Taklik Tambahan - Hak Wanita Dilindungi
24 September 2004

Soalan:

Suami saya mempunyai hubungan dengan perempuan lain dan kini dia menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan perempuan ini.

Saya merasa amat kecewa kerana semuanya telah saya sediakan dan korbankan untuk suami. Saya masih muda dan tidak ada kurang dalam layanan saya. Kami telah berkahwin selama 10 tahun berdasarkan cinta sama cinta. Kini setelah berjaya dan hidup senang, suami mula mahu menukar arah. Oleh kerana dia begitu berkeras untuk berkahwin, saya tidak boleh untuk menghalangnya.

Kalau dihalang pun dia tetap akan kahwin juga. Bagi melindungi hak saya dan anak saya, saya telah memberi draf Perjanjian Takliq Tambahan kepada suami.

Malangnya suami dan keluarganya menyatakan bahawa taklik tambahan tersebut akan membawa kepada murtad kerana talaq adalah di tangan suami. Mereka juga menyatakan bahawa SIS bukanlah terdiri daripada orang Islam. Adakah apa yang dikatakan itu benar?
- Maimunah Ali, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Bagi makluman puan dan pembaca ruangan ini, Sisters In Islam (SIS) terdiri daripada sekumpulan wanita profesional beragama Islam yang memperjuangkan hak-hak wanita dalan kerangka Islam. Misi kami adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai prinsip-prinsip Islam yang sebenar. prinsip-prinsip yang memuliakan konsep kesaksamaan di antara wanita dan lelaki dan berjuang ke arah pembentukan masyarakat yang mendokong prinsip-prinsip Islam seperti kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan mertabat seperti yang diperintahkan oleh Al-Quran.

SIS membuat banyak penyelidikan dan rujukan terhadap kitab-kitab, teks-teks yang lama dan baru dan bekerjasama dengan para cendekiawan Islam. Kesemua rujukan ini adalah berlandaskan prinsip-prinsip syariah. Kami berkongsi hasil dari pembelajaran dan rujukan ini bersama para wanita lain.

SIS juga amat aktif dalam mengadvokasi pembaharuan dasar dan undang-undang meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai Islam dan membuat perancangan strategik dalam pembentukan dasar.

Sememangnya terdapat banyak tuduhan terhadap kami dan kami menyedari mengenai hakikat ini. Walapun begitu kami masih tetap bersemangat untuk berkongsi dengan pembaca ruangan ini mengenai hak-hak yang diberi oleh Islam dan undang-undang kepada wanita.

Bagi menjawab soalan puan mengenai taklik tambahan, kita perlu memahami bahawa: perkahwinan adalah salah satu jenis kontrak (akad). Ia adalah sejenis kontrak yang amat istimewa dan kuat, seperti yang dinyatakan di dalam Surah An-Nisa pada ayat 21 yang bermaksud:
``Perjanjian atau persefahaman yang kuat.''
Di dalam setiap kontrak atau perjanjian (akad) haruslah ada tawaran iaitu ijab dan penerimaan iaitu kabul. Ia juga perlu disertai dengan syarat-syarat perjanjian atau taklik. Oleh itu di dalam sesuatu perjanjian pernikahan (akad nikah) maka bolehlah disertakan taklik.

Menepati janji adalah sesuatu yang amat dituntut bukan sahaja dari segi adat kita tetapi juga dari segi agama. Kita juga boleh merujuk pada Surah Al-Isra' 17:34 yang berkaitan dengan hal memenuhi janji dan ia menyatakan bahawa:
``Penuhilah setiap janjimu kerana sesungguhnya janji itu pasti diminta untuk dipertanggungjawabkan di hari pengadilan.''

Kita juga hendaklah memenuhi dan menunaikan janji-janji yang telah dinyatakan sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-Maidah 5:1.
``Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad (perjanjian-perjanjian) itu.''

Dari segi perundangan pula kita boleh merujuk kepada Seksyen 22 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984. Ia menyatakan bahawa Pendaftar hendaklah mencatatkan taklik yang telah ditetapkan atau butir-butir taklik lain di dalam daftar perkahwinan.

Oleh yang demikian perjanjian taklik tambahan yang dibuat oleh seseorang perempuan adalah dibenarkan oleh undang-undang. Ia juga dibenarkan oleh islam kerana islam itu sendiri menjamin hak dan kepentingan wanita daripada dianiaya oleh suami sendiri.

Seperti juga kontrak-kontrak lain, syarat-syarat perkahwinan atau taklik perkahwinan boleh ditambah pada bila-bila masa selagi perkahwinan tersebut wujud. Apa yang puan perlu lakukan adalah setelah memberi draf taklik tambahan tersebut pada suami dan telah terdapat persetujuan mengenai perjanjian tersebut, sila panggil dua orang saksi. Saksi-saksi kini haruslah mendengar lafaz suami. Setelah itu pastikan saksi-saksi juga menandatangani perjanjian tersebut selain daripada suami dan puan sendiri.

Suami mesti melafaz taklik tambahan tersebut dan didengar dengan jelas oleh puan dan saksi-saksi. Lafaz tersebut adalah amat penting.

Perlu ditegaskan di sini bahawa talak tidak jatuh secara automatik sekiranya suami melanggar taklik tambahan tersebut. isteri masih perlu mengadu ke Mahkamah Syariah dan Mahkamah Syariah haruslah mensabitkan kesalahan suami. Setelah disahkan oleh Mahkamah barulah perceraian taklik disahkan.

Bagi makluman puan, taklik ini tidak bezanya dengan taklik yang dilafazkan oleh suami semasa puan bernikah dahulu. Kesannya adalah sama. Contohnya, sekiranya suami tidak membayar nafkah selama empar bulan seperti yang dijanji semasa akad dahulu, talak tidak jatuh sehinggalah puan mengadu ke mahkamah.

Oleh itu sekiranya terdapat di dalam taklik tambahan tersebut bahawa puan tidak mahu berada di dalam perkahwinan poligami dan kemudiannya suami berkahwin lain dan puan kini mahu terus di dalam perkahwinan ini, maka tidak akan ada perceraian sehingga puan ke Mahkamah.

Talak dan taklik tambahan yang mahu puan lakukan ini adalah dua perkara yang amat berbeza. Apa yang dikenali oleh mesyuarat kita sebagai perceraian taklik lafaz suami adalah berlainan. Ia berlaku apabila suami, sebagai contoh berkata ``Jika awak keluar dari rumah ini maka jatuhlah talak.''

Perkataan suami itu boleh juga dianggap sebagai talak bersyarat iaitu jika isteri melengkapkan syarat talak maka talak akan jatuh secara automatik. proses yang perlu dijalani di Mahkamah adalah proses pengesahan perceraian.
Manakala proses yang perlu puan jalani apabila terjadi perlanggaran taklik adalah permohonan perceraian secara taklik.

Oleh itu tidak ada timbul persoalan mengambil talak dari tangan suami atau murtad di sini. Kekeliruan ini timbul kerana tidak ada pemahaman mengenai konsep yang diterangkan.

Konsep taklik ini juga dipraktikkan di negara Islam lain seperti Syria, Maghribi, Mesir dan Lebanon. Oleh itu ia bukanlah suatu yang direka atau asing dalam segi perundangan syariah.

- Panel Peguam Sisters in Islam.
Untuk sebarang pertanyaan, hantarkan kepada Sisters In Islam di alamat No. 25 Jalan 5/31, 46000 Petaling Jaya Selangor atau telefon 03-7960 4485 atau e-mail: bantuanguaman@sistersinislam.org.my