas sekali di sini bahawa cara perceraian yang sepatutnya adalah dengan cara yang baik.
Sistem perundangan di negara kita memerlukan lafaz talak oleh suami dilakukan di mahkamah syariah. Melalui cara ini hak-hak suami dan isteri boleh diadili dan dikuatkuasakan secara saksama oleh mahkamah. Isu-isu bersangkutan seperti penjagaan anak, bayaran nafkah dan pembahagian harta boleh turut diputuskan tanpa di lengah-lengahkan

Perceraian dengan cara ini juga dapat menunjukkan bahawa suami adalah seorang yang bertanggungjawab ke atas isterinya. Oleh kerana puan menetap di Cheras maka Undang-Undang Keluarga (Wilayah Persekutuan) 1984 akan dirujuk. Sebelum apa-apa permohonan perceraian dilakukan sila pastikan bahwa perkahwinan telah berdaftar secara sah menurut akta tersebut. Sekiranya ia belum berdaftar mahkamah syariah tidak akan mempunyai bidang kuasa untuk memberi apa-apa perintah yang dipohon.

Bagi perceraian secara talak, rujukan harus dilakukan ke atas Seksyen 47 Akta. Puan atau suami boleh mengisi borang permohonan perceraian dan kemudiannya menyerahkannya dan disertai dengan suatu akuan yang mengandungi butir-butir berikut:
- butir-butir mengenai perkahwinan tersebut.
- sekiranya terdapat apa-apa prosiding yang terdahulu mengenai perkahwinan ini;
- sebab-sebab untuk bercerai;
- sama ada terdapat langkah-langkah yang telah diambil untuk perdamaian;
- jika terdapat apa-apa perjanjian terdahulu atau persetujuan yang telah dicapai mengenai hak-hak isteri atau anak-anak;
- butir-butir perintah yang dipohon.

Sila sertakan sijil pernikahan dan salinan kad pengenalan mereka yang melakukan permohonan tersebut.
Seperti yang telah dinyatakan di atas, mahkamah perlu diberitahu sama ada puan dan suami telah mengambil apa-apa langkah perdamaian. Ini termasuklah sama ada puan dan suami telah pernah melalaui kaunseling di pejabat agama. Sila sertakan sijil kaunseling bersama borang permohonan. Proses ini hanya apabila terdapat di antara pihak yang tidak bersetuju dengan perceraian.

Oleh kerana perceraian puan adalah di atas persetujuan bersama maka sijil ini adalah tidak diperlukan. Puan atau suami perlu menyatakan kepada mahkamah bahawa perceraian ini adalah di atas persetujuan bersama.

Mahkamah syariah akan menyerahkan satu saman ke atas pasangan untuk menghadirkan diri ke mahkamah syariah pada suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Kita juga boleh merujuk kepada Arahan Amalan No. 2 Tahun 2001 yang menyatakan bahawa sebutan bagi kes hendaklah dilakukan dalam tempoh 21 hari selepas kes difailkan. Sebutan adalah proses di mana mahkamah memastikan bahawa semua prosedur dan dokumen telah bersedia untuk perbicaraan.

Arahan Amalan ini juga menyatakan bahawa tempoh penyelesaian kes adalah 30 hari dengan syarat segala kehendak kes dipatuhi dan prosiding berjalan lancar.

Semasa perbicaraan mahkamah akan memastikan bahawa pihak-pihak bersetuju untuk bercerai. Mahkamah kemudiannya akan menasihatkan suami untuk melafazkan talak di hadapan mahkamah dan lafaz ini akan direkodkan.

Sekiranya puan dan suami telah bersetuju mengenai amaun idah dan pembahagian harta yang lain, sila maklumkan juga perkara ini ke mahkamah.

Puan perlu melalui tempoh idah selama tiga bulan sebelum surat cerai dikeluarkan oleh pendaftar.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my